7.5j budak guna Facebook

Thursday, May 12, 2011

Sebanyak 7.5 juta atau kira-kira 37.5 peratus daripada 20 juta pengguna Facebook merupakan golongan berumur kurang 13 tahun dan sejuta daripadanya sering dibuli, diancam atau diganggu di laman web rangkaian sosial itu.

Menurut kajian bertajuk State of the Net oleh Laporan Konsumer yang dikeluarkan semalam, lebih lima juta pengguna Facebook merupakan golongan berumur 10 tahun atau ke bawah.

Kajian itu menyatakan, disebabkan golongan itu melayari Facebook kebanyakan masa tanpa pengawasan ibu bapa, mereka sering terdedah kepada ancaman seperti perisian berniat jahat (malware), penipu siber atau pemangsa seksual.

Syarat menggunakan perkhidmatan Facebook memerlukan pengguna berusia sekurang-kurangnya 13 tahun, tetapi kebanyakan kanak-kanak atau ibu bapa memasukkan maklumat kelahiran palsu semasa mereka mendaftar di laman web rangkaian sosial itu.

Menurut kajian itu, ibu bapa kanak-kanak berumur kurang 10 tahun juga 'seolah-olah tidak mengambil berat' apabila anak mereka melayari Facebook, berkemungkinan besar kerana penjaga menyangka kanak-kanak kurang terdedah kepada risiko Internet.

Walaupun kanak-kanak seusia itu tidak memuat turun bahan lucah di Internet, kajian menunjukkan mereka tetap memerlukan perlindungan dari anasir berbahaya lain seperti rangkaian perisian jahat yang boleh menjejaskan komputer dan jemputan daripada individu tidak dikenali.

Kajian tersebut mendapati, lebih lima juta isi rumah di Amerika Syarikat (AS) terdedah kepada 'penganiayaan tertentu' di Facebook termasuk jangkitan virus, penipu siber dan pembuli.

Satu kajian berasingan bulan lalu oleh Richard Power dari pusat penyelidikan keselamatan siber di Universiti Carnegie Mellon menunjukkan, 10 peratus kanak-kanak di AS menjadi mangsa curi nombor keselamatan sosial, yang kemudian digunakan untuk memohon lesen memandu, pinjaman kereta serta rumah.

Menurut Power, kadar itu membuatkan kanak-kanak berisiko menjadi mangsa curi siber lebih 51 kali berbanding orang dewasa. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI