Gossip Farid Kamil - Lisa

Monday, March 02, 2009

Kemesraan mereka bukan kepalang. Masing-masing saling bercanda dan bergelak ketawa, malahan sering kali tampil bersama. Mereka ibarat isi dan kuku di mana sahaja majlis hiburan.

Walaupun Lisa Surihani sering ditemani ibunya, pelakon kacak bernama Farid Kamil langsung tidak kekok untuk duduk bersama.

Farid seperti sudah terlalu lama dialu-alukan dalam keluarga Lisa. Dia boleh berbual rancak dengna bekas isterinya dalam filem I'm Not Single itu tanpa sebarang persoalan.

Lama selepas I'm Not Single jauh meninggalkan pentas promosi dan keasyikan filem itu sendiri sudah hampir dilupakan peminat, Lisa dan Farid masih diterpa gosip ekoran kemesraan mereka berdua.

Masih ada suara-suara nakal menggelarkan mereka pasangan kekasih biarpun sudah sekian banyak penjelasan diluahkan bahawa mereka hanyalah kawan rapat.

Sementelah, kedua-duanya masih bergandingan menerusi filem Rempit V3 arahan Farid sendiri yang kini sedang menjalani proses penyuntingan.

Terbaru, Farid dan Lisa disunting Astro menjadi bintang eksklusif stesen TV berbayar itu. Mereka generasi kedua yang menjadi bintang eksklusif Astro selepas Erra Fazira dan Aaron Aziz menjadi perintis pada tahun lepas.

Sama-sama bernaung di bawah Metrowealth Movies Production (MIG), bahkan ada yang menggelarkan mereka anak emas David Teo, sama-sama digosipkan, sama-sama bergelar hero dan heroin Rempit V3, kemudian sama-sama dipetik dan dimahkotakan sebagai bintang eksklusif Astro, tidakkah itu satu kebetulan yang dirahmati buat Farid dan Lisa?

Tidakkah itu juga petanda bahawa mereka akan terus dilihat berkepit ke sana sini dan terus dihadapkan dengan persoalan yang sama pada kemudian hari? Selesakah Farid dan Lisa dengan pandangan sebegitu? Hanya mereka yang tahu jawapannya.

"Saya tak tahu nak cakap apa lagi kerana kami memang rapat. Yang saya pelik, gosip ini tidak hangat diperkatakan ketika filem I'm Not Single ditayangkan, ia datang selepas itu. Mungkin kerana kami dinaungi syarikat yang sama dan selalu dipasangkan bersama.

"Saya tak perlu rasa bengang kalau perkara yang diperkatakan tidak benar. Saya juga pernah rimas dengan situasi ini. Saya sedar ini sekadar sebahagian daripada dunia hiburan. Jadi, biarlah... sebab kalau benar kami tak ada apa-apa, orang akan tahu juga," jelas aktres pelapis sinema Melayu itu dalam nada optimis.

Jika Lisa sebegitu optimis, Farid juga tidak terusik dengan gosip yang diperkatakan. Baginya gosip itu sekadar usikan, selagi tidak menjejaskan reputasinya, dia tidak pernah merasakan terancam.

Penerima Anugerah Bakat Seni Muda Filem pada majlis Anugerah Seni Negara kelapan baru-baru ini menjelaskan, pelantikan dirinya bersama Lisa sebagai bintang eksklusif Astro juga bukan sesuatu yang harus dipersoalkan.

"Kalau bukan dengan Lisa, siapa lagi?" getus Farid spontan sebelum perbualannya dilanjutkan lagi.

"Saya tiada sebarang persoalan apabila mendapat tahu nama Lisa yang dipadankan dengan saya kerana saya melihat perancangan Astro ini sebagai suatu yang bermatlamat.

"Saya sendiri tidak mungkin akan menandatangani sesuatu perjanjian atau kontrak yang tidak berbaloi," ujar Farid yang dijanjikan beberapa telefilem dan drama bersiri untuk siaran Astro sepanjang tempoh setahun pertama menjalani rutin sebagai artis istimewa milik Astro.

Cuma ada satu sahaja kekurangannya. Selain penonton filem di pawagam, hanya penonton yang melanggan saluran TV berbayar Astro sahaja yang boleh menikmati dan menyaksikan lakonan Farid di kaca TV selepas ini.

"Sebelum ini saya ada berlakon lima buah drama untuk RTM dan TV3, cuma dalam tempoh setahun akan datang ini rasanya tidak salah jika saya mahu sama-sama menjadi seperti Erra Fazira.

"Lantaran nilai eksklusifnya menerusi Menantu vs Mertua, drama itu mencatat rating tertinggi. Saya juga mahu lakonan saya menyumbang rating yang tinggi dalam setiap drama yang dihasilkan.

"Apatah lagi, manalah tahu kalau-kalau kemasukan saya ke dalam kerabat Astro ini akan memberikan peluang sekali lagi buat saya untuk bekerjasama dengan Erra. Itu yang saya nanti-nantikan, kerana ada satu kualiti yang ada pada diri Erra itu yang tidak ada pada pelakon wanita lain," akui Farid.

Lisa sendiri walaupun masih baru dan ada ketika agak kekok di layar perak, namun dia mempunyai ciri-ciri yang dicari untuk menjadi pelapis dalam dunia lakonan.

Lantas apabila ditawarkan menjadi sebahagian daripada keluarga istimewa di Astro, Lisa tiada alasan untuk mengetepikan tawaran mahal itu.

"Saya sedar saya masih baru dan pencapaian yang saya peroleh masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Erra Fazira, aktres pertama yang menjadi bintang eksklusif Astro. Tapi saya ambil tanggungjawab ini sebagai satu peluang untuk saya belajar dan mengasah lagi bakat dalam bidang lakonan," beritahu Lisa.

Teruja dan rasa dihargai semestinya perasaan yang berbalut di jiwa Lisa. Namun dia sedar bahawa keterujaan itu memberikan satu tanggungjawab untuk menjadi pelakon yang lebih baik agar gelaran bintang eksklusif itu tidak sia-sia.

"Saya tahu dalam tempoh ini saya tidak boleh menerima tawaran daripada stesen TV lain. Tapi daripada apa yang dibincangkan dengan pihak Astro, saya ada ruang yang mencukupi untuk membentuk kualiti lakonan saya nanti.

"Ia juga satu peluang dan pasti banyak perkara baru yang akan datang dalam karier saya," jelas Lisa yang tidak mahu terlalu memilih watak kerana baginya setiap watak memberikan pengalaman berbeza.

Antara drama lakonan Lisa yang sedang menanti tayangan di Astro ialah Pontianak Remaja dan Mataku Nampak Hantu. Lisa dan Farid juga dijanjikan untuk bergandingan dalam produksi berjudul Tiga Janda yang akan memulakan awal Mac ini.

Dalam soal watak serta produksi yang bakal dijayakan sepanjang menjadi bintang eksklusif Astro, Farid sebenarnya turut diberi kebebasan untuk memilih karakter serta produksi bagaimana yang mahu dijayakannya.

"Sudah tentu saya masih ada kebebasan memilih. Tapi kontrak ini hanya melibatkan lakonan bukannya pengarahan atau penulisan skrip walaupun saya dan David ada perbincangan ke arah itu," jelas Farid yang nampak selekeh dengan imej rambut yang mencecah bahu.

Tidak marah dengan teguran itu, Farid membuat pengakuan begini: "Inilah karakter saya dalam filem Evolusi KL Drift 2. Saya kena nampak berserabut kerana watak saya sebagai seorang pelumba drift yang sedang kecewa."

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI