Barangan Kesayangan Hafiz AF7

Monday, May 09, 2011

Penyanyi muda Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz (AF7) ini juga mempunyai beberapa koleksi barangan yang cukup bermakna buat dirinya.

Ketika ditanya tentang barang-barang yang sentimental dalam hidupnya, dengan serta-merta Hafiz menuding jari ke arah tiga beg besar yang berisi pelbagai koleksi kereta, helikopter dan bot kawalan jauh.
Hafiz memang obses pada koleksi tersebut kerana dia berasa tenang dan asyik setiap kali ‘melayan’ permainan-permainan itu.

Selain itu, jangan tak tahu penyanyi yang sedang popular dengan lagu Awan Nano ini juga sentiasa membawa sehelai tuala kecil, ke mana saja dia pergi.

Nak tahu, kenapa? Mari kita intai barang-barang kesayangan anak kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak ini.

Patung Transformers
Patung figura aksi Transformers ini adalah antara koleksi yang paling disayanginya. Juara AF7 ini sudah memiliki dua daripada karakter filem tersebut iaitu Optimus Prime yang berharga RM399 dan Bumblebee (RM299). Dua patung ini dibeli dengan duit simpanan dia sendiri. Sebenarnya, ini hanya sebahagian saja sebab masih ada beberapa koleksi patung figura aksi yang lain disimpan di rumah.

Kasut
Kalau orang lain suka pada kasut yang cantik dan bersih, lain ceritanya dengan Hafiz. Dia suka kasut yang nampak lusuh dan kotor. “Baru nampak rock!” katanya. Setiap kali Hafiz membeli kasut baru, pasti dia akan memijak kasut tersebut agar menjadi kotor. Dalam banyak-banyak kasutnya, kasut berwarna putih ini yang paling bermakna. Ia cuma berharga RM39 dan tidak berjenama tetapi cukup sentimental. Sehingga hari ini, dia baru pakai kasut tersebut sebanyak dua kali saja iaitu ketika menghadiri sesi fotografi buat pertama kali dan ketika mengadakan persembahan nyanyian. Ini adalah kasut pertama yang dibelinya selepas keluar AF.

Kereta, bot dan helikopter
Selain koleksi patung figura aksi, Hafiz juga ‘gila’ pada kereta, bot dan helikopter kawalan jauh. Bukan satu dua unit yang dimilikinya, malah mempunyai pelbagai jenis barangan itu. Dia bukan saja sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli permainan malah terpaksa menahan telinga kerana ibunya sering membebel akibat tabiat berkenaan.

Jam tangan
Jam tangan berjenama TW Steele ini adalah pemberian bekas Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai perangsang kepadanya selepas bergelar juara program itu. Walaupun sudah calar sedikit, Hafiz sangat menghargai jam yang berharga ribuan ringgit ini.

Rantai leher
Rantai leher dengan huruf ‘H’ ini dibeli oleh Hafiz dari kedai aksesori milik rakannya di Kuching, Sarawak. Sudah setahun Hafiz memakai rantai berharga RM100 ini. Kata Hafiz, memandangkan ketika itu kawannya baru memulakan perniagaan aksesori, maka dia pun diberi harga istimewa.

Anak patung kanggaru
Anak patung kanggaru ini juga ada cerita tersendiri. Dalam banyak-banyak hadiah peminat, anak patung ini punya cerita yang terlalu peribadi untuk dikongsikan. Sebagai penghargaan kepada peminat nombor satunya itu, Hafiz menggantung anak patung ini pada beg galasnya dan dibawa ke mana saja.

Jaket hitam
Jaket berwarna hitam ini mempunyai kenangan manis dan diibaratkan seperti perintis jalan sehingga dia bergelar penyanyi profesional pada hari ini. Dia membeli jaket itu pada usia 16 tahun ketika hendak memasuki peringkat akhir sebuah pertandingan nyanyian di Kuching, Sarawak.

Jaket Ben 10
Jaket kulit berwarna hijau ini cukup eksklusif kerana ia daripada jenama kartun popular Ben 10. Jaket yang diimport dari Amerika Syarikat ini adalah hadiah penghargaan selepas Hafiz menyumbangkan suaranya untuk rancangan alih suara watak utama kartun itu pada tahun lalu.

Tuala kecil
Memang sudah menjadi tabiat sejak kecil, Hafiz pasti membawa sehelai tuala kecil ke mana saja. Antara sebab utamanya adalah kerana Hafiz mudah berpeluh. Dengan adanya tuala pada setiap masa, mudahlah untuknya mengesat peluh. Selain itu, masalah lelah yang dihadapinya sejak kecil juga membuatkan Hafiz tidak pernah lekang dengan tuala kecil. Namun, tuala berwarna biru ini cukup istimewa kerana ia dibelikan oleh ibunya. Jika tak ada tuala itu, Hafiz tak boleh tidur malam. “Tuala ‘busuk’ saya ini macam nyawa,” katanya.

~ Mstar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI