Islam agama sejagat

Saturday, September 26, 2009

Agama Islam, Agama Untuk Semua

ISLAM! Satu agama yang menekankan konsep ketuhanan yang satu, berasaskan ajaran yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran, iaitu satu-satunya kitab yang terpelihara daripada sebarang bentuk kesilapan.

Mereka yang memeluk Islam diiktiraf sebagai golongan terbaik. Ini diakui sendiri Allah melalui firman-Nya, bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah." (Al-Quran, surah Ali-Imran: 110)

Sinar Islam terpancar di seluruh penjuru dunia. Selagi tempat itu dihuni manusia, demikianlah cahaya kebenaran itu menerangi hati masyarakatnya.

Begitupun, Islam paling berpengaruh di benua Afrika dan rantau Timur Tengah, termasuk di beberapa negara benua Asia.

Komuniti besar juga dijumpai di China, Semenanjung Balkan di Eropah Timur dan Russia, yang dulunya kebal dengan anasir komunisme. Tidak ketinggalan di Eropah Barat yang bertunas melalui kumpulan imigran Muslim.

Hari ini dianggarkan ada kira-kira 1.8 bilion umat Islam, dengan 20 peratus tinggal di negara Arab, 30 peratus di wilayah dan perbatasan sebelah India manakala 15.6 peratus adalah Indonesia, iaitu negara paling ramai masyarakat Islam.

Secara umum orang Islam terbahagi kepada dua denominasi besar, Sunni (85 peratus) dan Syiah (15 peratus), namun mereka teguh bernaung di bawah kepercayaan yang satu, malah ibadatnya serupa.

Jumlah yang sangat besar itu sekali gus menjadikan Islam menjadi agama kedua terbesar di dunia, selepas Kristian.



Suburnya Islam ibarat 'cendawan selepas hujan' hasil dakwah dan perjuangan yang dipelopori junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, nabi terakhir bagi manusia.

Realiti ini membuktikan Islam agama yang sesuai dan semakin diterima sekalian manusia, tidak mengira jantina, usia dan taraf kedudukan, baik miskin atau kaya, selagi mengakui tuhannya Allah dan Nabi Muhammad s.a.w Rasulullah.

Tetapi apabila sudah besar, muncul pula perselisihan. Bukan sekadar urusan keduniaan, malah persoalan seperti untuk siapa dan milik siapa Islam ini, bahkan siapa yang layak memartabatkannya juga diperdebatkan.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, bermula daripada bibit kecil itu tercetus pertikaman lidah, tuduh menuduh dan saling mempelekehkan, sehingga terbawa-bawa kepada isu terkeluar daripada Islam yang sebenar, dek kerana terkeliru.

Penyandang Kursi Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim, menegaskan Islam yang diturunkan Allah melalui Rasul-Nya sebenarnya untuk semua manusia.

Menurutnya, sesiapapun berhak menganut agama suci itu dan tiada sebarang sekatan dalam hal ini, termasuk untuk mengamalkan ajaran Islam dan memperjuangkannya.

Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa mengajak kepada petunjuk, baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikuti (ajakan)nya, tidak dikurangi sedikitpun daripada pahala-pahala mereka." (Hadis riwayat Muslim)

Beliau berkata, sekiranya masyarakat menyelusuri sejarah, Islam wujud semenjak zaman Nabi Adam a.s lagi, kemudian ia berterusan kepada nabi dan rasul selepas baginda.

"Cuma selepas Nabi Ibrahim a.s, banyak pihak yang meninggalkan ajaran Islam sehingga menyembah berhala, menyekutukan Allah.

"Akhir sekali datang Nabi Muhammad s.a.w membawa Islam iaitu Islam yang dibawa yang sama dari dulu.

"Cuma dakwah Nabi Muhammad ini berbeza sedikit dengan nabi sebelumnya, kerana nabi sebelumnya membawa ajaran untuk kaum tertentu saja.

"Baginda s.a.w pula membawa ajaran Islam untuk semua manusia, tidak terbatas di negara Arab dan kaum tertentu saja.

"Islam seluruhnya adalah komuniti yang paling besar dan kerana itu dalam solat, ibadat puasa, hatta menunaikan haji juga di tempat yang sama iaitu di Tanah Suci Makkah.

"Melalui ibadat ini menjelaskan kepada masyarakat, umat Islam adalah satu dan kita harus bersatu," katanya.

Beliau juga menegaskan, Islam adalah milik semua pihak yang mengaku Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi terakhir, mengucap kalimah syahadah dan tidak murtad, iaitu selagi tidak menyatakan keluar daripada Islam.

"Apabila mengatakan solat tidak wajib, terkeluarlah daripada Islam dan kalau melakukan maksiat sekalipun, selagi tidak menafikan kewajipan dalam beragama, masih dikira Islam," katanya.

Lima ahli hadis meriwayatkan daripada Tamim ad-Darimi dari Nabi s.a.w, baginda bersabda, (maksudnya): "Agama adalah nasihat." Kami bertanya: "Untuk siapa?" Nabi s.a.w menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, ulama umat Islam dan umat Islam secara keseluruhannya."

Orang Islam mempercayai Allah mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w, melalui malaikat Jibril serta menjunjung tinggi al-Quran dan sunnah sebagai sumber asas dalam kehidupan, sama ada membabitkan politik, ekonomi, pendidikan dan hal ehwal kemasyarakatan, selain mengambil hukum melalui ijmak, qias dan ijtihad.

Sebagaimana fahaman lain yang mempunyai tatacara, Islam juga tidak terlepas daripadanya, malah rangkuman tiga segmen; ketuhanan (tauhid), peribadatan (syariah) dan nilai (akhlak), menjadikannya ajaran yang lebih tersusun.

Ringkasnya, umat Islam perlu mematuhi lima prinsip yang disebut Rukun Islam, gabungan ketiga-tiga segmen terbabit.

Bagi umat Islam, walaupun Nabi Muhammad yang membawa ajaran Islam, mereka tidak menganggap baginda pengasas agama baru, tetapi sebagai rasul mengembalikan semula ajaran asal ketuhanan yang satu Nabi Ibrahim, Musa, Isa dan sekalian nabi a.s.

Dr Ismail berkata, dalam soal ini tidak berbangkit lagi persoalan sama ada sesetengah pihak itu Islam atau terkeluar daripada Islam, selagi dia mematuhi prinsip terbabit.

"Islam bukan untuk orang Melayu atau Arab sahaja. Michael Jackson pun kalau dia mengucap kalimah syahadah, dia juga orang Islam," katanya.

Oleh Idris Musa

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI