Keputusan Liga Perdana Inggeris (EPL) 4 November 2012

Monday, November 05, 2012

Manchester United berjaya merampas takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalahkan Arsenal 2-1, manakala Chelsea pula sekadar seri 1-1 menentang Swansea City semalam.

Penyerang Belanda, Robin van Persie yang menyertai United dari Arsenal Ogos lalu, hanya memerlukan kurang daripada tiga minit untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan hasil kesilapan Thomas Vermaelan dan Patrice Evra melengkapkan kemenangan melalui jaringan pada minit ke-67.



Santi Cazorla menjaringkan gol pada masa kecederaan, namun ia tidak mampu untuk menutup kekecewaan Arsenal, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas rehat separuh masa pertama apabila pemain tengah, Jack Wilshere dilayangkan kad kuning kedua.

Turut mewarnai perlawanan semalam ialah kegagalan Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti sebelum babak pertama berakhir apabila rembatannya tersasar ke sebelah kanan pintu gol yang dikawal Vito Mannone.

United tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan apabila hantaran silang, Rafael pada minit ketiga gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh Vermaelen, membolehkan Van Persie melakukan rembatan dari jarak dekat.

Pasukan bimbingan Alex Ferguson itu mampu untuk menggandakan jaringan pada minit ke-44 selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila hantaran silang Ashley Young ditampan dengan tangan oleh Cazorla.

Rooney yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut gagal menyudahkannya apabila rembatan leret yang dilakukan tersasar keluar namun kesalahan tersebut seakan berjaya ditebus penyerang England itu.

Hantaran silang yang dilakukannya pada minit ke-67 membolehkan Evra menanduk masuk untuk memberikan keselesaan buat United mendahului 2-0 pada separuh masa kedua, menyebabkan pasukan bimbingan Arsene Wenger tertekan.

The Gunners terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk memperoleh jaringan sagu hati, apabila Cazorla melakukan rembatan lencong menewaskan David De Gea, namun ia seakan tidak memberi sebarang makna buat mereka. - Reuters

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI