Sha’arin lafaz cerai selepas Ida Nerina halau

Wednesday, April 14, 2010

“Baiklah, saya ceraikan kamu.” Ayat tersebut didakwa dilafazkan oleh Sha’arin terhadap isterinya, Ida Nerina selepas pelakon wanita tersebut menghalaunya serta meminta diceraikan setelah berlaku pertengkaran antara mereka.

Sha’arin Mohd. Razali, 40, yang juga bekas pemuzik kumpulan Blackrose mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman mereka di E-08-12, Metropolitan Square, Jalan PJU8/1, Damansara Perdana di sini pada pukul 11 pagi, 22 September tahun lalu.

Sha’arin selaku plaintif hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan olehnya pada 12 Oktober 2009.

Ketika disoal peguam syarie Mahyuddin Md. Zahari yang mewakilinya mengenai keadaannya ketika lafaz itu dibuat, Sha’arin berkata, walaupun sedikit marah tetapi dia berada dalam keadaan sedar, waras, normal, tidak tertekan atau dipaksa oleh sesiapa.

Sha’arin juga mengaku lafaz yang dibuat di dalam kamar tidur mereka itu disertai dengan niat untuk menceraikan isterinya.

Katanya, pada waktu kejadian, pembantu rumah mereka sedang berada di dalam bilik air.

Ditanya apa yang berlaku selepas itu, Sha’arin memberitahu, dia menyuruh pembantu rumah mengemaskan pakaiannya ke dalam beg dan 30 minit kemudian dia meninggalkan rumah tersebut.

Menurut Sha’arin, dia balik semula ke rumah itu pada pukul 5 petang untuk mengambil saki-baki pakaiannya yang telah dikemas oleh pembantu rumah.

Namun, katanya, dia hanya mengambil beg tersebut di tempat letak kereta.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Ida, Akbardin Abdul Kader ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan, anak guamnya kini telah pulang dari India selepas menjalani rawatan tulang belakang sejak beberapa bulan lalu.

“Ida telah memaklumkan kepada saya bahawa dia akan datang ke mahkamah pada 21 April nanti untuk memberi keterangan.

“Dia tetap dengan pendiriannya menafikan pernah mendengar sebarang lafaz cerai diucapkan kepadanya oleh plaintif selama mereka tinggal bersama,” kata Akbardin.

Pelakon filem Selubung, Layar Lara, Anak dan Susuk itu mengalami kecederaan tulang belakang selepas dilaporkan terjatuh dari tangga di kediamannya, Jun tahun lalu.

Sha’arin dan Ida atau nama sebenarnya Ida Nerina Hussain bernikah pada 2 Jun 2006 dan pasangan itu tidak dikurniakan anak.

Sha‘arin bagaimanapun mempunyai dua cahaya mata, Narissa, 14, dan Arman, 8, melalui perkahwinan pertamanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin bersambung 21 April ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI