Slumdog Millionaire menggondol lapan Anugerah Oscar

Tuesday, February 24, 2009

Barangkali individu yang paling terkilan saat ini ialah Shah Rukh Khan. Ia berikutan kejayaan filem Slumdog Millionaire meraih majoriti kemenangan dengan menggondol lapan Oscar pada majlis Anugerah Academy ke-81, yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles kelmarin.

Aktor terkenal Bollywood itu sepatutnya melakonkan watak Prem Kumar, hos program Who Wants To Be a Millionaire? dalam Slumdog Millionaire tetapi dia nekad menolak tawaran berlakon filem itu kerana merasakan watak itu sebagai negatif.
Begitu juga dengan aktor veteran tersohor Bollywood, Amitabh Bachchan. Mungkin dia perlu menarik semula kenyataannya yang sebelum ini menyelar pengarah filem itu, Danny Boyle atas dakwaan menggambarkan India sebagai negara yang masih dibelenggu masalah kemiskinan.

Ini kerana mimpi dalam filem yang dikritiknya itu sudah menjadi kenyataan!
"Hidup India! Hidup India!" Itulah antara butir kata-kata yang sempat dilontarkan Anil Kapoor yang merupakan seorang aktor terkenal Bollywood ketika ditemu bual hos terkenal, Ryan Seacrest untuk saluran E! Entertainment pada acara karpet merah majlis Oscar yang penuh gemilang dibanjiri nama-nama tersohor
JIRAN tetangga pelakon cilik Rubina Ali, di perkampungan setinggan di Mumbai, bersorak keriangan ketika A.R.Rahman membuat persembahan lagu Jai Ho di pentas Oscar 2009.

Hollywood daripada Angelina Jolie hingga bintang remaja terkenal masa kini, Miley Cyrus.

Selain pelakon kanak-kanak Slumdog Millionaire terutama Rubina Ali dan Azharuddin Mohammed Ismail yang berjaya menarik perhatian ramai pada acara karpet merah Oscar kali ini, turut merasai bahang glamor bertaraf global itu sudah tentulah Anil.

Lebih bermakna lagi apabila Anil berpeluang melaungkan kata-kata penuh patriotik itu yang disaksikan secara langsung di seluruh dunia. Ini bermakna Anil sepertimana apa dan siapa juga yang berkaitan dengan Slumdog Millionaire kini secara rasminya sudah dikenali dunia!

Terima kasih kepada Shah Rukh kerana menolak watak Prem Kumar yang kemudian disambar Anil.

Bilakah lagi muncul peluang buat aktor Bollywood untuk muncul gah seumpama Anil pada Oscar di Hollywood?

Mungkin itu satu-satunya peluang keemasan dan peluang itu berjaya diperoleh Anil yang disebut oleh Ryan Seacrest dengan jolokan 'George Clooney Bollywood'.

Apa yang penting, kejayaan Slumdog Millionaire pada Oscar kali ini telah merasmikan runtuhnya benteng Hollywood terhadap Bollywood selama ini.

Bollywood yang sebelum ini sukar untuk diterima di Hollywood kini bukan sahaja berpeluang memasuki pintu Hollywood yang sudah terbuka luas, tetapi lebih bermakna apabila diberi masuk dengan penuh penghormatan.

Semuanya gara-gara kemenangan besar Slumdog Millionaire menjadi filem paling banyak menggondol Oscar pada majlis Anugerah Academy kali ini.

Keupayaan Slumdog Millionaire merangkul lapan anugerah daripada 10 pencalonan yang diraihnya termasuk Anugerah Filem Terbaik bukan sekadar menjadi kemenangan buat penerbit filem itu, Fox Searchlight dan juga Boyle yang turut menang Anugerah Pengarah Terbaik.

Ini kerana naskhah filem itu tidak akan lahir tanpa suntikan kreativiti anak-anak kelahiran India yang turut meraih pengiktirafan pada Oscar.

Melakar sejarah India di Hollywood dengan meraih Oscar kali ini ialah pemuzik unggul India, A.R. Rahman yang bukan sahaja menjadi warga India pertama meraih dua Oscar tetapi menyapu bersih kategori muzik yang dipertandingkan dalam Anugerah Academy.

Dia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Skor Muzik Terbaik dan Lagu Terbaik.

Dalam sejarah 81 tahun Oscar, hanya dua warga India merangkul anugerah iaitu Bhanu Athaiya yang memenangi Anugerah Kostum Terbaik menerusi filem Gandhi (1982) dan anugerah kehormat yang diberikan kepada penerbit filem legenda India, Satyajit Ray pada 1991.

Rahman, 43, yang pernah diberi jolokan 'Mozart Madras' ketika membuat ucapan kemenangannya di pentas Academy ke-81 berkata: "Saya berasa terkejut dan seronok dalam masa yang sama. Kali terakhir saya berasa seperti ini adalah ketika majlis perkahwinan saya."

Menurutnya lagi, Slumdog Millionaire adalah filem mengenai optimistik dan kuasa harapan. "Dalam seluruh kehidupan saya, saya telah membuat pilihan antara benci dan cinta. Saya telah memilih cinta dan (sebab itu) saya di sini (Oscar 2009)," ucapnya penuh bermakna.

Kemenangan Rahman itu sebenarnya sudah diramalkan sejak awal oleh keluarganya di India. "Keluarga saya begitu gembira kerana mereka dari awal lagi menjangkakan Rahman akan menang lebih daripada satu Oscar.

"Justeru, ia (kemenangan dua Oscar) merupakan kegembiraan berganda. Terima kasih kepada semua yang berdoa untuknya di India," ujar adik perempuan Rahman, Fatimah Rafiq.

Namun, Rahman bukan satu-satunya rakyat India yang menang Oscar kali ini apabila Resul Pookutty turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Adunan Bunyi Terbaik.

"(Kemenangan) ini sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Kami semua tidak sangka sama sekali.

"Terima kasih Academy, ini bukan sekadar anugerah untuk adunan bunyi filem. Ini adalah suatu sejarah yang diberikan kepada saya," ujar Resul.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI