Angkara cinta hampa

Friday, April 12, 2013

Gombak: Kecewa akibat putus cinta, seorang lelaki berusia 28 tahun bertindak nekad memanjat tangki air setinggi 10 meter berhampiran rumahnya, di sini, dan melilit tali di leher untuk cuba membunuh diri, awal pagi semalam.

Namun tindakannya itu gagal selepas berjaya diselamatkan bomba dan polis.

Malah, pihak berkuasa terpaksa memujuk lelaki itu lebih dua jam selepas dia enggan turun.

Tindakan berani pasukan bomba dan polis memanjat tangki berkenaan akhirnya berjaya menyelamatkan lelaki itu walaupun berlaku sedikit pergelutan dalam usaha menghalangnya terjun.

Menurut sumber, lelaki terbabit yang tidak dapat menerima hakikat hubungan cintanya bersama teman wanita putus bertindak memanjat tangki air berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi dengan membawa tali.

"Bagaimanapun, tindakannya itu disedari rakannya sebaik melihat lelaki terbabit sedang memanjat tangki air.

"Bimbang dengan keselamatan rakannya itu, dia (rakan lelaki terbabit) terus menghubungi polis meminta bantuan," katanya.

Sumber berkata, lelaki itu yang menyedari kehadiran anggota bomba dan polis bagaimanapun enggan mengikut arahan pihak berkuasa yang memujuknya supaya turun.

"Malah rundingan memujuknya mengambil masa lebih dua jam sebelum dia berjaya diselamatkan kira-kira jam 3.50 pagi.

"Bagaimanapun, berlaku sedikit pergelutan apabila lelaki terbabit tetap berkeras enggan turun sebelum akhirnya dia berjaya ditenangkan pasukan penyelamat," katanya.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Rawang untuk tindakan lanjut dan buat sementara waktu ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim mengesahkan kejadian berkenaan.

~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI