Gencatan Senjata Di Gaza dialukan - Malaysia

Friday, November 23, 2012

Malaysia mengalu-alukan gencatan senjata antara Israel dan Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Khamis.

“Kami menyeru kedua-dua pihak berpegang kepada perjanjian itu dan memastikan bahawa sekatan Gaza ditarik balik dan tiada lagi kemusnahan harta atau kehilangan nyawa,” katanya dalam entri terbaru beliau dalam blog 1Malaysia.

Oleh itu, beliau berkata tumpuan kini harus pada proses perdamaian yang lebih luas di Timur Tengah bagi memastikan rantau itu beralih dari konflik kepada kestabilan supaya rakyatnya menikmati keselamatan dan mengembalikan maruah mereka.

“Semua pihak kini perlu melipatgandakan usaha mereka ke arah mencari penyelesaian dua negara untuk memberikan rakyat Palestin harapan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan mencapai keamanan berkekalan di wilayah itu,” katanya.

Najib juga memberi penghormatan kepada semua pihak yang membantu dalam usaha mencapai gencatan senjata.

“Kami memuji Mesir dan Presiden Morsi (Mohamed Morsi) kerana menunjukkan kepimpinan dalam menaja gencatan senjata itu serta Presiden Obama (Barack Obama), Setiausaha Negara Clinton (Hilary Clinton) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon,” katanya. – BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI