Sakit Belakang

Tuesday, September 15, 2009

Mungkin kita pernah mengalami sakit pada bahagian tulang belakang selepas kita duduk, berdiri atau melakukan kerja-kerja seharian terlalu lama.

Punca sakit belakang ini boleh disebabkan pelbagai faktor seperti kecederaan sukan, kemalangan, proses penuaan atau penyakit-penyakit metabolik dan sebagainya. Mengikut perspektif fisioterapi, sakit belakang boleh dikategorikan sebagai sindrom Postural, Dysfunction dan Derangement.

Postural bermaksud sakit belakang yang disebabkan oleh postur badan yang tidak betul semasa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti duduk secara membongkok di pejabat.

Dysfunction pula bermaksud sakit belakang disebabkan kecederaan tisu-tisu lembut seperti otot atau ligamen di kawasan tulang belakang yang boleh menghalang pergerakan bebas sendi-sendi di tulang belakang.

Contohnya, anda akan berasa susah untuk mengambil sesuatu barang yang terjatuh di lantai.

Derangement adalah sakit belakang yang disertai oleh rasa kebas yang boleh menjalar dari punggung hingga ke sebelah atau kedua-dua belah kaki.

Sementara itu, penyakit Prolapsed Intervertebral Disc (PID) digolongkan dalam kategori sindrom Derangement di mana simptom PID ini boleh dialami berulang-ulang kali jika sekiranya anda melakukan kesilapan semasa menjalankan aktiviti seharian seperti mengangkat barang, duduk yang tidak betul atau semasa mengemas rumah sempena hari raya ini.

Bagi mengenali sama ada anda mengalami ketiga-tiga kategori sindrom sakit belakang ini, tanda dan simptom berikut mungkin boleh memberi gambaran pada diri anda apabila mengalami sakit belakang iaitu:

*Sejarah kecederaan atau kemalangan lampau

*Selepas bangun dari tidur atau satu-satu posisi yang lama contohnya duduk di sofa sambil menonton televisyen dalam jangkawaktu lama

*Selepas melakukan kerja-kerja seharian seperti menyapu lantai, mengangkat barang, memasang langsir hari raya, menjahit baju raya atau sebagainya

*Selepas melakukan kerja-kerja pejabat, contohnya duduk lama di depan komputer

Tanda:

*Ketegangan pada otot bahagian tulang belakang

*Susah dan ketat apabila hendak membongkok seperti semasa rukuk atau sujud semasa melakukan sembahyang atau mengambil sesuatu barang di lantai

*Susah atau ketat untuk mencangkung semasa membuang air di tandas

*Merasa kebas dari belakang pinggang dan menjalar ke punggung seterusnya ke kaki

*Keadaan sakit belakang yang teruk boleh mengakibatkan kelemahan pada otot-otot kaki atau hilang kawalan semasa membuang air kecil atau besar jika berlaku tekanan pada sistem saraf kawasan pinggang

*Perubahan postur badan di mana tulang belakang senget ke sisi atau hilang lengkungan pada bahagian pinggang atau dikenali sebagai flat back

Jika anda mengalami tanda seperti di atas maka segeralah mendapat rawatan di hospital. Biasanya anda akan dirawat secara konservatif terlebih dahulu melalui ubat-ubatan penahan sakit atau anti-inflamasi bukan steroid dan ubat-ubat lain bagi menghilangkan simptom tersebut.

Anda juga biasanya akan dirujuk ke unit fisioterapi bagi mengatasi masalah sakit belakang. Pelbagai kaedah rawatan fisioterapi boleh ditawarkan bagi mengatasi simptom sakit belakang ini menggunakan kaedah terapi elektro seperti penggunaan rawatan haba dan stimulasi elektrik atau kaedah rawatan senaman.

Pengawalan dan mengatasi sakit belakang:


*Amalkan cara hidup sihat dengan bersenam selama 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu

*Kekalkan berat badan anda dalam keadaan ideal dengan sentiasa memantau Indeks Jisim Badan (BMI) dalam lingkungan 18.5 hingga 25 kg/m2

*Segera dapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami tanda dan aduan sakit belakang

*Kurangkan sakit melalui pengambilan ubat penahan sakit yang diberi oleh pegawai perubatan atau penggunaan rawatan ais (Cryotherapy) atau haba (Heat Therapy) serta mengamalkan senaman atau kedudukan badan yang betul melalui panduan yang diberi oleh ahli fisioterapi

Jadi, elakkanlah diri anda dari mengalami sakit belakang terutama menjelangnya Syawal ini. Janganlah anda asyik mengemas dan menyiapkan keadaan rumah anda sempena hari raya ini tanpa memikirkan kesihatan anda.

Tip di atas mampu mengelakkan diri anda dari mengalami sakit belakang jika anda ketahui dan amalkan sebilang masa walaupun sesibuk mana anda menyiapkan persedian rumah anda menjelang Syawal ini

Dapatkan nasihat ahli fisioterapi tentang panduan senaman dan penjagaan sakit belakang.

Oleh Hamid Ahmad

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI