Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta -Karaoke Kisah Cinta

Thursday, May 19, 2011

Bagi memastikan album kompilasi Kisah Cinta yang diterbitkan mendapat sambutan, syarikat rakaman Warner Music Malaysia (Warner) tampil dengan cara tersendiri untuk merancakkan lagi promosi produk terbaru keluaran mereka.

Warner menganjurkan Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta, terbuka kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.

Syaratnya mudah, bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu, mereka hanya perlu menyanyikan salah satu daripada 30 lagu yang dimuatkan dalam album kompilasi tersebut.

Selain itu, peserta juga perlu membawa resit pembelian cakera padat (CD) Kisah Cinta atau video cakera padat (VCD) Kisah Cinta yang masing-masing dijual pada harga RM29.90 dan RM 20.90 sebelum layak menyertai pertandingan tersebut.

Bagi peringkat permulaan, pertandingan telah diadakan di empat lokasi iaitu di Red Box Pelangi, Johor Bahru, Seremban 2, Jusco Bukit Tinggi, Klang, Selangor dan Sogo, Kuala Lumpur.

Melalui empat lokasi itu, tiga peserta yang terpilih akan meneruskan saingan akhir yang bakal berlangsung di Red Box IOI Mall, Puchong, Selangor pada 21 Mei ini.

Johan pertandingan akan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000, naib johan, RM2,000 dan tempat ketiga, RM1,000 (ketiga) selain baucer tunai daripada Red Box.

Album berkenaan menampilkan gabungan dua genre yang paling diminati peminat industri hiburan tanah air iaitu balada dan pop rock bagi memenuhi selera peminat.

Selain itu, lagu-lagu yang dimuatkan juga adalah antara yang popular merentasi tiga dekat bermula awal tahun 1980 sehingga era millenium.

Antara lagu yang terdapat dalam album itu adalah Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain, Merisik Khabar (Sudirman), Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi), Biarlah Rahsia (Datuk Siti Nurhaliza) dan Kehebatan Cinta (Jamal Abdillah dan Francessca Peter).

Album berkenaan juga diterbitkan dengan kerjasama beberapa syarikat rakaman seperti EMI Malaysia, Sony Music, Universal, NSR, SNP dan Music Valley.

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI