Harga emas susut

Thursday, September 12, 2013




Emas susut ke paras terendah tiga minggu semalam sebelum pulih berikutan pembabitan pelabur yang memburu harga murah itu, tetapi perkembangan terkini berhubung hasrat AS untuk menyerang Syria dijangka memberikan impak kepada pelaburan selamat itu.

Syria menerima cadangan Russia untuk tidak menggunakan senjata kimia tetapi Presiden Barack Obama berkata, adalah terlalu untuk merumuskan sekiranya inisiatif itu akan berjaya.

Beliau berjanji akan menyerang Syria sekiranya saluran diplomasi gagal.

Emas, yang jatuh lebih 18 peratus tahun ini, turut menerima kesan daripada jangkaan Rizab Persekutuan AS akan mengambil langkah mengurangkan program rangsangan monetari selepas mesyuarat pada 17-18 September.

Emas spot mencecah AS$1,356.85 seauns, paras terendah sejak 22 Ogos, dan diniagakan pada AS$1,366.61 pada 0632 GMT, naik AS$3.02.

Pasaran fizikal pula belum lagi meraih momentum di Asia mahupun rantau lain sungguhpun emas sudah jatuh di bawah paras psikologi utama AS$1,400 seauns.

Di negara pengguna utama India, kejatuhan ketara rupee membendung minat belian sungguhpun musim perayaan hampir tiba.

"Pembelian fizikal sangat sensitif harga, dan kebanyakan pembelian yang kita lihat menuju ke paras AS$1,300.

"Satu daripada sebab utama menyumbang kepada kejatuhan dalam pembelian fizikal ialah kelemahan nilai rupee," kata Keenan di Societe Generale.

Permintaan emas India meningkat antara Ogos dan Oktober, apabila pelanggan membeli jongkong bagi sambutan hari perayaan, memuncak sewaktu sambutan Diwali yang jatuh pada November tahun ini.

Emas adalah satu daripada komoditi yang membantu menolak nilai rupee ke paras terendahnya.

Kerajaan India menaikkan duti import ke atas logam itu kepada 10 peratus, kenaikan tertinggi setakat ini. - REUTERS

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI