Tokoh muzik tradisional Rahim Jantan

Saturday, June 05, 2010

Cintanya terhadap muzik tradisional tidak pernah pudar. Irama yang tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas itu terus mengalir dalam darahnya sehingga menjadi sebati di dalam tubuhnya. Mengenali lelaki ini, tentunya ramai yang tahu bahawa muzik tradisional dan dirinya cukup sinonim.

Dek kerana minatnya itu, dia tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai jenis majlis ilmu demi mempertingkatkan pengetahuannya terhadap irama itu. Sehingga kini, dia pernah mengikuti lebih 100 kursus termasuk kursus di Jabatan Belia dan Sukan, Penyiaran, Pendidikan atau apa saja yang dianjurkan oleh kerajaan serta swasta.
Dan kerana kerajinannya itulah maka tokoh muzik tradisional, Rahim Jantan terus menjadi rujukan dan juga perpustakaan bergerak kepada mana-mana pihak yang ingin mendalami khazanah tradisi peninggalan nenek moyang itu.

Tapi itu dulu, sewaktu dia masih aktif dan ketika hayatnya masih ada. Namun kini, semuanya tinggal kenangan, semua ilmu yang ada padanya di bawa bersama ke liang lahad apabila tanggal Isnin lalu, Rahim yang juga tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pergi mengadap Ilahi selepas diserang sakit jantung.

Allahyarham yang berusia 63 tahun meninggal dunia di kediamannya di Taman Rasmi Jaya, Ampang kira-kira 11.30 malam sejurus selepas terjaga daripada tidur akibat sakit dada. Jenazah beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cheng di Melaka sebelum solat Zuhur, Selasa lalu. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Pemergian Allahyarham ditangisi ramai dan umpama satu kehilangan yang cukup besar dalam industri muzik tanah air.Siapakah yang layak menggantikan tempatnya dan apakah legasi perjuangannya dalam bidang muzik tradisional bakal terhenti sama seperti degupan jantungnya?Sewaktu hayatnya masih ada, penyanyi ini pernah melahirkan rasa bimbang dan gusarnya apabila melihat generasi muda hari ini ketandusan bahan rujukan terutama bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan lagu Melayu Asli.

“Saya kasihan melihat penyanyi muda yang berminat dengan irama Melayu. Mereka membeli album di pasaran untuk rujukan, sayangnya kebanyakan album tersebut telah diubah suai dan hilang seninya,” katanya dalam satu temu bual.
Justeru, dengan memegang status sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Allahyarham menggunakan pengalaman serta kepakaran yang ada untuk mendidik anak bangsa mendalami khazanah seni tanah air. Allahyarham seperti yang diketahui, amat mahir dalam lenggok lagu Melayu seperti yang sering didendangkan sejak zaman istana dulu. Dengan bakat yang dimilikinya itu, Allahyarham juga sering menganjurkan bengkel lagu Melayu selain bertindak sebagai perunding muzik tradisional.

Mengimbas kembali perjalanan hidup Allahyarham, dia sebenarnya langsung tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang muzik. Namun, bakatnya itu dapat dikesan gurunya dan sering dipilih untuk menyanyikan lagu negara secara solo sewaktu perhimpunan.

“Dulu masa sekolah, Cikgu Jaafar sering menyuruh saya menyanyi Negaraku secara solo sewaktu perhimpunan. Entahlah. Mungkin Cikgu Jaafar nampak bakat seni dalam diri saya agaknya.

“Sejak itulah timbul minat untuk bermain alat muzik pula. Kalau tengok orang main, saya selalu berkata kalau aku main mesti lebih baik. Selepas belajar main harmonika, saya beralih pada biola. Nak beli tak mampu, saya buat biola daripada papan lapis. Kemudian pergi main dan buat latihan suara di dalam hutan,” ceritanya mengenai kesungguhannya untuk mendalami ilmu muzik.

Dan selepas melihat kesungguhannya itu, menurut Allahyarham, barulah bapanya memberi restu atas pilihannya itu.

“Akhirnya ayah pun menghadiahkan biola kepada saya. Bukan saja ayah, tetapi seorang pemain biola terkenal di kampung saya iaitu Cik Kemat turut memberikan saya sebuah biola setelah melihat kesungguhan saya dalam bidang muzik,” katanya yang dilahirkan di Balai Panjang, Batu Tiga, Melaka.

INFO:

* Pada tahun 1969, Allahyarham muncul sebagai Juara Bintang Lagu Melayu Asli Kebangsaan kawasan selatan dan juara Kebangsaan Dendang Rakyat anjuran RTM pada tahun 1980.
* Album pertama yang dihasilkannya ialah pada tahun 1969, duet bersama S Roha dan lagu popular dendangannya ketika itu ialah Kasih Berpadu dan Jangan Lupakan Daku.
* Allahyarham pernah juga menghasilkan empat siri album yang memuatkan pelbagai rentak lagu seperti irama asli, joget, inang, zapin dan masri.
* Pernah mencipta beberapa buah lagu antaranya Wajah Mu Umpama Bulan, Kelapa Kembar, Joget Berhibur, Di Anjung Rindu dan Ghazal Purnama.
* Beliau juga pernah berduet dengan Allahyarham Rosiah Chik, Allahyarham Datin Rafeah Buang, Allahyarham Kamariah Noor dan Datuk Yusni Hamid.
* Antara anugerah yang pernah diterimanya termasuklah Anugerah Seni Negara (Pemuzik) 2006, Anugerah Penggerak Budaya Melaka, Anugerah Bintang Kehormat Terpuji (BKT), Bintang Kebesaran Negeri Melaka daripada Tuan Yang Terutama Negeri Melaka (2003) dan Bintang Cemerlang Melaka (2006).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI