Letak diri anda dalam situasi polis

Sunday, November 29, 2009

Letak diri anda dalam situasi polis

Akhir-akhir ini, sesetengah pihak sering mengkritik tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani jenayah di negara ini bagi menjamin keselamatan rakyat. Tidak kurang pula mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri atau mahu menjadi hero dengan mengecam apa yang dilakukan pihak berkuasa itu.

Antara yang ditimbulkan ialah polis bertindak ‘trigger happy’ atau ‘suka-suka tembak’ penjenayah tanpa menangkap si penjenayah terlebih dulu. Sedangkan dalam beberapa kes kebanyakan penjenayah yang mati ditembak polis sebenarnya sudah melakukan pelbagai jenayah dan ada antara mereka bekas banduan yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan seperti rompak dan rogol.

Ini membuktikan penjenayah yang ditembak mati itu tidak serik mengulangi kesalahan sama walaupun mereka pernah merengkok di penjara. Ada di kalangan mereka menganggap jika mereka ditahan sekali pun, mereka rela menjalani hukuman penjara kerana mereka sudah biasa dengan keadaan sedemikian.

Tidak ketinggalan ada penjenayah sekarang bijak menghapuskan bukti supaya apabila ditahan, polis tidak mempunyai cukup bukti untuk menahan mereka di penjara dan mereka akan dibebaskan. Ini membolehkan mereka kembali melakukan jenayah.










Bagi masyarakat yang tidak pernah menghadapi saat getir seperti disamun, dirompak, dirogol mungkin menganggap polis melakukan kesalahan menembak mati perompak tanpa mengadili mereka terlebih dulu.




Pandangan mereka ini disanggah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menegaskan tindakan pegawai dan anggotanya menembak mati penjenayah sebelum ini bukan disebabkan polis suka melepaskan tembakan sesuka hati untuk membunuh penjenayah.

Beliau menjelaskan dalam situasi getir ketika serbuan menangkap penjenayah, mereka (penjenayah) sentiasa berjaga-jaga dan akan melepaskan tembakan terhadap mana-mana pihak yang dianggap merosakkan atau melumpuhkan kumpulan mereka. Dalam keadaan ini, pegawai dan anggota polis perlu bertindak cepat bagi mengelak mereka dibunuh penjenayah.

Menurutnya, sekiranya penjenayah menyerah diri dan tidak mengancam atau melepaskan tembakan ketika polis mahu menahan mereka, tiada mana-mana pihak akan menyebabkan mereka terbunuh.

Beliau berkata, dalam serbuan polis, penjenayah yang hendak ditangkap menembak polis terlebih dulu menyebabkan polis perlu membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk N Siva Subramaniam menjelaskan walaupun polis tidak digalak menggunakan kaedah ‘tembak untuk bunuh’, anggota keselamatan itu juga mempunyai hak asasi untuk mempertahankan diri.

Sambil menegaskan semua pihak harus memahami tugas polis yang terpaksa menggunakan kaedah itu apabila berdepan dengan situasi di peringkat akhir untuk melepaskan tembakan.

Siva memaklumkan semua pihak harus meneliti kejadian itu. Kaedah ‘shoot to kill’ tidak digalakkan kerana hak untuk nyawa adalah hak manusia, tetapi hak asasi manusia itu juga untuk polis.

Menurut Siva, tindakan polis itu diambil selepas mengambil kira kepentingan orang awam yang semakin bimbang keselamatan mereka yang sering menjadi mangsa penjenayah.

Katanya, jika dilihat keadaan ketika ini, penjenayah yang cuba menyamun sebentuk cincin sanggup mengerat jari mangsa.

Begitu juga apa yang berlaku kepada polis dan mereka diancam penjenayah yang menggunakan pelbagai senjata api untuk mengganggu ketenteraman awam.

Siva tidak setuju dengan sesetengah pendapat mengenai polis hanya menembak mati kaum India. Berdasarkan statistik Suhakam, polis menembak mati warga asing sebanyak 50 peratus, Melayu 17.5 peratus, Cina 14.1 peratus manakala India 17 peratus.

Sehubungan itu, Siva berharap rakyat Malaysia perlu menjadi lebih produktif untuk memikirkan cara penyelesaian masalah itu dengan memberi sokongan kepada pihak berkenaan dan bukan memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Siva turut menegaskan polis tidak melihat bangsa, warna kulit atau agama, mereka hanya lihat penjenayah yang melakukan jenayah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Capaian Belia Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamal Affendi Hashim menyifatkan kecaman terhadap polis di negara ini tidak wajar dilakukan.

Menurutnya, ramai terlupa tindakan polis berbuat demikian sebenarnya demi mempertahankan keamanan dan keselamatan orang awam.

Baginya, mereka yang mempertikaikan tindakan polis harus berfikir untuk berada di pihak yang mendokong undang-undang atau menyokong tindakan ganas penjenayah.

Kamal Affendi berkata, tindakan polis itu bukan dilakukan sewenang-wenang sebaliknya mengambil kira ketenteraman orang awam yang tidak harus dipertikaikan dan tindakan menembak penjenayah adalah jalan terakhir.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI