Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, awal hari ini.
Gaddafi, 69, terbunuh setelah mengalami cedera parah dalam serangan awal subuh itu.
Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.
Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.
Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.
Bekas pemimpin itu mengalami cedera parah di kedua-dua belah kakinya.
“Ketika ditangkap, dia (Gaddafi) turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera kerajaan sementara Libya),” kata Mlegata.
Gambar-gambar merakamkan keadaan pakaiannya berlumuran darah tersebar di Internet.
Seorang pegawai NTC, Mohamed Abdel Kafi berkata, jenazah Gaddafi dibawa ke satu lokasi rahsia atas faktor keselamatan.
‘‘Jenazahnya dibawa ke lokasi yang dirahsiakan menggunakan sebuah kenderaan NTC,” kata Mohamed.
Bekas Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Gaddafi, Abu Bakr Younis turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Gaddafi menghadapi penentangan daripada rakyatnya sejak Februari lalu sebelum melarikan diri dari Tripoli setelah ibu negara Libya itu jatuh ke tangan pemberontak dengan bantuan NATO pada Ogos lalu.
Sejak kejatuhan Tripoli, Gaddafi melarikan dan meneruskan perjuangan untuk kembali berkuasa, manakala sebahagian ahli keluarganya termasuk isteri dan anak perempuannya telah melarikan diri ke Algeria.
Sebelum ini, anak lelakinya, Khamis, 28, terbunuh dalam pertempuran di Tarhouna, selatan Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.
Khamis merupakan komander Briged Elit ke-32 tentera yang dikatakan berjaya menumpaskan pemberontak di timur Benghazi pada Februari lalu.
Pada 30 April lalu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera NATO di Bab al-Aziziya, Tripoli.
Sementara itu, rangkaian televisyen Al Jazeera menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.
Selain itu, Al Jazeera turut menyiarkan gambar mayat Gaddafi di belakang ambulans dan mukanya tidak berlumuran darah.
--------------------
Kematian Muammar Gaddafi dalam serangan anggota tentera kerajaan sementara awal hari ini menamatkan pemburuan ke atasnya selama dua bulan sejak kerajaannya tumbang pada Ogos lalu setelah ibu negara Tripoli jatuh ke tangan pemberontak.
Kematiannya yang tragis itu disambut dengan sorakan kegembiraan oleh rakyat Libya, terutama pemberontak yang berusaha mengulingkannya melalui tunjuk perasaan sejak Februari lalu yang kemudian bertukar menjadi pemberontakan berdarah.
Selepas kejatuhan Tripoli, pemimpin itu cuba mempertahankan kuasanya dengan penyokong dan tentera yang setia dengannya melancarkan serangan balas dari kubu kuatnya di Sirte, bandar kelahirannya dan Bani Walid.
Namun, bandar Sirte tumbang ke tangan tentera pemberontak awal bulan ini dan pertempuran sengit berterusan di bandar itu dan Bani Walid sehingga Gaddafi terbunuh di tangan musuhnya yang dibantu tentera Pertubuhan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) awal hari ini.
Pemberontakan di Libya bermula sejak Februari lalu setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Yemen.
Ia bermula dengan tunjuk perasaan bagi mendesak diadakan reformasi sebelum bertukar menjadi pemberontakan unutk menggulingkan Gaddafi yang telah memimpin Libya selama 42 tahun.
Rakyat Libya menyifatkan Gaddafi sebagai seorang diktator.
Sepanjang pergolakan selama hampir lapan bulan itu, rakyat Libya melancarkan berpuluh-puluh tunjuk perasaan dan beribu-ribu nyawa terkorban apabila tentera yang setia Gaddafi melancarkan serangan ke atas pihak yang anti-rejim.
Namun, pihak anti-Gaddafi tidak mengalah sebaliknya meneruskan pemberontakan dan serangan dengan bantuan NATO, sehingga menawan satu demi satu bandar di Libya termasuk Tripoli sehingga memaksa bekas pemimpin itu melarikan diri dan bersembunyi tanpa diketahui lokasinya.
Kematiannya membawa kejatuhan seorang lagi pemimpin Arab selepas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali digulingkan dalam kebangkitan rakyat di dunia Arab.
Kematiannya membuktikan Gaddafi adalah seorang pejuang yang sanggup mati demi mempertahankan negaranya. - Agensi