Kedutaan Bantu Pindah Anak Warga Malaysia Yang Ditahan Di Sweden Kepada Keluarga Islam

Sunday, January 19, 2014

Kedutaan Bantu Pindah Anak Warga Malaysia Yang Ditahan Di Sweden Kepada Keluarga Islam

Kedutaan Malaysia akan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Sweden untuk menempatkan anak kepada pasangan rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu dengan keluarga angkat beragama Islam.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, wakil Kedutaan Malaysia sudah mengadakan pertemuan selama dua jam dengan keempat-empat kanak-kanak berkenaan pada Sabtu, demikian lapor Buletin Utama.

Sebelum ini dilaporkan Aisyah, 14, anak sulung pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal itu menyuarakan rasa tidak selesa mereka untuk tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun itu kini diuruskan Jabatan Kebajikan Sweden dan ditempatkan di sebuah rumah keluarga angkat sejak ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden pada 14 Disember lalu.

Ketika berita mengenai nasib Azizul Raheem dan Shalwati yang ditahan kerana didakwa memukul seorang anak mereka yang tidak bersolat, nasib empat anak pasangan itu tidak diketahui, susulan pihak kedutaan Malaysia tidak dibenarkan bertemu mereka.

Sejak pasangan terbabit ditahan 14 Disember lalu, tiada wakil dari kedutaan Malaysia di sana dibenarkan bertemu dengan keempat-empat beradik itu dan pihak kedutaan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk kebenaran mengadakan pertemuan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI