6 IPTS saja dibenar tawar program pengajian jarak jauh

Monday, December 17, 2012

Hanya enam institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dibenar menawarkan program pengajian jarak jauh sehingga 31 Okt lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata IPTS itu ialah Al-Madinah International University, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Terbuka Wawasan, Universiti Terbuka Malaysia, Asia e University dan Internatonal Centre for Education in Islamic Finance.

Katanya kurikulum kursus pengajian yang hendak dikendalikan oleh IPT hendaklah dibentuk supaya mencapai hasil yang dinyatakan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Bagi memastikan pengawalan kualiti IPTS termasuk dalam aspek kurikulum dan pengajian jarak jauh, kementerian sentiasa melaksanakan penyeliaan dan pemantauan secara berkala ke atas IPTS dari semasa ke semasa," katanya menjawab soalan Datuk Dr Johari Mat pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Dr Johari ingin tahu pemantauan kementerian terhadap program pengajian jarak jauh yang ditawarkan IPT.

Saifuddin berkata satu jawatankuasa pendidikan tinggi telah diwujudkan bagi melulus dan memantau program pengajian yang ditawarkan di IPT awam termasuk program pengajian jarak jauh.

Katanya, MQA juga telah membangunkan Kod Amalan Open and Distance Learning untuk membantu IPT memastikan kualiti program pengajian jarak jauh setanding dengan program yang dilaksanakan secara konvensional.

Sementara itu, Saifuddin juga berkata tahun lepas, dua IPTS dibatalkan kelulusan penubuhannya dan dua lagi dibatalkan pendaftaran di bawah Akta IPTS 1996.

"Pada 2012 pula hanya sebuah IPTS dibatalkan kelulusan penubuhan," katanya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI