Sidek Hussin niaga koleksi antik

Saturday, April 16, 2011

Di Ipoh, beliau akan menuju ke Pasar Pagi (Memory Lane) kerana di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai itu, Sidek ada tapak perniagaan barang-barang antik dan terpakai.

Suami kepada Sebiah Sulaiman, 58, itu berkata, kebanyakan barangan jualannya itu dibeli daripada orang perseorangan di kawasan luar bandar.


Antara koleksi barangan antik yang menjadi kesayangannya adalah biola lama dari Republik Czech, piring hitam lagu-lagu dendangan Tan Sri P. Ramlee, gesekan biola Dr. Hamzah Dolmat serta lagu-lagu daripada filem Hindi.

Selain itu, Sidek juga mempunyai satu koleksi cendawan liar yang berupa ikan yang dibeli daripada Orang Asli serta beberapa almari lama yang diguna.

"Setiap kali shooting di kawasan kampung, saya rajin bertanya pada orang sekitar kalau-kalau mereka ada barangan lama yang hendak dijual. Ada yang saya beli dan ada juga hadiah daripada peminat.

"Sekarang ini, saya lebih gemar mengumpul kitab-kitab lama kerana barangan antik ini sudah ramai yang berniaga. Kalau kitab-kitab lama saya tidak jual tapi untuk kegunaan sendiri. Kalau ada yang nak menjual, saya sedia membeli," katanya.

Kata Sidek, ada koleksi kitab-kitabnya yang berusia lebih 100 tahun kerana beliau mula mengumpul bahan bacaan itu sejak muda lagi.

Antara kitab lama koleksinya berkaitan tauhid, fiqah dan tariqat yang diperoleh ketika menjalani penggambaran di kawasan pedalaman Terengganu dan Johor.

"Kitab-kitab saya tidak jual kerana penulis naskhah itu sudah tidak ada lagi di dunia ini. Bukan senang nak cari kitab-kitab lama sebab kitab terjemahan dari Mesir dan Malaysia berbeza.

"Saya suka baca kitab-kitab lama itu pada waktu lapang. Apabila membaca secara tidak langsung, kita akan rasa makin banyak ilmu yang kita kurang.

"Terutamanya kalau membaca kitab tasawuf. Ilmu tasawuf mengajar kita untuk mendekatkan diri dengan Allah," katanya yang berguru dengan guru tahfiz di Kuala Kangsar, Perak, Ustaz Astar.

Beliau yang banyak mendalami ilmu tasawuf itu mengambil keputusan akan bersara dari dunia lakonan dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Menjadi Tok Malam dalam filem Karak yang bakal ditayangkan pada 26 Mei ini, Sidek berkata, sekarang ini beliau berlakon kerana ia merupakan punca pendapatannya.

"Namun saya tidak akan berlakon untuk selama-lamanya kerana bakat itu tidak akan membantu saya bila berada di alam baqa. Saya paling takut kalau meninggal dunia ketika shooting.

"Lagipun anak-anak saya sudah besar. Anak bongsu, Mohd. Adam, 21, bakal jadi doktor. Lagi dua tahun tamat belajar di Universiti Malaya. Mustahil dia tidak mahu menjaga ibu bapanya kelak," katanya yang mempunyai lima orang anak dan lima cucu.

Anak-anaknya yang lain adalah Khairul Nizam, 32, Siti Hajar, 31, Umi Kalsom, 30, dan Siti Mariam, 27.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI