Wanita lebih tertekan dan bimbang semakin tua

Wednesday, April 10, 2013

Penuaan menjadi satu kebimbangan kepada ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) terutama kesannya terhadap kesihatan. Namun golongan lelaki pula seolah-olah lebih mudah menerima hakikat ketika menempuh fasa berkenaan berbanding wanita, menurut satu kajian terbaru.

Bancian peringkat kebangsaan membabitkan 2,000 individu dewasa di AS mendapati, hampir 90 peratus daripada mereka berpendapat wanita lebih rasa tertekan untuk terus kelihatan muda berbanding lelaki.

Kajian itu juga mendapati, biarpun lelaki dan wanita berkenaan sama usia, si lelaki hanya dianggap lima tahun lebih muda malah lelaki juga dikatakan mempunyai penampilan lebih menarik seiring usia yang meningkat.

Editor Eksekutif Allure (majalah yang ditauliahkan untuk membuat bancian itu) Kristin Perrotta berkata, walaupun uban di kepala dianggap mampu membuatkan seseorang lelaki kelihatan lebih bergaya, kehadiran uban pada wanita pula membuatkan golongan itu dikatakan kelihatan lebih tua.

Pada masa sama, kajian itu mendapati wanita dikatakan kelihatan paling menarik pada usia mencecah 30 tahun berbanding lelaki pada usia 34 tahun.

"Kaji selidik itu menunjukkan dengan jelas bahawa penuaan (membabitkan penampilan) memberi kesan sebenar pada emosi lelaki dan wanita, tidak kira sama ada mereka berumur 20, 40 atau 60 tahun.

"Ramai orang berkata, mereka bimbang mengenai kesan penuaan. Mereka bimbang ia akan menjejaskan daya tarikan mereka kepada jantina berlawanan. Wanita terutamanya bimbang penuaan akan menjejaskan kerjaya mereka," katanya.

Seramai 42 peratus daripada golongan wanita berusia antara 50 hingga 59 tahun berkata, mereka perlu kelihatan muda untuk berjaya dalam kerjaya dan jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding lelaki.

Namun secara keseluruhan, lelaki dan wanita samasama berpendapat faktor jantina memainkan peranan besar dalam diskriminasi di tempat kerja berbanding usia.

Walaupun penuaan satu kebimbangan kepada kedua-dua jantina, kira-kira 60 peratus daripada lelaki dan wanita berpendapat mereka kelihatan lebih muda daripada orang lain dalam lingkungan usia yang sama umur.

Malah sebilangan lelaki dan wanita mendakwa hubungan intim mereka dengan pasangan bertambah baik seiring pertambahan usia.

Hampir 70 peratus wanita AS berbangsa Afrika berkata, mereka tidak bimbang langsung mengenai tanda penuaan yang dialami dan keadaan itu sangat berbeza berbanding kaum lain.

"Selain itu, ramai orang yang mempunyai pandangan positif mengenai penuaan dan mempunyai pendapat yang baik mengenai diri dan penampilan mereka sendiri seiring pertambahan usia," kata Perotta.

Apabila diminta menamakan selebriti yang kelihatan menarik pada usia tua, ramai lelaki dan wanita dalam kumpulan etnik berlainan sama-sama memilih pelakon terkenal, George Clooney sebagai pilihan pertama diikuti pelakon Sean Connery, mantan Presiden AS, Bill Clinton serta pelakon Brad Pitt dan Richard Gere.

Biarpun pemilihan bagi wanita menarik seiring usia dilihat kurang menyengat, pelakon Meryl Streep, Jamie Lee Curtis dan Julia Roberts masing-masing menduduki tiga tempat teratas.

Pelakon lelaki terkenal di Hollywood digambarkan sebagai simbol seks biarpun sudah memasuki usia 70-an dan Sean Connery adalah contoh yang sempurna.

"Malangnya, biarpun kita mempunyai bintang wanita yang ramai berjaya merebut peranan utama walaupun berusia emas, mereka kurang digambarkan sebagai simbol seks," katanya.

Lima peratus daripada individu yang ditanya dalam pengundian itu berkata, mereka menjalani pembedahan plastik atau suntikan kecantikan seperti botoks untuk melawan tanda penuaan manakala 42 peratus wanita dan 18 peratus lelaki mengakui mereka mungkin tidak menolak untuk melakukan prosedur sama pada masa hadapan.

"Satu daripada tiga orang yang melakukan suntikan atau pembedahan plastik merahsiakan perbuatan mereka. Walaupun pembedahan plastik sudah menjadi sebahagian budaya kita, secara peribadi ia masih dianggap rahsia," katanya.

Kebanyakan individu mengambil suntikan botoks atau pembedahan plastik berkata, mereka mungkin tidak akan memberitahu pasangan, kekasih atau kawan baik mereka.

Susunan Faizatul Farlin Farush Khan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI