Azza ada orang baru

Sunday, November 16, 2008


Azarima Zawari, 31, atau Azza yang merupakan bekas anggota kumpulan Elite pernah dilanda permasalahan yang besar dalam hidupnya. Setelah berpisah dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce empat tahun lalu, hidupnya menjadi tidak tentu arah.

Dia cuba melarikan diri dari permasalahan itu, tapi dia bagai dikejar bayang-bayang sendiri. Sejak itu dia memulakan hidup baru dengan mengambil anak angkat dan berpindah ke rumah baru di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.

Ketenangan tidak juga ditemui. Ia hadir hanya seketika. Ketika itu dia mengaku yang dia bagaikan hilang arah, sering lewat ke lokasi penggambaran drama dan sebagainya.

Namun kesilapan yang dilakukan itu membuatkan dia sedar kembali. Berkat dorongan kawan artis yang lain dan keluarga dia bangkit menguatkan semangat.

Azza pernah memberitahu yang dia tidak mempunyai wang untuk ke lokasi penggambaran serta meraikan Aidilfitri yang lalu. Malah dia tertekan dengan masalah yang bertimpa itu. Tubuhnya juga pernah menjadi susut sehingga berat badan 40 kilogram.

Apakah ia hanya sandiwara ataupun lakonan pentas? Persetan itu semua! Azza kini bukan lagi Azza yang dulu. Ikuti temu bual soalan panas ini.

Ada orang nampak Azza dengan seorang lelaki. Parasnya ada iras wajah bekas suami Azza. Siapakah lelaki itu?

Amboi... bukan "anak ikanlah" (lelaki muda), tak baik gitu! Dia kawan istimewa saya, kiranya orang baru yang hadir dan berjaya membahagiakan saya ketika ini. Dia orang Kelantan dan berniaga sendiri tapi duduk di Kuala Lumpur. Firhan Yusuf namanya. Orangnya baik dan banyak memberi dorongan kepada Azza. Bagi Azza dia faham tentang diri ini dan banyak mengambil berat tentang Azza. Berat badan Azza pun dah naik sekarang. Orang kata kalau bahagia badan naik. Sekarang berat dah naik jadi 50 kilogram. Dia pula orangnya suka makan. Kalau dia makan, Azza kenalah makan juga. Kalau nak cerita tentang wajahnya mirip Ehsan, itu mungkin kebetulan.

Di mana Azza kenal dia?

Dah setahun Azza kenal dia. Kenal melalui kawan artis. Waktu Azza tinggal di Bukit Antarabangsa, kawan artis ni datanglah bertandang ke rumah. Dia datang dengan si dia. Kiranya kawan dialah. Mula tengok dalam hati terdetik juga, boleh tahan handsome juga budak ni. Lepas tu Azza pun berkenalan dan terus berkawan.

Dah tak terlibat dengan pil-pil khayal tu lagi?

Eh mana ada! Sumpah. Masalah yang menimpa dulu tu cuma Azza tertekan. Hutang banyak, kes berpisah lagi dan macam- macamlah. Alhamdulillah sekarang dah okey. Dah mula berlakon dengan serius sekarang. Azza nak minta maaf kepada sesiapa dan mana-mana produksi yang pernah Azza buat masalah dulu. Sekarang tidak lagi. Nak kumpul duit sekarang. Dulu saya pernah tak ada duit pun nak pergi lokasi. Malunya tu yang buat Azza "ting tong" kejap. Tapi Azza syukur kawan baik artis seperti Amyza Aznan, Haiza, Abby Abadi, Linda dan Rifa banyak beri sokongan moral dan bagi peluang berlakon kepada Azza. Dia oranglah kawan waktu senang dan susah. Begitu juga dengan nasihat Datuk Yusof Haslam. Azza sekarang bukan macam Azza dulu.

Sekarang ini dengar cerita Azza sudah pindah ke kampung, betul ke?

Bukan Azza yang nak pindah, tapi mak Azza. Dia bagi cadangan untuk pindah ke kampungnya di Batu Kurau, Perak. Itu kampung dan tanah mak. Jadi Azza buatkan rumah empat bilik, dua ruang tamu dan dua bilik air. Mak duduk sana dengan anak Azza - Marrisa Jannah (3 tahun). Dan sekarang Azza menyewa rumah di Damansara, duduk seorang diri. Itu sajalah yang dapat bantu mak sejak bergelar artis ini. Azza akui sekarang ni duit simpan habis dah, tu yang kena kerja keras balik.

Ada jumpa dengan Ehsan lagi sekarang ni?

Setakat ini tak ada. Kali terakhir dalam tahun ini, tak ingat bulan bila. Dia datang menjenguk anak... Hidup ini senang saja, Azza doakan kebahagiaan dia dan tidak pernah berdendam. Tak perlulah kita tangisi perkara lalu sehinggakan kita sendiri merana.

Masih teringatkan dia?

Itu Azza tak boleh cakap. Ia peribadi. Tapi kami tak bergaduh. Itu yang penting. Dia juga ada banyak bagi nasihat dan dorongan kepada Azza.

Macam mana dengan masalah perceraian? Dah sah ke?

Dah... tahun lepas, kami uruskan di Kuching. Jadi tidak adalah istilah gantung tak bertali.

Apakah teman baru Azza sudah bersedia menerima dan menempuhi dunia glamor yang penuh cabaran ini?

Mula-mula tu nampak agak payah juga tapi sekarang dia dah mula faham.

Ada apa masalah yang masih tertangguh dan belum selesai lagi?


Sekarang ini hutang tu adalah sikit-sikit. Sedang dalam proses nak langsai. Kesihatan Azza sekarang dah okey. Tu jelah…

Tahun ini apakah cabaran yang paling besar bagi Azza?

Bagi Azza apa yang berlaku pada diri ini bukanlah satu perkara yang paling teruk. Ramai lagi yang menanggung penderitaan yang lebih besar daripada Azza. Tahun ini Azza sambut Hari Raya boleh dikatakan tidak berduit juga. Azza gagah juga mencari rezeki dengan menjual kek. Balik modal sikitlah. Azza tahu, itu semua dugaan, takkan kita nak diberi kesenangan sepanjang masa. 2008 tahun paling getir bagi Azza. Tapi Azza tak pernah merungut dan salahkan mana-mana pihak, kecuali diri sendiri. Alhamdulillah sekarang kembali normal semula.

Oleh JOHA AHMAD

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI