Isi cerita Aku Tak Bodoh tetap berbeza dengan I Not Stupid Too

Tuesday, November 30, 2010

Daripada filem I Not Stupid Too, antara judul paling berjaya dari segi kutipan di Singapura, Primeworks Studios (Grand Brilliance), J Team Productions, Asia Media Content, RAM Entertainment dan PMP Entertainment bersekutu menerbitkan filem adaptasinya dalam bahasa Melayu, I Not Stupid, yang bakal memasuki pawagam negara ini mulai 2 Disember ini.



Filem asal tulisan dan arahan sutradara terkenal republik terbabit, Jack Neo, memungut kira-kira RM9.6 juta ketika ditayangkan di Kota Singa pada 2006. Ia muncul filem kedua paling berjaya selepas Money Not Enough. Sudah tentu produser filem ini mengharapkan kejayaan serupa apabila Aku Tak Bodoh yang diarahkan Boris Boo, juga satu-satunya kru dari republik terbabit yang menjayakan filem ini, mula diputarkan pada musim cuti persekolahan nanti.

Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah, menaruh keyakinan filem berkenaan mempunyai pengikutnya sendiri walaupun persaingan antara judul tempatan agak sengit pada tempoh terbabit, dengan sebuah filem Melayu akan memasuki panggung pada setiap minggu.

Menurutnya, walaupun ia diangkat daripada filem berbahasa Cina dari Singapura, Aku Tak Bodoh diberikan suntikan elemen tempatan menerusi naskhah yang diolah semula Hassan Muthalib. "Kami berasakan, filem asalnya bukan saja mendapat sambutan hangat empat tahun lalu, sebaliknya ia mempunyai mesej yang melangkaui sempadan bahasa dan bangsa.

“Temanya begitu sejagat, yang boleh diikuti oleh sesiapa saja. Justeru kita beranggapan ia judul paling sesuai untuk diangkat sebagai filem Melayu pula," katanya selepas majlis pratonton filem terbabit di Mutiara Damansara, baru-baru ini. Filem yang baka ditayangkan di 60 pawagam di seluruh negara itu dilakonkan Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Namron, Ijat, Rohaizat Hassan, Aeril Zafrel, Datuk Jalaluddin Hassan dan Adibah Nor.

Antara lain, filem komedi yang dirakam di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya itu mengetengahkan isu perhubungan antara ibu bapa dan anak, yang teruji akibat komunikasi yang kurang baik antara kedua-duanya. Ia memaparkan kehidupan, cabaran dan pengembaraan tiga remaja lelaki di negara ini apabila berlakunya salah faham dalam perhubungan mereka bersama orang tua.

Kata Puad, dengan klasifikasi "U" yang diterima, serta tema kekeluargaan dan remaja yang ditampilkan, mereka berkeyakinan filem itu akan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Filem dengan kos produksi kira-kira RM1.3 juta yang disahkan sebagai buatan Malaysia itu akan turut ditayangkan di Singapura."Ketika ini, kami berusaha untuk menayangkannya serentak dengan negara ini. Namun begitu, untuk tayangan di republik itu, kami akan menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan penonton mengikuti ceritanya. Kelompok Melayu ialah sasaran kami saat mempromosikan filem ini di negara terbabit," kata Puad yang mendakwa filem itu bukan terjemahan secara langsung daripada judul asal.

Teringat masa remaja

Sementara itu, Amy yang berlakon sebagai ibu kepada dua daripada remaja terbabit berkata, dia turut menggunakan pengalaman sebenar sebagai ibu untuk menjayakan wataknya dalam filem berkenaan. "Bagi saya, ia sebuah filem yang baik. Di dalamnya wujud pesanan berguna untuk kedua-dua golongan, ibu bapa dan anak. Maklumlah, kadang kala kita sebagai ibu bapa terlepas pandang keperluan anak-anak.

“Pada ketika yang sama, mereka juga perlu tahu perasaan ibu bapa. Dengan cara itu hubungan dua hala antara anak dan ibu bapa akan berlangsung dengan lebih sempurna. "Bagi menjayakan watak menangis dalam filem ini pula, saya mengingatkan kembali saat remaja dulu. Mungkin kita semua pernah alami saat sebegini, jadi sedikit sebanyak tempiasnya terkena kepada kita semua. Jadi, saya berharap sangat agar segala perkara yang baik akan dapat diperturunkan kepada anak-anak," katanya.

Riezman yang beraksi sebagai suaminya pula berharap peminat tidak membandingkan kedua-dua filem terbabit kerana masing-masing mempunyai kekuatannya tersendiri, apatah lagi ia berlatarkan dua kelompok masyarakat yang berbeza. Paling penting, dia menegaskan, teladan yang disampaikan menerusi Aku Tak Bodoh adalah sesuai untuk semua golongan.

Oleh NURULHISHAM ABDUL LATIFF


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI