Barangan yang diimport terus dari pembekal di China mampu memberikan margin keuntungan lebih tinggi.
Siapa sahaja boleh menceburi perniagaan import dan menjadi saudagar borong? Biar betul..! Kedengarannya seperti memerlukan modal yang besar, mempunyai kapal pengangkut, pengalaman berniaga di negara orang dan lain-lain faktor yang menggerunkan sesiapa sahaja menceburinya terutama peniaga-peniaga kecil.
“Memang benar, kini sesiapa sahaja boleh menjadi pemborong dan tidak semestinya berbekalkan modal jutaan ringgit,” kata Shahabudden Jalil Kamarul Jaman, Pengurus Anzac Consultancy (Anzac) yang merupakan syarikat penganjur kursus memborong dari China.
Menurut beliau, perniagaan borong atau mengimport dari negara luar seperti China, Vietnam atau India telah lama dilakukan oleh peniaga bukan bumiputera tetapi ia masih agak baru khususnya di kalangan orang Melayu.
Katanya, ketiga-tiga negara ini menjadi pilihan di kalangan pemborong kerana menawarkan rangkaian produk yang pelbagai dan mampu memenuhi permintaan pasaran.
“Paling penting negara-negara ini menawarkan sumber pada harga yang cukup kompetitif, lebih-lebih lagi kepada pemborong berskala kecil dan yang baru hendak bermula,” katanya.
Beliau telah tujuh tahun mengendalikan kursus memborong barangan dari China dan setakat ini telah membawa lebih 500 pemborong Melayu yang kebanyakan telah menjadi pemborong berjaya.
Menurut Shahabudeen Jalil, senario pasaran borong semakin berubah apabila semakin ramai usahawan Melayu berusaha membebaskan diri daripada terus bergantung kepada orang tengah.
“Ramai yang cuba berusaha mendapatkan terus dari sumber yang secara tidak langsung boleh meningkatkan margin keuntungan mereka.
“Cara terbaik ialah dengan menjadi pemborong dan berurusan terus dengan pembekal bagi memberi ruang lebih luas untuk tawar menawar harga,” katanya.
Dalam hal ini katanya, peniaga Melayu memang diakui berkebolehan dari segi pemasaran tetapi kurang pengalaman dalam meneroka pasaran borong terutama luar negara yang nyata jauh lebih murah.
Justeru bagi yang baru mula meneroka pasaran borong, China adalah tempatnya kerana negara itu merupakan hab atau destinasi pemborong terbesar di dunia.
“Bukan setakat Malaysia, malah pemborong dari negara-negara Asean lain seperti Indonesia, Brunei dan Filipina datang ke sini. Malah sejak kebelakangan destinasi borong seperti Guangzhou, Shenzen dan Yiwu menjadi tumpuan peniaga-peniaga Afrika,” katanya.
Usahawan bumiputera
Beliau ditemui ketika menganjurkan rombongan usahawan bumiputera ke Guangzhou anjuran Anzac Consulting dengan kerjasama Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Trip empat hari tiga malam itu membabitkan 40 usahawan bumiputera yang rata-ratanya berminat menerokai pasaran borong di wilayah selatan China itu.
Para peserta telah dibawa ke beberapa pusat memborong terbesar di bandar raya itu termasuk plaza barangan tekstil, aksesori wanita, pakaian kanak-kanak, plaza beg tangan, hiasan dalaman dan sebagainya..
Selain kesibukan mengunjungi plaza borong, jadual turut diselitkan dengan lawatan ke beberapa tempat tumpuan pelancong termasuk Masjid Huaiseng iaitu antara masjid tertua di China, di samping berkunjung ke Makam Saad Abi Waqas iaitu bapa saudara Rasulullah SAW dan pasar malam Beijing Lu.
Menurut Shahabudeen Jalil, selepas membuat pembelian para peserta tidak perlu khuatir mengenai kerja-kerja pembungkusan dan penghantaran kerana beliau turut menawarkan khidmat tersebut.
“Barangan yang dibeli akan diisi dalam kotak dan akan dimuatkan dalam kontena secara berkongsi untuk pengangkutan laut.
“Begitu juga dengan masalah komunikasi di mana kami menyediakan beberapa penterjemah bagi membantu urusan jual beli kerana rata-rata peniaga di China tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya.
Dalam pada itu kata Shahabudden Jalil, sebelum menyertai trip para peserta digalakkan mengikuti kursus sehari memborong dari China anjuran syarikatnya bagi memberi kefahaman jelas mengenai peluang-peluang perniagaan di negara itu.
“Peserta trip yang telah mengikuti kursus kebiasaannya boleh membuat keputusan perniagaan lebih cepat dan tepat kerana mereka telah mempunyai maklumat dan bersedia untuk memborong barang yang diingini sahaja,” katanya.
Ditanya, mengapa usahawan perlu mengikuti rombongan perniagaan anjurannya dan tidak disarankan pergi sendiri untuk memborong di China, Shahabudeen berkata, peniaga yang pergi sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak terdedah kepada penipuan oleh peniaga di negara itu.
“Kita dimaklumkan ramai peniaga dari Malaysia termasuk di kalangan berbangsa Cina tertipu apabila berurusan secara sendiri kerana masalah bahasa dan sebagainya,” katanya.
Lagi pun katanya, Anzac mempunyai wakil di beberapa bandar di China yang mampu menguruskan para pesertanya yang mempunyai masalah berurusan di negara itu, termasuk memeriksa sama ada syarikat yang mereka berurusan itu benar-benar wujud atau tidak.
Katanya, kadar bayaran yang dikenakan oleh syarikatnya juga berpatutan kerana ia bukan saja meliputi tiket penerbangan, tempat tinggal, makan dan pengangkutan sepanjang lawatan ke plaza-plaza borong bahkan turut dibawa melawat ke beberapa destinasi tumpuan pelancong.
Sementara itu ketua rombongan Anzac ke Guangzou baru-baru ini, Mohamad Firdous Kamarul Jaman, 19, berkata, kelebihan mengikuti rombongan mereka ialah peserta akan dibawa terus ke tempat memborong dan bukannya kedai biasa.
“Kadang kala orang tempatan pun tidak membeli di situ,” katanya.
Dalam aturcara lawatan, peserta akan dibawa melawat plaza memborong beg tangan, kasut, kain, hiasan dalaman, pakaian dewasa dan kanak-kanak, jam tangan, barangan elektronik dan aksesori wanita.
“Bagaimanapun, jika ada peserta yang ingin membeli barangan yang tidak mengikuti aturcara, mereka juga boleh berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, peserta yang telah mengikuti rombongan dan ingin mendapatkan bantuan syarikatnya untuk mendapatkan visa dan tempahan hotel bagi lawatan seterusnya juga akan dibantu.
Maklumat lanjut mengenai jadual lawatan boleh diperoleh dengan melawat laman web http://www.kursusborongchina.com/. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, hubungan Firdous di talian 017-2517515.
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
Memborong terus dari China
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment