Sesiapa yang pernah ke Sarawak, tentu mengakui hakikat bahawa masyarakat Iban begitu kuat berpegang kepada adat dan budaya. Mereka berpegang kepada peribahasa, biar sesat di belantara, asal jangan sesat adat.
Kaum Iban tinggal di sekitar 5,000 rumah panjang kebanyakannya di pedalaman Sri Aman, Betong, Kapit, Song, Bintulu dan Sibu, hampir sepanjang Sungai Rajang dan menyumbang sekitar 29 peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak.
Jika anda pernah berkunjung atau menginap di rumah panjang Iban, satu daripada upacara yang pasti akan anda saksikan ialah miring. Miring ialah upacara persembahan atau berdoa kepada tuhan atau petara bagi memberkati permintaan dan mendapat perlindungan daripada sesuatu ancaman.
Singkatnya, miring diadakan bagi memberkati penduduk, melindungi dan memberi mereka, membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat. Dalam masyarakat Iban, miring diadakan sebelum aktiviti penting diadakan atau sesudah malapetaka dan kejadian tidak diingini menimpa.
Pada zaman silam, miring diadakan sebelum rombongan melancarkan ngayau atau menerokai kawasan baru serta ketika penghuni berpindah ke rumah panjang baru.
Terdapat empat tahap penggunaan piring, iaitu tiga, lima, tujuh, dan sembilan. Tiga dianggap sebagai miring biasa misalnya, untuk mereka yang mengalami mimpi buruk atau apabila hendak bersawah, manakala lima piring adalah untuk mendirikan rumah panjang; tujuh piring adalah untuk aktiviti yang lebih tinggi seperti untuk berjalai atau mengembara jauh; dan sembilan piring untuk peperangan.
Dalam hubungan ini, mengikut adat tusun tunggu Iban, bagi tahap lima ke atas, babi perlu digunakan. Dalam piring dimasukkan sesaji atau persembahan kepada petara seperti nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, rokok apung, tembakau, telur yang dimasak, sirih dan pinang, garam, minyak masak, sagun, dan 'letup' semua ini perlu disiram dengan air tuak.
Jika anda mahu menyaksikan upacara miring yang besar dan signifikan itu, anda mungkin dapat pergi ke muara Sungai Meratai, Baleh pada awal bulan depan, tempat asal berlakunya kejadian yang menggemparkan penduduk di Sungai Rajang.
Upacara miring itu diadakan sebagai langkah meredakan kemurkaan roh dan penduduk ekoran daripada kejadian Sungai Rajang tercekik dengan kayu, batang kayu, sampah sarap dan seumpamanya kerana hakisan tanah pada 7 Oktober lalu.
Bayangkan, ritual terbesar abad ini akan dihadiri sekitar 200 tuai rumah sepanjang Sungai Baleh. Untuk upacara itu, ramai penduduk, ketua rumah panjang, dan para tetamu dijangka hadir. Sudah pasti bukan selalu anda dapat menyaksikan upacara sedemikian, apatah lagi membabitkan 10 ekor babi untuk dikorbankan dan 50 set piring sebagai bekas hidangan kepada petara.
Babi akan disembelih dan bangkainya digantung di kedua-dua belah muara Sungai Meratai. Mengikut Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Sri Dr James Jemut Masing, ritual dikenali sebagai 'muja menua' dalam bahasa Iban itu perlu diadakan bagi meredakan kemurkaan roh dan juga sentimen penduduk di Sungai Baleh dan Sungai Rajang. Penduduk memang marah dengan kejadian yang didakwa sebagai berpunca bukan daripada kegiatan pembalakan atau pembalakan haram, tetapi kerana cuaca.
Kehidupan penduduk semakin sukar, banyak spesies ikan peribumi termasuk empurau yang berharga RM500 sekilo mati dan mungkin pupus, kegiatan pelancongan terjejas.
Ternyata, bahawa manusia hanya akan kembali kepada tuhan apabila mereka tersepit biarpun hakikatnya, kemusnahan alam adalah disebabkan angkara kerakusan mereka. Adakah manusia baru tengadah apabila sudah terantuk?
Oleh Dr Jeniri Amir
* Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
0 Komen:
Post a Comment