Mas AF2 masuk wad

Thursday, February 05, 2009

“Saya bukan gila, saya hanya mahu hak saya,” demikian kata Asma Ghani atau Mas AF2, pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) yang terpaksa ditempatkan di Wad Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat tekanan perasaan dialaminya.

Mas, 27, menyatakan demikian kepada teman lelakinya, Shahrul Azman atau Rock ketika diminta datang ke HKL, malam kelmarin.

Menurut Rock, tekanan perasaan akibat keseorangan di Kuala Lumpur dan ternanti-nanti album dikeluarkan dipercayai menjadi punca Mas membuat kecoh di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, malam kelmarin.

“Saya difahamkan, dia datang ke balai polis untuk membuat laporan mendakwa ditipu seseorang, tetapi enggan pulang.

“Mas juga bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa membawanya mendapatkan rawatan di HKL,” katanya yang ditemui semalam.

Dia berkata, teman wanitanya itu mungkin jadi begitu kerana harapan terlalu tinggi ketika datang ke Kuala Lumpur, ditambah keinginan mahu mengubah kehidupan keluarganya.

Selepas menandatangani kontrak, kata Rock, Mas dijanjikan album, namun disebabkan tiada sebarang perkembangan sehingga kini dia mengalami tekanan yang teruk.

“Semangat dan harapannya sangat tinggi, namun apabila lama berada di sini tanpa sebarang perkembangan, Mas buntu serta mula meluahkan rasa marah yang terpendam,” katanya.

Katanya, buat masa ini, doktor masih memantau keadaan teman wanitanya.

Dia sendiri sebak melihat keadaannya dan berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan cara baik. Saya juga berharap peminat Mas mendoakannya supaya segera sembuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent and Management (Maestro), Freddie Fernandez, berkata pihaknya percaya Mas bertindak mengikut emosi kerana masalah peribadi dan bukan disebabkan albumnya tertangguh.

“Sebelum ini, Maestro menawarkan untuk melepaskan dia daripada syarikat dan bergerak sendiri, namun dia enggan. Jadi saya akan tolong yang termampu tetapi tidak menjanjikan apa-apa.

“Kami juga ada membantu dia menghasilkan album mini dengan Joe Wings sebagai penerbit, namun disebabkan Joe jatuh sakit dan terpaksa berehat selama tiga bulan menyebabkan proses itu tertangguh.

“Kami juga mengadakan pertemuan dengan Mas baru-baru ini untuk menjelaskan perkara itu dan proses penghasilan album itu dijangka dimulakan minggu depan,” katanya.

Freddie berkata, dia tidak tahu Mas membuat laporan terhadap individu tertentu di Balai Polis Pandan Indah.

“Saya dimaklumkan Mas ada menghubungi seorang kakitangan Maestro malam itu (malam kelmarin) mengatakan keretanya rosak dan mungkin dia berjalan kaki ke balai polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat terkejut dengan berita Mas dimasukkan ke wad psikiatrik dan bersimpati dengan nasibnya.

“Saya akan melawat dia esok (hari ini) dan cuba membantu Mas menyelesaikan masalah,” katanya.

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Hadzlihady Hassan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI