Allahyarham Yalal Chin

Monday, November 01, 2010

Cinta terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar sekalipun sudah dipanjat usia. Cukup sinonim dengan watak antagonis, kredibiliti Yalal Chin di pentas lakonan sama ada teater, drama mahupun layar perak sememangnya begitu dikagumi rakan seangkatan serta pelakon muda.

Sepanjang memperjuangkan nasib sebagai anak seni, pelbagai cabaran dihadapi anak jati Melaka itu, namun berkat kesungguhan, dirinya bukan sekadar aktif sebagai pelakon, malah turut diberi amanah menduduki kerusi pengarah, selain menjadi pengurus produksi dan jururunding skrip.

Sekalipun cukup sinonim dengan watak antagonis, keperibadian di luar set penggambaran begitu menyenangkan kerana beliau sentiasa membuatkan rakan tertawa dengan jenaka dan bagi pelakon muda, sifat kebapaan jelas terserlah apabila berhadapan dengan orang yang lebih muda.


Bersama pengalaman serta ilmu lakonan yang diperoleh sejak usia muda menghambakan diri kepada dunia seni, beliau juga tidak lokek berkongsi pengetahuan serta kemahiran di pentas lakonan termasuk teater hingga diibaratkan sebagai mentor.

Kini tiada lagi jenaka, nasihat dan bimbingan daripada insan bernama Yalal Abu Achin apabila pada 12.15 tengah malam, Sabtu lalu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kerana sakit jantung dan jangkitan pada bahagian otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Terdahulu, Allahyarham ditempatkan selama dua minggu di bawah pengawasan rapi di Unit Rawatan Jantung (CCU) sebaik dimasukkan ke wad selepas mengadu sakit dada ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh di kediamannya pada 3 Oktober.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 67 tahun meninggalkan isteri, Suriani Mohd Yusof bersama 12 orang anak yang berusia antara 16 hingga 46 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah Melaka.

Selain membintangi puluhan drama dan telefilem dengan membawakan watak yang cukup meyakinkan, namanya turut terlakar di arena perfileman menerusi Paloh, Wanita Bertudung Hitam dan Aku Yang Aku Cari, selain baru selesai bekerjasama dengan Afdlin Shauki.

Bersama Afdlin, beliau ditawarkan watak pelakon pembantu bagi filem cereka berjudul Misteri Jalan Lama terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), yang menonjolkan Yalal sebagai pemilik gerai, manakala tayangannya dijangka awal tahun depan.

Menerusi pentas teater, Allahyarham yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan dan mengajar seni persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM) cukup menyerlah dalam pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang.

Beliau diamanahkan memegang watak Perdana Menteri Majapahit, Patih bagi tiga siri pementasan terbabit iaitu antara 2006 hingga 2009 di bawah arahan bersama Zahim Al-Bakri dan Adlin Aman Ramli, yang turut menyaksikan gandingan Datin Seri Tiara Jacqueline serta Stephen Rahman Hughes.

Walaupun Yalal Chin kini sudah tiada, hasil kerja serta jasa Allahyarham di bidang seni khususnya lakonan tidak mungkin dilupakan teman seangkatan dan peminat.


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI