Drama TV9 Disember 2010

Monday, November 29, 2010

Bulan Disember ini, TV9 menyediakan lima telefilem terbaru buat anda seisi keluarga sebelum berlabuhnya tirai 2010. Disiarkan setiap Rabu mulai jam 10.30 malam, karya-karya ini mendapat sentuhan mereka seperti Erma Fatima, Ziela Jalil, M. Hitler Zami dan Along Kamaluddin yang masing-masing pernah diiktiraf dalam industri.

Bermula dengan Aku, Kau dan Dia arahan M. Hitler, yang disiarkan pada 1 Disember, dibintangi tiga pelakon muda popular iaitu Wan Elyas, Wan Sharmila dan Ryzal Jaffar. Tiga sahabat baik - Borhan, Fariz dan Ayu, membesar bersama-sama dan akhirnya terjerat dengan percintaan tiga segi.

Sejak kematian ibu dan bapa, Borhan tinggal bersama-sama Fariz dan menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Borhan secara diam bercinta dengan Ayu tanpa pengetahuan Fariz. Apabila mendapat tahu, Fariz marah dan kecewa.

Keadaan marahnya bertukar kasihan apabila mengetahui Borhan menghidap barah. Fariz berasa serba salah dan meminta ibu dan bapanya melamar Ayu untuk Borhan kerana tahu Borhan cintakan Ayu. Tetapi adakah Ayu dapat menerima Borhan setelah diberitahu penyakit yang dihidapinya?

Selepas menonton kisah sedih itu, kita berhibur pula dengan Teh O Ais Limau pada 8 Disember yang berkisar mengenai impian Kamal untuk menjadi DJ radio terkenal. Bagaimana Kamal ingin menggapai impiannya kalau dia sendiri bersikap malas dan hanya pandai bercakap tanpa mengusahakannya!

Nurul pula, bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti setelah tamat STPM dan kini bekerja di sebuah kedai DVD. Kamal dan Nurul mempunyai persamaan di mana mereka suka minum teh 'O' limau ais. Kebetulan pula mereka sering bertembung di kedai Rahman dan memesan air teh 'O' limau ais.

Bermula dari situlah mereka berkenalan dan akhirnya jatuh cinta. Tetapi bagaimana pula dengan impian Kamal untuk menjadi DJ radio?

Adakah impiannya tercapai setelah berpasangan dengan Nurul? Arahan Along Kamaluddin ini dibintangi Zul Huzaimy, Almy Naida, Roy Azman dan Zaryn Min.

Keseronokan anda sekeluarga disambungkan pula dengan Duda Berhias arahan Arab yang dilakonkan oleh Fauzi Nawawi, Erry Putra, Siti Fazurina dan Emelda Rosmila.

Kisah menarik yang disiarkan pada 15 Disember ini mengisahkan dua duda berhias iaitu Hamzah dan Malik. Hamzah, seorang mekanik jatuh hati dengan Ayu manakala Malik yang tidak bekerja secara tidak sengaja terjatuh hati pada Yasmin, anak seorang pemilik syarikat sekuriti.

Hamzah sering mengusik Malik kerana masih tidak mempunyai teman wanita dan Malik pula berasa tertekan dengan usikan Hamzah. Suatu hari ketika Hamzah keluar bersama Ayu, Malik ternampak mereka dan ingin membuat kejutan kepada Hamzah dengan memperkenalkan Yasmin kepadanya.

Tanpa disangka, Malik yang terkejut kerana Hamzah keluar bersama bekas isterinya, Ayu. Pada masa yang sama Hamzah juga terkejut kerana teman wanita Malik adalah bekas isterinya. Apakah kesudahan telefilem lucu ini? Adakah mereka akan berkahwin dengan pasangan masing-masing atau merujuk kepada isteri masing-masing?

Rabu (22 Disember) berikutnya pula, Haruskah Aku Mati pula bersiaran dengan lakonan Zul Huzaimy, Fasha Sandha, Wan Maimunah dan Syed Ali. Telefilem arahan M. Hitler ini menceritakan Irfan yang menghidap penyakit barah otak. Isterinya Kamalia ingin membawa Irfan berubat di hospital tetapi ibunya berkeras untuk mengubati anak kesayangannya secara tradisional.

Kamalia berasa tertekan dengan sikap ibu mentuanya. Penyakit Irfan hanya dapat diubati di hospital di samping bertawakal kepada Allah SWT. Kamalia dalam keadaan dilema sama ada mahu melawan kata ibu mentuanya atau sebaliknya.

Berlainan dengan telefilem 5 Disember yang disiarkan pada 29 Disember jam 9.30 malam. Arahan Erma Fatima ini menceritakan kisah Mastura yang mati akibat dirogol dan diliwat oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Beberapa hari sebelum kejadian, Mastura ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temuduga setelah mendapat tawaran bekerja.

Aidil, tunangnya menunggu di stesen bas, namun sehingga jam 12.00 tengah malam Mastura masih tidak muncul. Keadaan menjadi lebih sedih apabila polis meminta keluarga Mastura membuat pengecaman mayat. Kematian Mastura membuatkan kehidupan Aidil tidak tentu arah malah lebih teruk daripada keluarga Mastura sendiri.

5 Disember menjadi tarikh keramat bagi mereka kerana itu adalah tarikh perkahwinan Mastura dan Aidil. Kakak Mastura, Laily Mastika, peguam handalan, berusaha mencari keadilan bagi adik kesayangannya.

Usaha Laily Mastika menjejak pembunuh sebenar Mastura akhirnya berjaya dan keadaan menjadi bertambah sayu apabila mendengar pengakuan pembunuh itu.

Apakah kaitan pembunuh itu dengan Mastura? Adakah mereka saling mengenali? 5 Disember dilakonkan oleh Umie Aida, Aaron Aziz dan Aqasha.

Untuk mengetahui kesudahan kelima-lima telefilem ini, jangan lupa temu janji anda setiap Rabu, mulai 1 Disember ini hanya menerusi saluran Di Hatiku TV9.


Oleh Noor Farina Ashrudin


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI