Deejay Aleya diserang pembuli jalanraya

Thursday, January 15, 2009

“Dia mengamuk lalu menghentak cermin belakang kereta saya hingga pecah,” kata penyampai Radio Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 26, yang menjadi mangsa pembuli jalan raya di sini, semalam.

Dia yang lebih dikenali sebagai Aleya, berkata mulanya dia mahu meminta penjelasan berikutan keretanya terbabit kemalangan kecil dengan motosikal ditunggangi seorang lelaki bersama kekasihnya.

Namun, katanya, berlaku sedikit pertengkaran menyebabkan lelaki itu mengamuk sebelum membuka topi keledar dan menghentak cermin belakang keretanya hingga pecah.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Aleya memandu berseorangan untuk ke tempat kerja di Sri Pentas, Bandar Utama.

Dia yang memandu kereta jenis Honda dilanggar sebuah motosikal yang dinaiki sepasang kekasih.

“Saya terkejut ketika itu sebelum memberhentikan kereta untuk melihat kesan pelanggaran di bahagian penumpang.

“Lelaki terbabit dan teman wanitanya turut memberhentikan motosikal dan ketika itulah saya cuba meminta penjelasan sebelum berlaku pertengkaran kecil,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Aleya berkata, tindakan lelaki itu menghentak cermin belakang keretanya dengan topi keledar menakutkannya.

“Dia terus beredar tanpa rasa bersalah. Saya benar-benar terkejut dengan kejadian itu, namun mampu mengawal perasaan walaupun takut dengan tindakan itu.

“Walaupun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya terpaksa memandu hingga ke pejabat berikutan terpaksa memulakan tugas jam 10 pagi,” katanya yang pertama kali mengalami kejadian seumpama itu sejak menggunakan kereta itu, September lalu.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan.

Berikutan itu, Aleya membuat dua laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dan Uptown Damansara.

“Saya sudah menghantar kereta ke bengkel untuk menggantikan cermin belakang yang pecah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang menimpa Aleya.

Aleya yang pernah membintangi filem Idola mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Ashraf Aasimudin, 29, pada Disember 2007 dan kini hamil dua bulan.

Oleh Hadzlihady Hassan dan Iskandar Shah Mohamed

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI