Datuk Majura Muda meninggal dalam nahas motosikal

Monday, August 26, 2013

Keseronokan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama tiga rakan bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 35, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Genting Sempah dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa, Datuk Majura Muda, 47, perunding kejuruteraan bersama tiga rakannya dalam perjalanan ke Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang untuk bersarapan.

Sewaktu melalui selekoh tajam iaitu kira-kira dua kilometer sebelum terowong Genting Sempah, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Concours 14 tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya.

Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Tiga rakannya yang mengekori di belakang bagaimanapun tidak terlibat dalam kemalangan dan mereka sempat menghubungi isteri mangsa memaklumkan nahas tersebut.

Isteri mangsa, Datin Noriah Mahat, 44, sempat tiba di lokasi kejadian untuk melihat suaminya tetapi tidak dapat bercakap dan hanya mampu menangis kerana terlalu sedih dan terkejut.

Difahamkan Majura yang aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama rakan-rakan menerajui beberapa syarikat perunding dan kejuruteraan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut dan memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI