Liverpool menewaskan Swansea 4-1 (30 DISEMBER 2014)

Tuesday, December 30, 2014

Liverpool menewaskan Swansea 4-1 (30 DISEMBER 2014)
Adam Lallana menyumbat dua gol membantu Liverpool yang kembali menemui sentuhan jaringan apabila menewaskan Swansea 4-1, awal pagi ini.

Kemenangan ini di Anfield adalah yang terbesar dalam Liga Perdana Inggeris, musim ini untuk anak didik Brendan Rodgers.

Selepas Alberto Moreno membuka tirai jaringan pada minit ke-33, Lallana menyumbat gol kedua dengan sedikit tuah hasil kesilapan penjaga gol Swansea, Lukasz Fabianski yang tersalah membuat hantaran tepat ke arah pemain tengah itu.

Bola itu melantun daripada bahu pemain itu dan terus bergolek masuk ke dalam gawang untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-51.

Gylfi Sigurdsson membalas untuk Swansea selang seminit kemudian tetapi Lallana mengekalkan pendahuluan dua gol untuk Liverpool dengan rembatan paras rendah pada minit ke-61.

Jonjo Shelvey pula menanduk masuk gol sendiri pada minit ke-69 untuk memberikan tuan rumah itu empat gol dalam satu perlawanan buat pertama kali, musim ini.

Kemenangan ini menyaksikan Liverpool melonjak dan memintas Swansea pada kedudukan tempat kelapan berbekal 28 mata - lima di luar kedudukan tempat empat teratas Liga Juara-Juara.

Lallana bergandingan dengan Raheem Sterling dan Philippe Coutinho di hadapan manakala Mario Balotelli memanaskan bangku sekali lagi.

Kapten pasukan, Steven Gerrard juga direhatkan tetapi Liverpool jelas nampak berbahaya apabila menjana serangan.

"Ini adalah apa yang kami mencari sepanjang musim ini," kata pengurus pasukan, Rodgers selepas perlawanan. - AFP

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI