Satu laporan yang disiarkan semalam menyatakan kejayaan merekodkan 17,650 spesies hidup di dasar laut di bawah 600 meter, aras di mana tiada cahaya matahari. Penemuan itu adalah maklumat terkini dalam bancian hidupan marin kali terakhir 10 tahun lalu.
"Sebahagian daripada laut dalam yang sebelum ini dianggap sama sebenarnya adalah agak kompleks," kata seorang pakar laut di Universiti Negeri Lousinia, Robert S. Carney yang mengetuai penyelidikan tersebut.
Beribu-ribu spesies marin wujud pada aras kedalaman tanpa cahaya dengan memakan bahan mereput yang mendap ke bawah seperti tulang ikan paus. Minyak dan metana juga adalah sumber tenaga bagi hidupan dasar laut.
Pasukan penyelidik itu menemui 5,600 spesies baru yang kini menyertai 230,000 hidupan laut yang telah disenaraikan. Mereka berharap dapat menambah beberapa ribu spesies baru lagi menjelang Oktober 2010 apabila bancian tamat.
Menurut mereka, sebanyak 5,772 spesies ditemui hidup dalam dasar laut yang sangat dalam iaitu hampir 3,000 meter.
"Laut dalam dianggap sebagai padang pasir sehinggalah tidak lama sebelum ini sebanyak 20,000 bentuk kehidupan ditemui di dalam zon yang dianggap gersang.
"Laut dalam adalah alam persekitaran yang paling kurang dijelajahi di dunia," kata Jesse Ausubel yang bekerja dengan penaja bancian tersebut, Yayasan Alfred P. Sloan.
Lebih 40 spesies baru batu karang ditemui di kawasan gunung bawah laut yang dihiasi bintang laut dan taman anemone. Hampir 500 spesies baru dari hidupan sel tunggal hinggalah sotong besar direkodkan.
Perkara lain yang penting adalah 170 spesies baru yang mendapat tenaga dari bahan kimia yang terhasil daripada dasar laut. Antaranya adalah 'ketam yeti' yang mempunyai filamen halus pada bahagian kaki.
Di tengah Lautan Atlantik, penyelidik menemui 40 spesies baru dalam 1,000 spesies keseluruhan, demikian menurut pakar laut dari Universiti Bergen di Norway, Odd Aksel Bergstad yang dihubungi melalui panggilan telefon ke Pulau Azores.
Lebih 2,000 saintis dari 80 negara bekerjasama untuk mengisi katalog spesies hidupan laut dalam misi yang memakan belanja besar bagi peralatan kamera bawah laut, sonar dan kenderaan kawalan jauh yang mencapai kos AS$50,000 (RM169,000) sehari. - AP
0 Komen:
Post a Comment