Solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh amat dituntut

Wednesday, July 09, 2014

Solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh amat dituntut

Nafl adalah perkataan Arab yang bermakna tambahan. Dari segi istilah merujuk kepada selain fardu.

Dinamakan demikian kerana ia tambahan daripada apa-apa yang difardukan oleh Allah.

Perkataan nafl mempunyai makna yang sama dengan sunat, mandub dan mustahab. Justeru, apabila dikatakan solat nafl, ia bermakna solat sunat.

Solat sunat terbahagi kepada dua:

1. Solat yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah. Ia terbahagi kepada dua pula.

a. Solat sunat mengiringi solat fardu iaitu sunat muakkad dan tidak muakkad.

Solat sunat muakkad (dituntut)

Ialah dua rakaat sebelum solat Subuh, dua rakaat sebelum solat Zuhur dan selepasnya, dua rakaat selepas solat Maghrib dan dua rakaat selepas solat Isyak.

Daripada Ibnu Umar RA, katanya: "Aku menghafaz 10 rakaat daripada Nabi SAW iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan selepasnya, dua rakaat selepas solat Maghrib yang didirikan di rumahnya, dua rakaat selepas solat Isyak yang didirikan di rumahnya dan dua rakaat sebelum Subuh. Inilah waktu yang Rasulullah SAW tidak diganggu (tidak didatangi oleh tamu)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat sunat tidak muakkad ialah:

* Dua rakaat sebelum solat Zuhur iaitu tambahan kepada dua rakaat muakkad.

Daripada Aisyah RA: "Nabi SAW tidak meninggalkan empat rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sebelum fajar (solat sunat sebelum solat Subuh)." (Riwayat Bukhari)

Menurut riwayat Muslim, Aisyah RA berkata: "Rasulullah SAW bersolat di rumahku empat rakaat sebelum solat Zuhur. Kemudian baginda keluar dan bersolat bersama orang ramai. Kemudian baginda masuk dan solat dua rakaat."

* Dua rakaat selepas solat Zuhur iaitu tambahan kepada dua rakaat muakkad. Ini berdasarkan hadis riwayat lima perawi (Abu Daud, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad) dan Tirmidzi mentashihkannya daripada Ummu Habibah RA bahawa dia berkata:

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bersolat empat rakaat sebelum solat Zuhur dan empat rakaat selepasnya, Allah akan mengharamkan api neraka ke atasnya."

Demikian juga waktu Zuhur pada Jumaat disunatkan melakukan solat sunat empat rakaat sebelumnya; dua rakaat muakkad dan dua rakaat tidak muakkad. Begitu juga selepasnya.

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang kamu bersolat Jumaat, solatlah empat rakaat selepasnya." (Riwayat Muslim)

Tirmidzi meriwayatkan: "Ibnu Masud RA solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya."

* Empat rakaat sebelum Asar. Ini berdasarkan hadis riwayat Tirmidzi dan dia menghukumkannya sebagai hadis hasan. Daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Semoga Allah merahmati seseorang yang bersolat empat rakaat sebelum Asar."

Ia ditunaikan dengan dua rakaat, dua rakaat sebagaimana terdapat dalam hadis riwayat Tirmidzi dan lainnya daripada Ali RA: "Nabi SAW bersolat empat rakaat sebelum Asar dengan dipisahkan di antaranya dengan satu salam.

* Dua rakaat yang ringan sebelum solat Maghrib. Daripada Anas RA, dia berkata: "Ketika kami di Madinah, apabila muazin melaungkan azan untuk solat Maghrib, kalangan sahabat segera berdiri di belakang tiang (masjid) lalu mereka rukuk (solat) dengan dua rakaat, dua rakaat sehingga orang asing yang masuk ke masjid menyangka solat didirikan disebabkan terlalu ramai yang melakukannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Maksud dua rakaat, dua rakaat ialah setiap orang solat tidak lebih dua rakaat.

* Dua rakaat yang ringan sebelum solat Isyak. Daripada Abdullah bin Mughaffal RA, dia berkata Nabi SAW bersabda: "Di antara azan dan iqamah ada solat bagi sesiapa yang ingin melakukannya. Baginda mengulanginya tiga kali." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

b. Solat sunat tidak mengiringi solat fardu, terbahagi kepada dua:

* Solat sunat yang ada nama dan waktu tertentu seperti solat sunat tahiyatul masjid, witir, qiamullail (solat tengah malam, tahajud), duha dan istikharah.

* Solat sunat yang tiada nama dan waktu tertentu iaitu solat sunat (mutlak) pada mana-mana waktu kecuali pada waktu tertentu dilarang mendirikannya.

2. Solat sunat dilakukan secara berjemaah.

Solat jenis ini membabitkan solat sunat dua hari raya, tarawih, gerhana matahari atau bulan dan solat minta hujan (istisqa). Sumber: -Kitab Fiqah Mazhab Syafie


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI