Kecoh Putera Saudi berlakon iklan telefon

Tuesday, April 20, 2010


Kemunculan Putera Abdullah Metab, cucu kepada raja Arab Saudi dalam sebuah iklan komersial di televisyen mungkin mengejutkan rakyat negara itu, namun ia menunjukkan bahawa keluarga diraja itu kini sedang berubah secara perlahan-lahan.
Watak utama yang dipegang oleh putera tersebut dalam sebuah iklan untuk pengendali telefon bimbit kedua terbesar di Arab Saudi, Etihad Etisalat (Mobily) mencetuskan perdebatan di kalangan diplomat dan rakyat Saudi.

Mereka mempersoalkan kesan perkara itu terhadap pemerintahan beraja mutlak yang sebelum ini sering merahsiakan hubungan dalamannya.

"Mengapa putera Saudi itu muncul dalam iklan di televisyen? Dan mengapa perlu cucu raja itu dan bukannya orang lain?" Tanya seorang diplomat Barat yang berpengkalan di Riyadh.

Iklan itu yang dibintangi oleh Putera Abdullah, seorang penunggang kuda profesional dan mendapat tajaan daripada syarikat komunikasi tersebut, mendedahkan perubahan ketara yang memberi kesan terhadap keluarga diraja Arab Saudi itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut seorang juruanalisis negara itu yang rapat dengan beberapa anggota keluarga diraja tersebut.

Ada beribu-ribu putera Saudi daripada keturunan pengasas kerajaan Raja Abdulaziz, yang meninggal dunia pada tahun 1953.

"Mereka semakin mendekati orang awam. Jumlah putera muda yang ramai semakin menenggelamkan jumlah pemimpin lelaki terdahulu dalam pemerintahan beraja Saudi, yang turut dilihat mengamalkan sikap seperti orang kebanyakan dalam gaya hidup mereka.

"Sama ada melalui pembabitan mereka dalam bidang perniagaan atau merupakan seorang yang dermawan, keluarga diraja kini menjadi sebahagian daripada golongan elit Saudi," katanya.

Raja Abdullah sebelum ini berulang kali menyatakan komitmennya untuk memodenkan negara pengeksport minyak terbesar di dunia itu menerusi pembaharuan dalam sektor ekonomi dan politik.

Bagaimanapun, pembaharuan yang dilihat dilakukan oleh keluarga diraja dalam sistem pemerintahan setakat ini ialah menerusi penubuhan majlis diraja pada tahun 2006 untuk melantik bakal putera mahkota dan raja. - REUTERS

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI