Khidmat suntikan vitamin C, plasenta, kolagen bergerak

Wednesday, January 16, 2013

Tarikan untuk tampil cantik dengan kulit putih gebu dalam tempoh singkat menyebabkan ada wanita yang sanggup berbuat apa saja termasuk tidak mengikuti prosedur klinikal daripada doktor pakar atau profesional sehingga mendedahkan diri kepada risiko kesihatan.

Ini berikutan kewujudan pakej kecantikan wajah yang murah, mudah dan cepat ditawarkan oleh 'pakar' tidak bertauliah kepada sesiapa saja yang berminat untuk menjalani prosedur perubatan di tempat terbuka.

Kegiatan suntikan vitamin C, plasenta, kolagen, sel stem dan glutathione itu semakin laris di kalangan wanita namun tanpa disedari mereka sebenarnya terdedah kepada jangkitan HIV dan Hepatitis B.



Seorang wanita yang mendakwa dirinya pakar perunding kecantikan mendakwa mengaut keuntungan mudah dengan menjalankan perkhidmatan menyuntik produk kecantikan itu kepada sesiapa saja yang berminat di tempat terbuka.

Perkhidmatan itu menarik minat golongan remaja, suri rumah dan kalangan VIP yang kebanyakan ingin melihat keberkesanan perkhidmatan dan produk itu dengan cepat, mengatasi masalah kulit bermasalah dan inginkan diri kelihatan kekal muda.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suzy berkata, dia hanya berbekalkan jarum suntikan dan beberapa peralatan perubatan ringkas lain menemui pelanggannya bermula jam 2 petang hingga larut malam untuk melakukan suntikan sama ada di rumah, tempat makan atau dalam kereta.

Wartawan Harian Metro yang berpeluang melihat sendiri kegiatan itu mendapati setiap kali suntikan dilakukan, Suzy akan mencari saluran darah yang betul sebelum membuat suntikan termasuk pada tangan bagi memastikan bahan yang disuntik itu meresap ke seluruh badan tanpa mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.

Namun, pernah beberapa kali juga dia gagal mencari saluran darah itu sehingga beberapa pelanggannya cedera dan kesakitan.

Dia mendakwa produk itu diimport dari Australia dan dijual pada harga berpatutan, misalnya bagi produk vitamin C, harga dijual RM500 hingga RM1,000 sekotak, sekali gus menyatakan kononnya ia jauh lebih murah berbanding harga pasaran atau di klinik swasta.

Menurutnya, produk seperti vitamin C itu mempunyai kandungan 1,500 miligram (mg) vitamin C dan kolagen 0.5 mg, selain keberkesanannya untuk membuatkan kulit putih gebu serta mengatasi masalah kulit dalam tempoh dua minggu dijamin sehingga 90 peratus berkesan tanpa meninggalkan sebarang masalah.

"Golongan wanita sangat mementingkan penampilan dan kecantikan, malah bagi mereka yang mengalami masalah kulit muka berjerawat dan kulit tidak sekata sanggup berbelanja mahal untuk mengatasi masalah itu dengan segera tanpa memikirkan kesannya.

"Saya sudah menjalankan perniagaan ini sejak dua tahun lalu. Saya boleh kaut keuntungan dalam sebulan lebih RM10,000.

"Saya hanya berniaga kepada pelanggan yang mahukan perkhidmatan saya, selain boleh suntik di rumah, mereka tidak perlu ke klinik kerana saya akan pergi ke rumah mereka atau berjumpa di tempat terbuka.

"Kalau ada pihak menganggap perkhidmatan ini boleh mendatangkan kesan termasuk risiko penyakit, itu bukan masalah saya. Lebih penting saya boleh untung sebab sudah ada pelanggan tetap dari seluruh Lembah Klang yang mahukan produk dan perkhidmatan saya," katanya.

Suzy berkata, perkara lebih penting, selepas mengambil suntikan itu, pelanggan diarah minum air suam dengan kadar banyak pada setiap hari.

`Saya sakit tulang belakang'

Akibat mengamalkan pengambilan suntikan vitamin C dengan Suzy selama empat minggu sejak awal November lalu, seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini menahan kesakitan pada pinggang dan tulang belakang.

Penuntut yang yang hanya dikenali sebagai Fara, 25, berkata, dia kini tidak lagi mengambil suntikan itu berikutan tidak mahu berdepan risiko lebih teruk.

Fara mengakui keinginannya untuk mendapatkan kulit lebih cerah serta kelihatan cantik membuatkan dia tidak berfikir panjang untuk mengambil suntikan itu apatah lagi harga ditawarkan hanya RM50 untuk sebotol vitamin C bagi sekali suntikan.

Dengan perkhidmatan secara 'pintu ke pintu' ditawarkan Suzy, ia memudahkannya kerana boleh mendapatkan suntikan berkenaan pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah-payah ke klinik atau pusat kecantikan lain.

"Apabila tiba waktu untuk suntik, saya hanya perlu hubungi Suzy melalui telefon dan dia segera datang ke tempat yang saya tentukan tidak kira di rumah, kolej, kedai makan, malah dalam kereta sekalipun.

"Tapi selepas kali keempat melakukan suntikan ini, saya mulai sedar dan meragui kesannya kerana ia tidak pun menunjukkan perubahan pada kulit selepas empat minggu sebaliknya menyebabkan pinggang dan tulang belakang saya kerap sakit," katanya.

Perlu pegawai perubatan bertauliah

"Hanya pegawai perubatan bertauliah yang dibenarkan melakukan suntikan terhadap mana-mana individu untuk apa tujuan sekalipun," kata Perunding Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar Ampang Puteri Datuk Dr A Jalil Jidon.

Menurut beliau, pengambilan suntikan misalnya vitamin C itu tidak mendatangkan masalah kerana selain membantu mencerahkan kulit, ia juga penting untuk kesihatan.

Malah, di Eropah misalnya, suntikan itu sudah pun menjadi sebahagian daripada rawatan konvensional dan ia disediakan di klinik dan hospital awam sejak beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang dibimbangi membabitkan pakar tidak bertauliah ini sekiranya mereka menyuntik bahan lain kepada pengguna, malah sebarang suntikan sepatutnya dibuat di klinik atau hospital bukan di tempat terbuka.

"Kebiasaannya pakar kecantikan tidak bertauliah ini hanya tahu menyuntik, tetapi tidak tahu menangani sebarang risiko yang berlaku kepada pengguna kesan daripada suntikan terbabit.

"Kita khuatir jarum suntikan yang digunakan itu tidak di steril atau kemungkinan juga dipakai secara berulang kali. Peralatan itu perlu dibuang selepas sekali pakai," katanya.

Terdedah jangkitan

Wanita yang mengikuti prosedur suntikan kecantikan kulit mahupun wajah, menggunakan khidmat 'pakar' tidak bertauliah terdedah pelbagai risiko penyakit termasuk Hepatitis B dan HIV.

Timbalan Pengarah (Pencegahan dan Kesedaran Pengguna) Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mazlan Ismail berkata, tiada jaminan jarum yang digunakan pakar terbabit bersih atau sebaliknya, malah kebanyakan produk vitamin C di pasaran dikesan tidak didaftar dengan KKM.

Katanya, sebarang suntikan juga tidak boleh dilakukan di kawasan terbuka kerana ia boleh menyumbang kepada jangkitan kuman.

HM
Jan 15, 2013

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI