Sarawak baham Perak 6-1

Sunday, September 22, 2013

Pelbagai kejutan dan drama berlaku pada saingan terakhir perlawanan Piala Malaysia dengan juara Liga Perdana, Sarawak meraih tumpuan apabila membelasah Perak 6-1 di Stadium Negeri, Kuching bagi mengetuai enam pasukan lain menempah slot ke suku akhir selain PKNS yang telah melayakkan diri lebih awal.

Selain Sarawak, Pahang yang sudah bagaikan tersingkir pada satu ketika bernasib baik layak ke suku akhir hasil bantuan pasukan jiran, Terengganu yang mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman walaupun Tok Gajah dibelasah 4-0 oleh juara musim lalu, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Johor Darul Takzim (Johor DT) juga mara ke suku akhir meskipun dimalukan 0-2 di kandang sendiri oleh PKNS sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby mencukupkan senarai lapan pasukan terbaik yang akan meneruskan perjuangan memburu piala berprestij bola sepak negara musim ini.

Carta saingan suku akhir akan memperlihatkan ulangan perlawanan akhir Piala FA apabila Kelantan akan bertemu Johor DT sementara ATM akan bertembung Lions XII, lain-lain saingan pula Sarawak menentang Sime Darby dan PKNS berdepan Pahang.

Sebaik wisel perlawanan dibunyikan, di hadapan 30,000 penonton, Sarawak tidak menunggu lama untuk mengganas apabila pertahanan Perak, Khairi Kiman tertanduk ke dalam gawang sendiri dan penyerang berbisa, Bobby Gonzales menggandakan kelebihan seminit kemudian sebelum Yong Kuong Yong cuba meniupkan api perjuangan pasukan Perak apabila merapatkan jurang pada minit ke-22.

Namun, kegarangan Sarawak ternyata sukar disekat lagi apabila Muamer Salibasic meledak hatrik pada minit ke-43, 59 dan 72 dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh Zamri Morshidi pada minit ke-56 sekali gus menempah pertemuan dengan Sime Darby di suku akhir, 28 September ini.

Juara Liga Super, Lions XII juga penuh bergaya membenam Kedah, 3-1 di Stadium Darul Aman hasil jaringan Hariss Harun (minit ke-24), Baihakki Khaizan (minit ke-38) dan Muhammad Hafiz Abu Sujad (minit ke-65) untuk Lions XII sementara gol sagu hati skuad Kenari dijaringkan Alen Guc pada minit ke-44.

Negeri Sembilan seperti melepaskan rezeki yang terhidang di Paroi apabila jaringan pada minit ke-87 oleh Ashari Samsudin membunuh segala harapan skuad Hoben Jang Hoben walaupun mereka telah mendahului 2-1 sebelum itu menerusi Fabio Leandro Barbosa pada minit ke-19 dan Nazrin Nawi pada minit ke-70, memadamkan kelebihan awal pelawat menerusi Effa Emmanuel Owona.

Dickson Nwakaeme juga tidak ketinggalan menunjukkan belangnya yang tersendiri apabila meledak jaringan hatrik di Kota Bharu untuk menang 4-0 ke atas Pahang dengan semua gol pada babak kedua iaitu pada minit ke-66, 83 dan 89 manakala satu lagi jaringan datang daripada Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-19, namun kedua-dua pasukan Pantai Timur itu tetap melangkah ke suku akhir.

Pasukan berstatus kelab, PKNS melaungkan amaran awal kepada semua pencabar Piala Malaysia musim ini apabila mencatat kemenangan kelima dalam enam perlawanan dengan Johor DT terus tunduk kepada kehebatan kepada skuad Red Ants di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin hasil jaringan Reeshafiq Alwi pada minit ke-18 dan Roman Chmelo pada minit ke-64.

Kekalahan Johor DT itu bagaimanapun masih belum cukup buat T-Team sekali pun menang 2-1 mengatasi Felda United melalui jaringan Ahmad Syamin Yahaya pada minit ke-21 dan 61 sementara gol tunggal dicipta Mohd. Kamal pada minit ke-86 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu biarpun terikat sama mata dengan Harimau Selatan kerana perbezaan gol yang terlalu jauh.

Sementara itu, gol awal pada minit ke-3 oleh Amiridzwan Taj tidak cukup memberikan kemenangan kepada Gladiators apabila Sime Darby menerusi Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-35 membuatkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala Selangor akhirnya mengecapi kemenangan pada saingan Piala Malaysia apabila menang 2-1 mengatasi Johor di Stadium Shah Alam, namun sudah tidak memberikan sebarang makna. ~ Utusan




0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI