Terapi bekam lintah di KUD 2013

Sunday, September 29, 2013

Terapi bekam lintah antara aktiviti pameran yang menjadi tumpuan pengunjung di sepanjang penganjuran Karnival Usahawan Desa 2013 (KUD) di Laman 1Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, orang ramai tidak melepaskan untuk mencuba terapi bekam tersebut yang dipercayai dapat membuang darah kotor dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada tubuh badan.

Perkara tersebut diakui oleh pengusaha spa dan rawatan kecantikan, Suhaila Mahat yang menjadi peserta karnival selama lima hari itu bermula Rabu lepas.

"Sambutan pengunjung amat menggalakkan dan mereka jelas tidak mahu melepaskan peluang mencuba terapi bekam lintah sebagai salah usaha untuk mendapatkan terapi kesihatan.

"Lebih daripada 200 pengunjung datang ke gerai saya untuk merasai pengalaman tersebut bersempena penganjuran KUD ini," kata pemilik spa Teratai Biru Sahara itu ketika ditemui pemberita.

Mengulas lanjut tentang terapi lintah itu, Suhaila berkata, terapi tersebut antara aktiviti rawatan spa yang menjadi perhatian pelanggan bukan sahaja di KUD, malah di lokasi perniagaannya di Bandar Baru Sungai Udang serta di Alor Gajah.

"Selain terapi bekam lintah, urutan terapi urat saraf turut menjadi perhatian pelanggan ketika berkunjung ke spa saya," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penyertaan ke dalam KUD memberi peluang untuk meningkatkan bilangan pelanggan pada masa akan datang dan seterusnya memperkembangkan perniagaannya.

"Ada di antara pelanggan yang selesa dengan perkhidmatan diberikan dan mahu ke Melaka mengunjungi spa saya sekiranya bercuti atau ada urusan di sana," kata ibu kepada dua anak itu.

Sementara itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang membawanya menyertai karnival tersebut.

"Pihak RISDA telah memberi banyak bimbingan kepada saya untuk berjaya dalam bidang keusahawanan terima kasih saya ucapkan.

"Karnival ini perlu diadakan lagi pada masa hadapan untuk memberi peluang kepada usahawan menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya.

1 Komen:

Anonymous said...

boleh bagi tak alamat nak buat bekam lintah di melaka? dan kat negeri sembilan ada tak? boleh waspup di 0133881543 yahya b ayub... tq

Post a comment

 

ZONFINITI