Sophia Loren merupakan antara ikon terkenal dalam barisan wanita glamor dunia. Kecantikan dalaman, kemuliaan hatinya, kemesraan personaliti dan kisah hidup serta kejayaan yang cukup mempesonakan menjadikan beliau sebagai model contoh paling menyerlah bagi jutaan wanita sejak berdekad lamanya.
Sophia tidak pernah mengambil mudah segala kesenangan hidupnya. Sebaliknya, kejelitaan, keluarga, kejayaan dan kemewahan yang dinikmati kini merupakan hasil titik peluh, komitmen dan kekuatan dalaman beliau.
Sebagai seorang pelakon, penulis dan pereka, Sophia melihat kehidupannya sebagai satu proses penemuan jati diri.
Katanya, dua kelebihan yang dimiliki sejak kecil adalah dilahirkan bijak dan dalam keadaan miskin.
''Ia memberikan saya kelebihan berbanding orang lain kerana sebarang masalah yang timbul ketika dewasa tidak akan mengganggu kehidupan saya,'' katanya..
Sophia dilahirkan sebagai Sofia Scicolone di wad kebajikan untuk wanita tidak berkahwin di Rome, Itali pada 1934. Bapanya, Riccardo Scicolone mengesahkan beliau sebagai anaknya tetapi enggan mengahwini ibu Sophia.
Sewaktu kecil, ketakutan merupakan satu perkara biasa dalam hidupnya kerana sering kesempitan wang untuk makan atau diganggu rakan-rakan di sekolah sebagai anak luar nikah.
Lebih-lebih lagi terpaksa meneruskan kehidupan dalam suasana peperangan dengan jet pengebom melepaskan letupan maut secara berterusan setiap hari.
Bagaimanapun, filem-filem Hollywood yang ditonton Loren sejak muda itu berjaya membangkitkan kembali semangatnya kerana akhirnya menemui cita-cita yang selama ini terpendam.
Pada usia 13 tahun, Loren menyertai pertandingan ratu cantik Queen of the Sea di Naples dan berjaya terpilih sebagai salah seorang puteri serta memenangi tiket perjalanan ke Rome. Remaja itu dan ibunya mengambil kesempatan itu berhijrah ke Rome bekerja sebagai pelakon tambahan.
Tugas pertamanya adalah beraksi untuk fumetti (persembahan foto) dan poskad. Beliau kemudiannya bertemu penerbit terkenal, Carlo Ponti yang membantu Sophia pada awal kerjaya sehingga berjaya diambil berlakon dalam filem pertamanya.
Namun rezeki tidak datang bergolek. Sophia gagal dalam setiap uji lakon dan hampir berputus asa apatah lagi ketika itu tidak dianggap sebagai jelita klasik kerana mempunyai hidung terlalu panjang, mulut terlalu besar dan dagu serta pinggul lebar.
Kerjaya lakonan Sophia benar-benar bermula pada usia 18 tahun sekitar 1952 dengan filem bertajuk Africa Under the Seas. Biarpun kurang sensasi namun filem berkenaan merupakan permulaan yang bagus untuk gadis muda berkenaan.
Tidak lama kemudian, Sophia berjaya menawan Hollywood dengan menyerlahkan bakat persembahan lakonan dan kejelitaan semula jadinya sehingga dianugerahkan pelakon wanita terbaik pertama oleh Oscar pada 1962.
Seterusnya pada 1964, 1965 dan 1969, Hollywood Foreign Press Association (Persatuan Media Asing Hollywood) memberi beliau anugerah Golden Globe untuk World Film Favorite.
Sophia kemudiannya digelar selebriti antarabangsa dengan status anggunnya yang dikaitkan fesyen terkemuka seperti House of Dior, Valentino dan Giorgio Armani. Nama, beliau sendiri menjadi jenama keanggunan, glamor dan cita rasa sebenar Itali serta mampu menonjolkan setiap busana yang digayakan.
Pada 1980, Sophia mengkomersialkan jenama beliau sendiri dengan melancarkan minyak wangi 'Sophia Loren' dan cermin mata hitam sebagai aksesori fesyen paling bergaya.
Kemuliaan hatinya juga cukup terkenal menerusi pelbagai usaha kebajikan sehingga menerima beberapa anugerah seperti Pencapaian Sepanjang Hayat NATO/ShoWest (1996) atas usahanya dalam National Alliance for the Prevention of Child Abuse and Maltreatment.
Beliau juga lama berkhidmat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Duta Muhibah (goodwill ambassador).
Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Sophia Loren bukan sekadar simbol seks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment