Pengaruh dan Kuasa besar Lady Gaga

Thursday, November 11, 2010

Kekuatan Lady Gaga tidak hanya terletak kepada rekod penjualan albumnya sahaja tetapi juga dari segi jumlah anugerah dan pengiktirafan yang diterimanya sepanjang dua tahun ini.


2 tahun dalam bidang seni sudah cukup menterjemahkan misi dan matlamat artis personaliti unik ini dalam melebarkan sayap seninya.

StefaniJoanne Angelina Germanotta atau lebih dikenali di seluruh dunia sebagai Lady Gaga tidak perlu menunggu lama untuk menjadikannya sebagai ikon baru dalam dunia muzik dunia dan juga fesyen.

Selain muziknya yang cukup diminati ramai itu, Lady Gaga juga dikenali dengan perwatakan aneh menerusi fesyen yang sering digayakan.

Atas kelebihan itulah, maka tidak hairan, mengapa nama Lady Gaga terus berada di puncak dan menjadi pujaan muda-mudi yang menyifatkan dirinya sebagai pencetus evolusi baru dalam dunia muzik.

Tidak keterlaluan dikatakan, selepas Madonna, tiada siapa yang lebih layak untuk menggantikan Ratu Pop Dunia itu dalam menggalas gelaran sebagai ikon industri muzik antarabangsa.

Jangan tidak tahu. Virus Lady Gaga juga berjaya menular ke industri hiburan tempatan negara-negara lain di dunia termasuk Malaysia.

Tidak percaya? Lihat sahaja bagaimana pelantun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang iaitu Alyah yang tidak segan-silu mengakui Lady Gaga banyak mempengaruhinya dalam rutin fesyennya.

Malah, lagu terbarunya, Kau Bisu juga mengambil pengaruh lagu-lagu popular Lady Gaga.

Adakah itu tidak cukup untuk mengatakan Lady Gaga sememangnya seorang yang cukup berkuasa sehingga mampu menakluk dunia dengan muzik dan personalitinya.

Pasti akan ada yang berkata di manakah terletaknya kehebatan Lady Gaga sehingga dia dijulang dan diletakkan di puncak tertinggi hanya dalam tempoh yang cukup singkat?

Perdebatan tidak akan terus berhenti kerana masing-masing ada pendapat tersendiri. Biasalah, mana yang peminat fanatik pasti akan menjadi 'peguam bela' kepada artis kesayangan mereka.

Bagi mereka yang berfikiran sebaliknya, Lady Gaga tidak lebih seperti penyanyi pop lain yang bila-bila masa sahaja akan menamatkan riwayatnya memandangkan iklim muzik dunia ketika ini sukar sekali untuk diramal.

Namun, melihatkan kejayaan dan kehebatan Lady Gaga yang dikecapinya dalam masa yang cukup singkat, barangkali pandangan sinis itu mampu disangkal dengan pantas.

Bukan semua bertuah menjadi seperti Lady Gaga. Kalau ada yang popular, mungkin sinar kerlipannya tidak mampu kekal lama dan akhirnya berkubur begitu sahaja.

Tidak seperti Lady Gaga, kekuatannya terletak kepada gabungan muzik dan imejnya yang bergerak selari sehingga mampu menjenamakan dirinya sendiri.

Jika tidak, mana mungkin majalah Time menyenaraikan penghibur berusia 24 tahun itu sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.

Begitu juga dengan majalah Forbes yang juga menyenaraikan Lady Gaga sebagai salah seorang individu paling berkuasa di dunia dan meletakkannya di tangga ketujuh dalam senarai 100 Wanita Paling Berkuasa di dunia.

Pembawakan imej dan muziknya banyak dipengaruhi oleh artis-artis terdahulu seperti David Bowie dan kumpulan Queen. Malah, Lady Gaga juga mengatakan Madonna, Michael Jackson dan Britney Spears juga banyak menyumbang kepada dirinya hari ini.

Malah, Madonna sendiri mengakui dia melihat banyak persamaan antara dirinya dengan Lady Gaga.

Dalam satu temu bual di awal kemunculannya selepas lagu pengenalannya, Poker Face meledak di pasaran dunia, Lady Gaga memberitahu bagaimana dia menyanjungi Freddie Mercury dan kumpulan Queen.

"Bagi saya, Freddie merupakan individu yang cukup unik dan salah satu judul lagu popular mereka, Radio Ga Ga memberi inspirasi kepada saya untuk menukar nama saya menjadi Lady Gaga," ujarnya tanpa selindung.

Jika kumpulan Queen mampu menjadi legenda, tidak mustahil untuk Lady Gaga terus bertahan seperti mana idolanya.

Setidak-tidaknya kuasa itu dilihat mampu bertahan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Namun, seperti yang dikatakan tadi. Cita rasa peminat muzik hari ini sukar sekali untuk ditelah kerana muzik mengalami evolusi yang sangat ketara.

Jika Lady Gaga bijak untuk mencorakkan dan merangka strategi terbaik agar masyarakat tidak terus bosan dengannya, tidak mustahil untuk muzik serta dirinya sendiri terus diterima dengan baik.

Setakat Ogos lalu, rekod penjualan album dan single Lady Gaga memang cukup cemerlang apabila berjaya terjual lebih daripada 66 juta unit di seluruh dunia.

Angka yang cukup hebat itu merangkumi album perdananya, The Fame dan album pembungkusan album itu, The Fame Monster yang menghasilkan banyak single popular.

Ia termasuklah Bad Romance, Paparazzi, Just Dance serta Telephone yang menampilkan duet sensasinya bersama Beyonce Knowles.

Kekuatan Lady Gaga tidak hanya terletak kepada rekod penjualan albumnya sahaja tetapi juga dari segi jumlah anugerah dan pengiktirafan yang diterimanya sepanjang dua tahun ini.

Setakat ini, Lady Gaga sudah menerima 180 pencalonan dan memenangi 104 daripadanya menerusi pelbagai anugerah di seluruh dunia.

Sudah pasti yang paling membanggakan Lady Gaga apabila album The Fame diiktiraf sebagai Album Dance/Elektronik Terbaik pada Anugerah Grammy tahun ini. Dia juga menerima sebuah lagi trofi untuk Rakaman Dance Terbaik bagi lagu Poker Face.

Siapa sangka, dia juga menjadi pilihan kebanyakan artis popular masa kini yang beratur untuk menggunakan khidmatnya sebagai komposer dan penerbit.

Kelmarin, dia menambah koleksi anugerahnya apabila mendominasi Anugerah Muzik MTV Eropah dengan memenangi tiga anugerah daripada lima pencalonan yang diterimanya.

Ini termasuklah Penyanyi Wanita, Penyanyi Pop dan Lagu Terbaik untuk Bad Romance dalam acara anugerah yang mula diperkenalkan sejak tahun 1994 itu lagi.

Apa yang membanggakan, Lady Gaga memenangi tiga anugerah itu tidak sampai setahun dia dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik dalam acara yang sama.

Walaupun tidak dapat hadir menerima anugerahnya pada malam bersejarah itu, anak jati New York, Amerika Syarikat itu sempat menitipkan ucapan buat peminatnya ketika dia sedang sibuk beraksi dalam konsertnya yang berlangsung di Budapest, Hungary.

"Kemenangan ini cukup bermakna untuk saya dan alangkah indahnya kalau saya berada di sana bersama-sama kalian. Terima kasih dan saya cintakan kamu, Eropah," ucapnya dalam video yang dipancarkan secara terus menerusi satelit di Madrid, Sepanyol iaitu lokasi berlangsungnya acara itu.

Tahun depan, album keduanya, Born This Way akan berada di pasaran. Semuanya mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat sama ada ia mampu mencetus fenomena berganda.

Tetapi, rasanya tiada yang mustahil untuk Lady Gaga mengulangi kejayaannya seperti mana sebelum ini.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI