Haleeda diserang di lokasi

Wednesday, June 10, 2009

“Ini serangan terancang bertujuan mahu mengaibkan saya,” kata pelakon Haleeda menceritakan insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri di sebuah rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Jumaat lalu.

Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, menjelaskan kejadian jam 10 malam itu berpunca daripada salah faham dan cemburu buta, namun bertukar serius dan bertambah teruk apabila ada pihak tertentu masuk campur.

“Kejadian mungkin berlaku kerana saya meminjam kereta milik seorang pelakon lelaki berikutan kereta saya dihantar ke bengkel, tetapi saya rasa perkara itu (meminjamkan kereta) tidak diketahui isterinya.

“Apabila isterinya mengetahuinya, dia terus menyerbu ke lokasi (penggambaran) malah menghubungi pihak media untuk datang sekali merakamkan kejadian,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran siri Kecuali Cintamu di Seri Kembangan di sini, semalam.

Menurutnya, ketika isterinya tiba, pelakon lelaki itu turut di lokasi penggambaran menyebabkan kekecohan berlaku, malah disebabkan campur tangan pihak lain, pelakon itu dipukul.

“Saya memang terkejut kerana perkara sedemikian berlaku sedangkan masalah ini boleh diselesaikan melalui perbincangan, tambahan pula saya kenal isteri pelakon itu dan dia juga kenal saya.

“Dalam kekecohan itu, pelakon berkenaan menampar isterinya dan saya rasa ia perbuatan yang wajar kerana tindakannya (isteri) tidak berfikir panjang itu bukan saja mengganggu penggambaran, malah mendatangkan aib kepada suaminya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, sejurus kejadian berkenaan.

Haleeda berkata, disebabkan insiden berkenaan, penggambaran drama itu terpaksa ditangguhkan menyebabkan ia memberi kesan kepada banyak pihak.

“Saya anggap tindakannya (isteri pelakon) tidak bermaruah dan tidak menggunakan akal kerana perkara remeh yang boleh dibincangkan, diperbesarkan semata-mata mahu memalukan saya.

“Sekarang kejadian itu tempias kepada dia pula kerana saya dengar dia menyesal dan meminta maaf kepada suaminya selepas sedar digunakan pihak lain,” katanya.

Ditanya mengenai seorang lelaki bergelar Datuk yang turut terbabit dalam insiden itu, Haleeda berkata, dia tidak mahu mengulas kerana kejadian itu dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, dramatis itu menjelaskan, individu bergelar Datuk itu mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Biarlah polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu, tetapi apabila disiarkan di televisyen dan ditonton orang ramai, wujud pelbagai persepsi negatif terutama terhadap saya,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Haleeda berkata, dia menerima beberapa tawaran berlakon selain drama Kecuali Cintamu yang sedang dalam proses pembikinan, tetapi dia mahu memberi fokus terhadap penggambaran drama itu kerana ia mengambil masa panjang.

“Disebabkan berlaku pula perkara sampingan seperti ini, saya jadi letih fizikal serta mental dan mahu berehat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan M Chandra yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung serangan dan pergaduhan itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Oleh Muhd Izawan Baharin, Abdullah Wahab dan Elrafaei Sapi

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI