Penganggur hidup mewah hasil jenayah

Tuesday, December 23, 2014

Penganggur hidup mewah hasil jenayah

Kehidupan seorang penganggur yang menggunakan wang hasil jenayahnya dengan menyewa sebuah kondo di Teluk Kemang, Port Dickson, bersama rakannya sejak Mei lalu, terbongkar selepas ditangkap polis dalam serbuan di kondo berkenaan, 17 Disember.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, penganggur berkenaan dan kekasihnya dipercayai menyamun seorang wanita di sebuah kedai dekat Pedas Indah, 17 November lalu.

Menurutnya, dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang dikenali sebagai 'Bidik' berusia 22 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan 12 kes jenayah membabitkan satu kes samun iaitu di Rembau, satu kes curi motosikal dan 10 lagi kes ragut di sekitar Negeri Sembilan
iaitu Seremban dan satu di Port Dickson.

“Lelaki terbabit ditangkap dalam serbuan pada jam 7.20 pagi dan ketika itu, dia bersama kekasihnya berada di dalam bilik, sementara lima lagi rakan mereka berusia 18 hingga 25 tahun termasuk seorang perempuan berusia 20 tahun berada di ruang tamu kondo berkenaan.

“Bagaimanapun, kekasihnya iaitu remaja berusia 17 tahun cuba melarikan diri melalui balkoni bilik di tingkat lima berkenaan dan terjatuh ke tanah. Remaja berkenaan kini koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, dekat sini, semalam.

Ibrahim berkata, dalam serbuan itu, polis menemui barangan hasil jenayah pasangan kekasih berkenaan berupa kad pengenalan mangsa, telefon bimbitdan beg tangan pelbagai jenama, dompet dan lain-lain lagi.

“Kita juga merampas motosikal curi jenis Yamaha 135 LC, pelbagai nombor pendaftaran palsu, topi keledar dan juga jaket yang digunakan pasangan kekasih berkenaan untuk melakukan jenayah.

“Bagaimanapun, barangan kemas yang disamun serta diragut pasangan kekasih berkenaan sejak Mei hingga awal Disember ini tidak dijumpai dan dipercayai dijual kepada pembeli tepi jalan yang digelar sebagai ‘ulat’," katanya.

Katanya, kini lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan pemeriksaan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati suspek positif dadah. Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Untuk rekod, lelaki berkenaan mempunyai jenayah lampau dalam kes rogol pada Mei tahun lalu dan dadah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI