Leina selamat diijab kabul

Tuesday, March 10, 2009

Selepas empat tahun hidup menjanda, penyanyi Leina Hangat atau nama sebenarnya Norazlina Abd Rahman, 37, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Mohd Zaipul Bahri Ghazali, 35, kira-kira jam 10.45 pagi dalam satu majlis ringkas di Masjid Negara di sini, semalam.

Dengan sekali lafaz, Leina sah bergelar isteri kepada Zaipul yang juga kakitangan kerajaan dari Ketereh, Kelantan dengan berwalikan bapanya, Abd Rahman Ahmad di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.

Pihak lelaki juga menyerahkan wang hantaran RM15,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan mas kahwin RM404. Jumlah keseluruhan wang hantaran yang diterima pihak perempuan ialah RM22,000.

Pada majlis akad nikah juga, pihak lelaki menyerahkan 11 dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan.


Ketika ditemui selepas majlis akad nikah, Leina berkata, dia berharap perkahwinan keduanya ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Saya jatuh cinta dengan Zaipul kerana dia sangat mengambil berat, banyak memberi sokongan dan semangat kepada saya bila mengahdapi masalah termasuk membantu menyelesaikan kes perceraian dengan bekas suami pertama dulu. Saya juga akan berusaha untuk menjadi isteri solehah dan terbaik untuknya.

“Sebenarnya, bapa orang paling gembira dengan perkahwinan kami ini kerana selepas saya bercerai, dia berharap sangat saya memilih lelaki Melayu sebagai suami,” katanya.

Selepas majlis akad nikah, pasangan itu juga bersanding dalam majlis resepsi untuk keluarga terdekat, rakan artis dan pihak media dalam majlis sederhana yang berlangsung di Bora Ombak, Ampang pada sebelah malamnya.

Sebelum ini, Liena pernah berkahwin dengan warga Perancis, Muhammad Jamal Delaloy Abdullah yang bertugas sebagai chef secara kontrak di negara ini. Bagaimanapun, perkahwinan mereka hanya bertahan dua tahun dan Leina juga digantung tidak bertali selama empat tahun sebelum mereka disahkan bercerai oleh Mahkamah Syariah pada Ogos 2008.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI