Rancangan progran TV3 menjelang sambutan tahun baru 2013

Wednesday, December 26, 2012

Rancangan progran TV3 menjelang sambutan tahun baru 2013

TV3 menyajikan program istimewa bermula hari ini sehingga 1 Januari depan. Saksikan filem hebat tempatan dan antarabangsa, antaranya Hantu Kak Limah Balik Rumah, Chori Chori Chupke Chupke, I Am Legend, Kung Fu Hustle, The Karate Kid dan rancangan hiburan popular seperti Vokal 2 - Akhir dan Konsert Jom Heboh Bukit Jalil.

TV3 turut menyajikan telefilem terbaru iaitu Ady Valentino menampilkan Hazama, Eina Azman, Bella Daly, Zachery Francis dan Taiyuddin Bakar. Ia mengisahkan seorang pemuda berusia awal 20-an, Ady seorang 'mat-despatch', tetapi mempunyai impian untuk berkahwin wanita berpangkat tinggi.

Sementara itu, penonton turut berpeluang memenangi hadiah hebat melalui Peraduan Terbaik Akhir Tahun. Caranya, selepas menonton setiap rancangan, hantarkan SMS Terbaik ke 33399 dan jawab tiga soalan mudah. Setiap jawapan yang betul mendapat lima markah. Penonton yang berjaya mengumpulkan markah tertinggi membawa pulang gajet terkini.

Hantu Kak Limah Balik Rumah akan disiarkan pada jam 10 malam ini lakonan Awie, Man Kadir, Zami Ismail, Johan, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan, Avaa Vanja dan Nadia Mustafar.

Vokal 2 - Akhir pula akan disiarkan esok, jam 9 malam, bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Dua finalis iaitu Mar dan Uchop berentap bagi menentukan suara siapa paling layak membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000. Vokal 2 menampilkan Datuk Hattan dan Ziana Zain sebagai juri tetap serta Faizal Ismail sebagai pengacara.

I Am Legend menemui penonton pada 28 Disember jam 10 malam. Ia mengisahkan pada 2009, satu virus menyerang dan meragut nyawa penduduk di seluruh dunia. Asalnya, ia dicipta Dr Alice Krippin untuk menjadi penawar penyakit kanser sebelum berubah menjadi virus 'pembunuh'.

Leftenan Robert Neville, seorang pakar virologi, mempercayai masih ada lagi manusia yang terselamat daripada virus itu. Namun, dia terperangkap di bandar New York. Setiap langkah dan gerak geri Neville diperhatikan oleh kumpulan mutan (manusia yang mati dijangkiti virus berkenaan) di situ. Neville adalah harapan terakhir mencari imun bagi virus ini, tetapi dia menyedari masa semakin suntuk. Filem ini dijayakan oleh Will Smith, Alice Braga, Charlie Tahan, Salli Richardson-Whitfield, Willow Smith dan Darrell Foster.

Chori Chori Chupke Chupke akan disiarkan 29 Disember jam 2 petang. Filem ini menceritakan Raj dan Priya Malhotra sudahpun berkahwin selama beberapa tahun dan hidup dalam keluarga yang kaya serta harmoni. Malangnya, mereka mempunyai satu masalah di mana Priya tidak boleh hamil.

Apabila usaha mengambil anak angkat gagal, Raj dan Priya menawarkan seorang pelacur iaitu Madhubala supaya menjadi 'ibu tumpang' bagi pasangan ini. Madhu bersetuju kerana pada waktu yang sama, dia sangat memerlukan wang. Namun, keadaan menjadi rumit apabila Madhu jatuh cinta terhadap Raj. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Filem menarik ini membariskan lakonan berkesan Preity Zinta, Salman Khan, Rani Mukerji, Amrish Puri dan Dalip Tahil.

Ady Valentino disiarkan pada 29 Disember jam 10 malam, Konsert Jom Heboh Bukit Jalil pada 30 Disember jam 9 malam, diikuti oleh filem Kung Fu Hustle pada 31 Disember jam 10 malam dan The Karate Kid pada 1 Januari 2013, jam 10 malam.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI