Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA

Wednesday, July 09, 2014

Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA

Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ialah sebuah fakulti yang ditawarkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) memfokuskan kepada pengajian dalam bidang seni rekaan komunikasi visual yang menggabungkan ilmu seni halus, rekaan tiga dimensi, rekaan visual dan seni persembahan.

Keunikan kursus ini ialah menawarkan kemahiran rekaan komunikasi visual yang merangkumi kemahiran rekaan pegun (static design) sehingga kepada rekaan pergerakan imej (moving images design).

Gabungan kedua-dua elemen terbabit adalah antara keistimewaan kursus ini berbanding dengan kursus rekaan komunikasi visual yang lain.

Kursus ini juga menekankan penguasaan ilmu asas seni visual yang merangkumi bidang catan, lukisan dan fotografi. Melalui ilmu dan kemahiran rekaan pegun, pelajar dapat menguasai bidang seni reka dalam bentuk visual grafik seperti poster, brosur, buku, imej korporat dan lain-lain.

Mereka bentuk visual

Peringkat seterusnya yang juga pelengkap kepada kursus ini ialah penguasaan kepada rekaan pergerakan imej yang memberikan peluang kepada pelajar mendalami ilmu dan kemahiran mereka bentuk visual sesebuah produksi seni persembahan seperti seni teater, muzik, tari, filem dan animasi.

Kemahiran serta keberkesanan rekaan komunikasi visual merupakan tonggak penting dalam menentukan kesan visual sesebuah persembahan sama ada melalui rekaan tekstur, warna, emosi dan suasana bagi membolehkan pelajar membuat rekaan set dan prop, pakaian, mekap, multimedia, pencahayaan dan bunyi.

Proses pembelajaran dan pengajaran dengan kemudahan perisian komputer terkini seperti AutoCAD, AI dan WYSIWYG serta penekanan kepada aspek teori dan praktikal memberikan peluang kepada pelajar melengkapkan diri sebagai graduan serta aktivis seni kreatif yang berkemahiran tinggi.

Graduan Diploma Rekaan Komunikasi Visual mempunyai potensi yang tinggi untuk menceburi kerjaya secara profesional dalam industri kreatif khususnya seni komunikasi visual dan seni persembahan sama ada sebagai pereka grafik, pengarah artistik, pereka produksi, pengarah seni, pereka set, pereka prop, pereka cahaya, pereka audio, pereka pakaian, pereka solekan dan pereka multimedia.

SYARAT KEMASUKAN PENGAJIAN DIPLOMA

- Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Melayu dan tiga mata pelajaran lain; ATAU Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan satu prinsipal; dan lulus mata pelajaran Ekonomi,

- DAN Warga negara Malaysia yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun pada tarikh tutup permohonan

- DAN Mempunyai pengalaman dan pengetahuan asas dalam bidang yang dimohon

- DAN Lulus temu duga dan uji bakat yang telah ditetapkan oleh ASWARA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI