Jika Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 24, berjuang merebut RM1 juta yang ditawarkan dalam pertandingan One In A Million (OIAM), kakaknya, Ismaliza Ismail (Isma), 30, pula berjaya melayakkan diri dalam kelompok 20 terbaik peserta Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7).
Pengumuman peserta AF7 itu diadakan di Orchid Grand Ballroom, Hotel Parkroyal, Jalan Sultan Ismail, petang semalam.
Bagaimanapun, kedudukan Isma sebagai pelajar AF7 masih samar kerana terdapat satu lagi peringkat saringan memilih sama ada 10, 12 atau 14 peserta terbaik yang akan diumumkan melalui Tirai Akademi Fantasia 7 pada Sabtu dan Ahad (7 dan 8 Mac 2009).
Selain Isma, seorang lagi peserta yang mempunyai pertalian saudara dengan artis tempatan adalah Khairil Azam Pilus, 23, juga adik kepada penyanyi dengan lagu Indah Lelapku, Izwan Pilus.
Mesra dengan panggilan Azam, namun ingin dikenali sebagai Aril menerusi AF7 ini bertugas sebagai pereka grafik dan pernah menyertai program pencarian kumpulan terhebat, Gang Starz terbitan TV3 bersama kumpulannya 1st Edition.
Berbeza dengan Isma dan Azam, Lizda Nuryanti Abidin, 27, pula isteri kepada pelakon dan usahawan, Ezany Nizariff, yang popular menerusi drama Anak Betung.
Pada sidang media itu, pihak Astro turut membuat kejutan apabila menyenaraikan artis rakaman sebagai seorang peserta AF7 iaitu Nas Adila Mohd Dan, 23.
Selain itu bekas peserta OIAM musim kedua, Abraham Edwin Dungot, 26, dan Rubisa Tiasin, 23, dari My Starz LG musim pertama turut disenaraikan.
Jika penganjuran tahun lalu, AF menampilkan peserta ‘veteran’ iaitu Mama Rina, AF7 pula menampilkan Kelana Ayu (Kelana), 40, berasal dari Bintulu Sarawak dijangka menjadi tarikan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pada tahun ini AF7 menyuntik elemen perubahan apabila menjemput artis dan warga Singapura untuk menyertai pertandingan realiti nyanyian di samping mengekalkan had umur 18 hingga 45 tahun.
Beliau berkata, Astro juga berbangga sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di empat negeri, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak berjaya meraih lebih dari 9,000 penyertaan dan ia rekod tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding pada musim yang lepas.
“20 orang calon pelajar ini dikehendaki menyertai Minggu Orientasi dan Kem Muzikal yang meliputi kelas bimbingan dan ujian kelayakan antaranya vokal teknikal, vokal persembahan, tarian dan lakonan selama enam hari (1 hingga 6 Mac).
“Hanya pelajar yang memberikan persembahan keseluruhan terbaik akan diserapkan ke dalam akademi dan keputusannya akan diumumkan pada program Tirai Akademi Fantasia 7,” katanya.
15 peserta lain turut tersenarai dalam 20 terbaik adalah Abdul Hamim Suleiman (Amim), 21, Afiq hakim Ahmad (Akim), 18, Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24, Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), 19, Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25, Mohd Rashidi Mohamaad Isa (Sidi), 27 dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22.
Sementara peserta wanita, Alpaezah Manaf (Faezah), 20, Cabrine Blaire Bernard Solibun (Cabby), 20, Claudia Fay Geres (Claudia), 24, Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil, 24, Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), 26.
Akademi Fantasia 7 (AF7)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment