Orang Islam makin dibenci di Eropah

Monday, April 30, 2012

Trend benci Islam di Eropah
Amnesty International (24 April 2012) telah mendedahkan tentang diskriminasi terhadap penduduk Islam di Eropah bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Cuma, kali ini ia satu pengesahan bahawa kerajaan-kerajaan Eropah dan tokoh-tokoh politik mereka mengamalkan diskriminasi terhadap penduduk Islam di negara mereka.

Diskriminasi ini bukan lagi dibuat secara rahsia, tetapi secara terbuka seperti dalam kempen pilihan raya Presiden Perancis, baru-baru ini, apabila pemimpin-pemimpin yang bertanding termasuk Presiden Nicolas Sarkozy sendiri menjadikan penduduk Islam sebagai isu utama dalam kempennya.

Amnesty menyenaraikan Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Switzerland sebagai negara yang kuat mengamalkan diskriminasi terhadap penduduk Islam.

Menurut Amenesty, wanita Islam tidak mendapat pekerjaan dan kanak-kanak perempuan Islam dihalang menghadiri kelas, semata-mata kerana mereka berpakaian tradisional, seperti memakai tudung kepala, sementara pekerja lelaki dipecat kerana menyimpan janggut yang dikaitkan dengan Islam.

Sebenarnya, kempen anti-Islam terhadap penduduk Islam di Eropah sudah lama berlaku dan ia kini semakin meluas.

Kebencian terhadap Islam di Eropah bukan setakat kata-kata, tetapi ia ditunjukkan dalam bentuk tindakan dan perbuatan seperti dalam insiden serangan bom dan tembakan rambang oleh seorang fanatik Kristian, Anders Behring Breivik di Oslo, Norway pada 22 Julai 2011 yang mengorbankan lebih 87 orang.

Trend anti-Islam di Eropah kini lebih dipengaruhi oleh ketakutan mereka kepada pengaruh Islam yang semakin berkembang di benua itu dan bukan kerana mereka membenci Islam ataupun agama itu dilihat sebagai agama berbahaya.

Bila disebut tentang trend anti-Islam di Eropah, Belanda merupakan negara paling lantang menyemai sentimen anti-Islam di benua itu.

Pada awal tahun lalu, Parlimen Belanda telah mengemukakan cadangan mengharamkan penyembelihan haiwan mengikut cara Islam dan Yahudi, yang dianggap tidak mesra haiwan dan kejam.

Cadangan itu datang daripada seorang pemimpin Parti bagi Haiwan, Mariane Thieme.

Ini bukan kali pertama, Parlimen Belanda mengemukakan cadangan-cadangan berbaur kebencian terhadap Islam, kerana sebelum ini, negara itu pernah mengharamkan burqa.

Thieme bukan satu-satunya ahli politik Belanda yang dipengaruhi fahaman anti-Islam di negara itu, tetapi ramai lagi terutama ahli-ahli politik yang menyertai Parti bagi Kebebasan (PVV), yang dipimpin seorang ahli politik berhaluan kanan Geert Wilders, yang kuat sikap anti-Islamnya.

Wilders mendokong fahaman membenci agama Islam, menentang agama Islam malah membenci penganut Islam, walaupun beliau menafikan membenci orang Islam.

Wilders berselindung di sebalik perjuangan kebebasan bersuara, kerana daripada segala kempen yang dijalankannya jelas beliau bukan berjuang menegak kebebasan bersuara tetapi berjuang menegakkan kebebasan menentang Islam.

Kebenciannya terhadap Islam dapat dilihat daripada kritikan kerasnya terhadap Islam dan juga sikapnya yang sering menghina al-Quran dan Nabi Muhammad.

Beliau bukan sahaja menggunakan kebebasan berucap sebagai platform untuk mengkritik Islam tetapi juga menghasut bagi menyemai kebencian terhadap Islam dan diskriminasi kaum, terutama penduduk Arab beragama Islam dari Afrika dan Asia Barat.

Ahli politik kontroversi ini yang memimpin parti ketiga terbesar di Belanda yang menyokong kerajaan Belanda, bukan sahaja seorang yang anti-Islam tetapi juga seorang pendendam terhadap Islam.

Beliau pernah mengeluarkan filem pendek bertajuk Fitna yang disiarkan secara online pada Mac 2008 yang menyiarkan gambar-gambar keganasan dengan disertakan ayat-ayat al-Quran bagi menggambarkan Islam sebagai agama yang mengancam masyarakat Barat.

Wilders dikatakan mempunyai keturunan berasal dari Indonesia di sebelah neneknya dan dilahirkan di Venlo, wilayah Limburg di tenggara sempadan Belanda dengan Jerman pada 6 September, 1963 sebagai seorang Roman Katolik.

Kebenciannya terhadap Islam bermula semasa beliau melawat Israel semasa zaman remajanya dan tinggal di sana selama dua tahun.

Wilders menyatakan: "Saya telah melawat banyak negara menarik di Asia Barat dari Syria hingga ke Mesir, dari Tunisia ke Turki, dari Cyprus ke Iran - tetapi tidak ada negara di mana saya mempunyai perasaan istimewa tentang perpaduan penduduknya apabila saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion (Israel).

Program berita Netwerk saluran televisyen awam Belanda Nederland 2 melaporkan banyak penyokong Israel di Amerika membiayai parti PVV dan secara terbuka menyokong kenyataan-kenyataan jahat Wilders berhubung Islam dan keganasan Islam.

Wilders berpendapat, "Kami (di Barat) semua bersama Israel.

Beliau juga pernah berkata: "Israel adalah benteng pertama pertahanan Barat terhadap ancaman yang dibawa Islam.

Beliau juga merupakan ahli politik Belanda yang menentang keras kemasukan Turki menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Beliau menyamakan al-Quran dengan doktrin Mein Kampf yang dikeluarkan oleh Adolf Hitler dan menjalankan kempen mengharamkan kitab suci itu di Belanda.

Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan Belanda mengambil langkah menyekat penghijrahan penduduk Islam dari Asia Barat ke Belanda dan menentang pembinaan masjid baru di negara itu.

Sikap pendendam Wilders terhadap Islam bermula dengan sejarah hitam yang dilalui bapanya yang lari daripada kekejaman Nazi dan merasakan bangsa Yahudi dizalimi oleh Hitler.

Semasa berada di Israel beliau terpengaruh dengan kempen Israel yang mengkaitkan 'keganasan dengan Islam' sebelum melawat Asia Barat dan pulang ke negaranya.

Maka tidak hairan mengapa Wilders menjadi 'sahabat setia' Yahudi dan sangat benci kepada perkataan 'jihad' kerana menyamakan 'jihad' dengan keganasan.

Wilders sering menggunakan nama samaran seperti 'Mozart' dan 'Captain Peroxide' kerana flamboyan dengan stail rambut blondnya yang keperang-perangan. Radio Belanda menggelarkkannya 'stail rambut blond paling popular selepas Marilyn Monroe'.

Pada Julai 2010, majalah Inspire mengumumkan bahawa Wilders, serta Ayaan Hirsi Ali, Kurt Westergaard dan Salman Rushdie, dimasukkan dalam 'senarai bunuh' sebuah rangkaian pengganas Islam antarabangsa.

Beliau sering berselindung di sebalik kata-katanya: 'Saya tidak membenci orang Islam, saya benci Islam" dan mempertikaikan bahawa ''tidak wujud Islam sederhana''.

Wilders mencadangkan supaya orang Islam 'mengoyakkan separuh daripada al-Quran, jika mereka mahu tinggal di Belanda" kerana mendakwa ia mengandungi ''perkara-perkara dahsyat' dan Muhammad "... jika berada pada hari ini akan diburu sebagai pengganas.'

Dalam satu ucapannya di Parlimen Belanda, Wilders berkata: Islam ialah Kuda Trojan di Eropah. Jika kita tidak menghentikan Islamifikasi sekarang, Eropah dan Belanda akan menjadi Eurabia dan Netherabia satu masa kelak.

Wilders juga mempersoalkan bahawa Islam bukan satu agama, tetapi merupakan satu ideologi politik totalitarian, sama seperti komunisme dan fasisme.

Selepas pilihan raya Belanda pada 2010, di mana PVV muncul parti ketiga mendapat kerusi paling banyak di Belanda, Wilders berkata, Jordan perlu diberi nama Palestin.

Wilders berkata: "Jordan ialah Palestin. Menukar namanya kepada Palestin akan menamatkan konflik di Asia Barat dan menyediakan penduduk Palestin dengan negara alternatif.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Belanda merujuk Jordan sebagai Palestin dan mencadangkan kedutaan Belanda dipindahkan ke Baitulmaqdis

Maka kerana itu, al-Qaeda telah mengeluarkan arahan bagi pembunuhan Wilders selepas filem Fitna disiarkan, manakala Jordan menyaman Wilders kerana merujuk Jordan sebagai Palestin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI