Oprah Winfrey Show akan berakhir

Thursday, November 26, 2009

Saat Oprah Winfrey mengumumkan rancangan bual bicaranya, The Oprah Winfrey Show akan melabuhkan tirainya selepas 25 tahun bersiaran baru-baru ini, ia sebetulnya bukanlah satu berita yang mengejutkan.

Ini kerana sebelum ini wanita tersohor dunia itu sudah mengumumkan program itu akan dihentikan pada tahun 2011.

Ketika itu barangkali sebilangan besar peminat setia Oprah dan rancangan itu belum bersedia menerima hakikat bahawa keputusan itu dilakukan sebegitu awal.

Dalam nada sebak, Oprah menjelaskan, keputusan yang diambilnya itu sesuatu yang amat berat.

Lalu, untuk mendapat kekuatan, Oprah berdoa, bertawakal dan memohon petunjuk selain berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan musim ke-25 The Oprah Winfrey Show merupakan yang terakhir.

"Saya memang sayangkan rancangan ini dan ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya sedar bahawa sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal.

"Selama suku abad program ini bersiaran, ia menjadi tulang yang mengukuhkan diri selain menjadi motivasi untuk saya meneruskan kehidupan ini," luahnya di hadapan penonton setia rancangan tersebut sewaktu rakaman berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat minggu lalu.

The Oprah Winfrey Show hanya akan 'dimatikan' pada tahun 2011 tetapi impak yang terhasil daripada pengumuman Oprah itu cukup besar.

Masakan tidak, selama 25 tahun membina nama menerusi rancangan itu, Oprah telah menjana keuntungan yang tidak terhitung jumlahnya sehingga berupaya meletakkan Oprah sebagai manusia paling berkuasa di dunia.



Bukan itu sahaja, kejayaan Oprah meletakkan dirinya sebagai personaliti TV tersohor dunia sememangnya mengagumkan sehingga dia memiliki aset dan kekayaan yang mencecah berbilion dolar.

Oprah tidak membina kemasyhuran dan kemewahan semalaman kerana apa yang kita lihat hari ini, semuanya datang daripada semangat dan kerja kerasnya.

Kehidupan Oprah ketika zaman kanak-kanak penuh hiba. Daripada seorang yang hidup dalam kemiskinan dia menjalani kehidupan yang penuh lara sehingga pernah dirogol oleh saudara terdekatnya pada usia sembilan tahun.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah mengandung di usia yang cukup muda iaitu 14 tahun, namun anaknya itu mati di dalam kandungan.

Oprah sedar jika dia terus hidup dalam kemurungan dan kesedihan sambil meratapi kisah pahit yang menyelubungi dirinya, dia tidak akan ke mana-mana.

Atas kesedaran itulah, dia mencari peluang sebanyak mungkin untuk menonjolkan bakatnya sebagai seorang pengacara.

Selepas tamat sekolah menengah, Oprah berpeluang menjadi pembaca berita di salah sebuah saluran televisyen, WLAC-TV di Nashville, Tennesse.

Kejayaan itu menjadikan dia sebagai pembaca berita paling muda dan wanita berkulit hitam pertama di saluran itu.

Kemudian, dia berhijrah pula ke Baltimore dan berkhidmat untuk saluran WJZ-TV pada tahun 1976 dan menjadi pembaca berita untuk saluran berita pukul enam petang.

Satu demi satu kejayaan berpihak kepada Oprah selepas dia berpindah ke Chicago pada tahun 1983 untuk mengendalikan AM Chicago terbitan WLS-TV.

Siapa sangka rancangan pagi selama setengah jam yang memiliki rating paling rendah dalam stesen itu akhirnya melonjak ke tangga pertama dalam hanya tempoh beberapa bulan sahaja pada tahun 1984.

Tidak terhenti setakat itu, rancangan kendalian Oprah itu berjaya menewaskan rancangan Donahue dengan meletakkannya sebagai rancangan bual bicara yang mencatatkan rating paling tinggi ketika itu.

Bermula detik itu, wanita berusia 55 tahun ini tidak lagi menoleh ke belakang dan rancangan AM Chicago itu telah bertukar nama menjadi The Oprah Winfrey Show seperti mana yang dapat ditonton selama 25 tahun ia bersiaran sejak tahun 1986.

Biarpun ia bukan sebuah rancangan siaran langsung, tetapi tiada siapa yang mampu menidakkan kuasa Oprah menerusi rancangan tersebut.

Musim demi musim, The Oprah Winfrey Show tidak pernah gagal mencatatkan rating yang membanggakan dengan menghampiri 10 juta penonton setiap kali bersiaran.

Siapa yang dapat lupa dengan kejayaan luar biasa menerusi episod khas Oprah menemubual Raja Pop Dunia, Michael Jackson di kediamannya di Neverland pada tahun 1993.

Hasilnya, ia telah menjadi rancangan keempat dalam sejarah penerbitan rancangan televisyen di Amerika Syarikat yang paling ramai ditonton dengan tontonan seramai 100 juta orang.

Tidak cukup dengan itu, Oprah juga mencetuskan polemik dan perdebatan apabila musim ke-19 dibuka dengan pemberian 276 kereta Pontiac G6 kepada penonton bertuah.

Itulah dia Oprah Winfrey. Seorang personaliti yang cukup berkuasa dan mahu atau tidak, harus diakui ada kalanya kuasa Oprah melangkaui Presiden Amerika Syarikat sendiri.

Biarpun hanya memiliki kelulusan sekolah tinggi sahaja, itu bukan satu kekangan buat Oprah untuk membina empayar seninya.

Tidak hanya memiliki Harpo Productions, Oprah juga memiliki saluran radionya sendiri yang diberi nama Oprah & Friends di mana dia mengikat perjanjian sebanyak AS$55 juta selama tiga tahun dengan radio XM Satellite Radio.

Tumpuannya bukan setakat penerbitan radio dan televisyen, Harpo Productions juga giat aktif menerbitkan filem dan filem televisyen yang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Antara karya yang pernah diterbitkan oleh Oprah adalah Beloved, Tuesdays With Morrie, Their Eyes Were Watching God dan terbaru, Precious yang diadaptasi daripada buku Push hasil tulisan Sapphire.

Malah, filem berkenaan kini menjadi sebutan ramai dan pengkritik di Hollywood sudah mula meramalkan ia mampu menjadi filem pilihan untuk merebut tempat dalam majlis anugerah berprestij menjelang akhir tahun ini.

Bukan sekadar sebagai hos, tetapi Oprah juga merupakan seorang pelakon dan siapa yang boleh melupakan watak hamba abdi bernama Sofia yang dilakonkannya menerusi filem The Color Purple pada tahun 1985.

Menerusi watak dalam filem arahan Steven Spielberg itu telah melayakkan Oprah menerima pencalonan Oscar pertamanya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun berikutnya.

Oprah juga cukup sinonim dengan kerja-kerja amal dan membantu mereka yang cukup memerlukan dengan menubuhkan Oprah's Angel Network.

Penglibatan Oprah tidak hanya tertumpu pada bidang seni sahaja tetapi juga cabang-cabang lain sehingga menjadikannya sebagai seorang ahli perniagaan yang cukup berjaya.

Lihat sahaja bagaimana dia meluaskan pengaruhnya dengan bergelar Ketua Pengarang untuk majalahnya sendiri, O, The Oprah Magazine dan O At Home yang saban bulan mencatatkan penjualan yang cukup tinggi.

Memang benar kuasa individu bernama Oprah Winfrey atau nama sebenarnya, Oprah Gail Winfrey ini cukup besar dan melangkaui jagat raya.

Apa sahaja yang dikatakan, ditonjolkan, diberitakan dan dipertontonkan oleh Oprah menerusi rancangannya pasti akan meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton.

The Oprah Winfrey Show bukan rancangan bual bicara omongan kosong semata-mata. Ia mengandungi intipati bernas dan berkualiti sehingga ia mampu memberi kesan psikologi positif kepada penonton.

Jika hendak membicarakan tentang kejayaan dan kuasa Oprah, ruang ini cukup terhad untuk menceritakan segala-galanya tentang wanita yang telah merubah dunia secara keseluruhannya.

Bagi mereka yang mengikuti perjalanan dan karier anak kelahiran Kosciusko, Mississippi, Amerika Syarikat ini pasti akan bersetuju bahawa tiada siapa yang layak menggantikan tempatnya.

Biarpun The Oprah Winfrey Show akan ditamatkan dua tahun lagi, tetapi tempoh itu sebenarnya adalah terlalu sekejap dan akan pantas berlalu.

Berakhirnya rancangan itu, bukan bermakna berakhirnya legasi seni ciptaannya.

Juga, ia bukan satu alasan kukuh untuk Oprah duduk diam, menggoyangkan kakinya dan menikmati hari tuanya dengan kemewahan yang tidak akan habis.

Buktinya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Discovery Communications untuk menukar saluran Discovery Health Channel kepada OWN: The Oprah Winfrey Network yang bakal bersiaran pada tahun 2010.

Saluran itu kelak akan menayangkan rancangan-rancangan yang diterbitkan sendiri oleh Oprah dengan konsep yang berbeza.

Bukan itu sahaja, ia juga bakal membawa keuntungan yang berlipat ganda dan mampu menjadikan Oprah sebagai seorang mogul televisyen.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI