Tarikan untuk tampil cantik dengan kulit putih gebu dalam tempoh
singkat menyebabkan ada wanita yang sanggup berbuat apa saja termasuk
tidak mengikuti prosedur klinikal daripada doktor pakar atau profesional
sehingga mendedahkan diri kepada risiko kesihatan.
Ini berikutan
kewujudan pakej kecantikan wajah yang murah, mudah dan cepat ditawarkan
oleh 'pakar' tidak bertauliah kepada sesiapa saja yang berminat untuk
menjalani prosedur perubatan di tempat terbuka.
Kegiatan suntikan
vitamin C, plasenta, kolagen, sel stem dan glutathione itu semakin
laris di kalangan wanita namun tanpa disedari mereka sebenarnya terdedah
kepada jangkitan HIV dan Hepatitis B.
Seorang wanita yang
mendakwa dirinya pakar perunding kecantikan mendakwa mengaut keuntungan
mudah dengan menjalankan perkhidmatan menyuntik produk kecantikan itu
kepada sesiapa saja yang berminat di tempat terbuka.
Perkhidmatan
itu menarik minat golongan remaja, suri rumah dan kalangan VIP yang
kebanyakan ingin melihat keberkesanan perkhidmatan dan produk itu dengan
cepat, mengatasi masalah kulit bermasalah dan inginkan diri kelihatan
kekal muda.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suzy berkata,
dia hanya berbekalkan jarum suntikan dan beberapa peralatan perubatan
ringkas lain menemui pelanggannya bermula jam 2 petang hingga larut
malam untuk melakukan suntikan sama ada di rumah, tempat makan atau
dalam kereta.
Wartawan Harian Metro yang berpeluang melihat
sendiri kegiatan itu mendapati setiap kali suntikan dilakukan, Suzy akan
mencari saluran darah yang betul sebelum membuat suntikan termasuk pada
tangan bagi memastikan bahan yang disuntik itu meresap ke seluruh badan
tanpa mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.
Namun, pernah beberapa kali juga dia gagal mencari saluran darah itu sehingga beberapa pelanggannya cedera dan kesakitan.
Dia
mendakwa produk itu diimport dari Australia dan dijual pada harga
berpatutan, misalnya bagi produk vitamin C, harga dijual RM500 hingga
RM1,000 sekotak, sekali gus menyatakan kononnya ia jauh lebih murah
berbanding harga pasaran atau di klinik swasta.
Menurutnya,
produk seperti vitamin C itu mempunyai kandungan 1,500 miligram (mg)
vitamin C dan kolagen 0.5 mg, selain keberkesanannya untuk membuatkan
kulit putih gebu serta mengatasi masalah kulit dalam tempoh dua minggu
dijamin sehingga 90 peratus berkesan tanpa meninggalkan sebarang
masalah.
"Golongan wanita sangat mementingkan penampilan dan
kecantikan, malah bagi mereka yang mengalami masalah kulit muka
berjerawat dan kulit tidak sekata sanggup berbelanja mahal untuk
mengatasi masalah itu dengan segera tanpa memikirkan kesannya.
"Saya sudah menjalankan perniagaan ini sejak dua tahun lalu. Saya boleh kaut keuntungan dalam sebulan lebih RM10,000.
"Saya
hanya berniaga kepada pelanggan yang mahukan perkhidmatan saya, selain
boleh suntik di rumah, mereka tidak perlu ke klinik kerana saya akan
pergi ke rumah mereka atau berjumpa di tempat terbuka.
"Kalau ada
pihak menganggap perkhidmatan ini boleh mendatangkan kesan termasuk
risiko penyakit, itu bukan masalah saya. Lebih penting saya boleh untung
sebab sudah ada pelanggan tetap dari seluruh Lembah Klang yang mahukan
produk dan perkhidmatan saya," katanya.
Suzy berkata, perkara
lebih penting, selepas mengambil suntikan itu, pelanggan diarah minum
air suam dengan kadar banyak pada setiap hari.
`Saya sakit tulang belakang'Akibat
mengamalkan pengambilan suntikan vitamin C dengan Suzy selama empat
minggu sejak awal November lalu, seorang penuntut institusi pengajian
tinggi swasta (IPTS) di sini menahan kesakitan pada pinggang dan tulang
belakang.
Penuntut yang yang hanya dikenali sebagai Fara, 25,
berkata, dia kini tidak lagi mengambil suntikan itu berikutan tidak mahu
berdepan risiko lebih teruk.
Fara mengakui keinginannya untuk
mendapatkan kulit lebih cerah serta kelihatan cantik membuatkan dia
tidak berfikir panjang untuk mengambil suntikan itu apatah lagi harga
ditawarkan hanya RM50 untuk sebotol vitamin C bagi sekali suntikan.
Dengan
perkhidmatan secara 'pintu ke pintu' ditawarkan Suzy, ia memudahkannya
kerana boleh mendapatkan suntikan berkenaan pada bila-bila masa tanpa
perlu bersusah-payah ke klinik atau pusat kecantikan lain.
"Apabila
tiba waktu untuk suntik, saya hanya perlu hubungi Suzy melalui telefon
dan dia segera datang ke tempat yang saya tentukan tidak kira di rumah,
kolej, kedai makan, malah dalam kereta sekalipun.
"Tapi selepas
kali keempat melakukan suntikan ini, saya mulai sedar dan meragui
kesannya kerana ia tidak pun menunjukkan perubahan pada kulit selepas
empat minggu sebaliknya menyebabkan pinggang dan tulang belakang saya
kerap sakit," katanya.
Perlu pegawai perubatan bertauliah"Hanya
pegawai perubatan bertauliah yang dibenarkan melakukan suntikan
terhadap mana-mana individu untuk apa tujuan sekalipun," kata Perunding
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar Ampang Puteri Datuk
Dr A Jalil Jidon.
Menurut beliau, pengambilan suntikan misalnya
vitamin C itu tidak mendatangkan masalah kerana selain membantu
mencerahkan kulit, ia juga penting untuk kesihatan.
Malah, di
Eropah misalnya, suntikan itu sudah pun menjadi sebahagian daripada
rawatan konvensional dan ia disediakan di klinik dan hospital awam sejak
beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun, katanya, perkara yang
dibimbangi membabitkan pakar tidak bertauliah ini sekiranya mereka
menyuntik bahan lain kepada pengguna, malah sebarang suntikan sepatutnya
dibuat di klinik atau hospital bukan di tempat terbuka.
"Kebiasaannya
pakar kecantikan tidak bertauliah ini hanya tahu menyuntik, tetapi
tidak tahu menangani sebarang risiko yang berlaku kepada pengguna kesan
daripada suntikan terbabit.
"Kita khuatir jarum suntikan yang
digunakan itu tidak di steril atau kemungkinan juga dipakai secara
berulang kali. Peralatan itu perlu dibuang selepas sekali pakai,"
katanya.
Terdedah jangkitanWanita yang mengikuti prosedur
suntikan kecantikan kulit mahupun wajah, menggunakan khidmat 'pakar'
tidak bertauliah terdedah pelbagai risiko penyakit termasuk Hepatitis B
dan HIV.
Timbalan Pengarah (Pencegahan dan Kesedaran Pengguna)
Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Mazlan Ismail berkata, tiada jaminan jarum yang digunakan pakar terbabit
bersih atau sebaliknya, malah kebanyakan produk vitamin C di pasaran
dikesan tidak didaftar dengan KKM.
Katanya, sebarang suntikan juga tidak boleh dilakukan di kawasan terbuka kerana ia boleh menyumbang kepada jangkitan kuman.
HM
Jan 15, 2013