PRU13: BN Perak kemuka 11 calon muda

Tuesday, April 16, 2013

BN Perak kemuka 11 calon muda
IPOH: Barisan Nasional Perak mengemukakan 11 calon muda untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum 5 Mei ini dalam langkah yang disebut sebagai usaha meremajakan parti.

Mereka adalah antara 35 calon muka baru yang ditampilkan oleh BN Perak untuk menggalas harapan parti mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan negeri.

BN Perak turut menampilkan 10 calon wanita — 8 bagi kerusi DUN dan dua bagi kerusi Parlimen.

"Calon-calon yang diketengahkan ini terdiri daripada gandingan pelbagai latar belakang golongan profesional seperti doktor perubatan, peguam, ahli akademik termasuk pemegang PhD., guru, pentadbir, golongan agama, pemimpin NGO, golongan muda serta kepimpinan wanita dan tidak ketinggalan pemimpin akar umbi," kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon BN negeri itu, di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Zambry akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkor dan seterusnya mengetuai cabaran mengekalkan kedudukan Barisan Nasional sebagai kerajaan negeri di Perak dalam pilihan raya umum 5 Mei ini. Beliau dijangka ditentang oleh calon muda wakil Parti Keadilan Rakyat, Saifullah Mohd. Zulkifli, 27 tahun.

Dalam pada itu, empat menteri kabinet dalam kerajaan yang lalu kekal dalam senarai calon BN di Perak.

Calon BN Perak

Antara calon muda yang ditampilkan ialah Jawatankuasa Pemuda MCA Kampar Daniel Wa Wai How, 25, yang bertanding di kawasan DUN Keranji, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin bagi kerusi Parlimen Parit Buntar, Ketua Puteri Umno Perak Salbiah Mohamed (DUN Temengor) dan pegawai khas Menteri Pengangkutan Ting Tai Fook (DUN Sitiawan).

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin kekal mempertahan kerusi Parlimen Larut manakala Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berpindah ke Parlimen Taiping dari Gerik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany pula berpindah kerusi dari Parlimen Cameron Highlands ke Parlimen Sungai Siput, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong kekal di kerusi Kampar dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M.Saravanan di kawasan Parlimen Tapah.

Selain itu, Zambry berkata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas diminta oleh pucuk pimpinan pada saat akhir untuk bertanding di DUN Pasir Bedamar berikutan calon yang disenarai pendek tidak menepati kriteria yang ditetapkan parti.

Zambry berkata Kayveas yang sebelum ini bertanding bagi kerusi Parlimen Taiping membuat pengorbanan memenuhi permintaan pucuk pimpinan untuk bertanding kerusi DUN bagi membantu kemenangan BN di Perak.

Selain Salbiah, antara calon wanita yang membawa cabaran BN di peringkat DUN ialah Exco kanan negeri Datuk Hamidah Osman (Sungai Rapat), Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri Datuk Rusnah Kassim (Behrang), Ketua Wanita Umno Bahagian Padang Rengas Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubuk Merbau), Exco Puteri Umno Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), Ketua Wanita Gerakan Ipoh Timor Ceylyn Tay Wei Lung (Canning) dan anggota Jawatankuasa MCA di Pantai Remis Koh Ser Yun (Pantai Remis).

Pengumuman itu turut menyaksikan kesemua anggota Exco kerajaan negeri sebelum DUN dibubar, kekal bertanding kecuali Datuk Ramly Zahari.

Penyandang kerusi DUN yang digugurkan termasuk Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Kubu Gajah), Datuk Ahamed Pakeh Adam (Lintang), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu), Datuk Nadzri Ismail (Manjoi) dan Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah).

Zambry berkata parti amat memahami ada nama yang dikehendaki tidak senaraikan sebagai calon BN namun mereka juga perlu ingat bahawa tidak semua yang dihajati dapat dipenuhi.

"Kita selesaikan semua dengan semangat musyawarah dalam BN, kita tidak umumkan nama-nama calon menggunakan pentas-pentas ceramah dan kita berjaya selesaikannya dengan baik sekali," katanya.

Dengan penampilan gabungan pelbagai latar belakang dan calon muka baharu terutama daripada golongan belia serta wanita, beliau berkata BN Perak bertekad melaksanakan aku janji serta tidak akan mengulangi peristiwa pahit pada tahun (PRU) 2008.

BN membentuk kerajaan negeri di Perak selepas krisis perlembagaan yang menyaksikan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat hanya bertahan selama 11 bulan selepas tiga ADUN Pakatan Rakyat — dua daripada PKR dan seorang DAP, bertindak keluar parti jadi wakil rakyat Bebas.

Episod itu berlarutan turun naik mahkamah sehinggalah Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara pada 10 Mei 2010 memutuskan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional sebagai Menteri Besar yang sah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI