Mawi sangkal ‘beli’ mentua

Wednesday, November 26, 2008

“Saya tidak belikan kereta Alphard kepada bapa Ekin dan rumah mewah kepada ibunya seperti gosip yang disebarkan di Internet itu.

“Sebaliknya, rumah di Taman Impian Mas, Johor Bahru itu dibeli keluarga Ekin sendiri. Ekin dan kembarnya Aein serta bapanya memang sepakat nak beli rumah untuk ibu mereka dengan duit pencen yang diterima bapanya.

“Kereta Alphard itu pula memang milik saya dan bapa Ekin juga masih memandu kereta Myvi sampai sekarang,” kata penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi, 27, ketika diminta mengulas mengenai isu kereta dan rumah mewah yang dikatakan diberi kepada keluarga bakal isterinya, Nora’shikin Rahmat atau Ekin, 29, seperti yang hangat diperkatakan di Internet ketika ini.

Pada masa sama, Mawi juga menafikan dia sanggup berhabis duit demi merealisasikan majlis perkahwinannya menjelang 20 Disember nanti.


“Saya tidak terfikir pun untuk menjadikan majlis perkahwinan kami ini ‘wedding of the year’. Saya cuma fikir mereka yang banyak bekerjasama dengan kami sepanjang tiga tahun saya berkecimpung dalam bidang seni.

“Majlis perkahwinan yang kami rancangkan ini ibarat berkongsi dengan semua orang. Apa yang kami lakukan ini pengorbanan kami untuk peminat di luar sana,” katanya.

Mawi dan Ekin menyerahkan kad undangan perkahwinan mereka kepada akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times, di Balai Berita, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management (Maestro), Freddie Fernandez dan Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent, Liza llias.

Mawi dan Ekin kemudian bergegas ke butik Lord’s Tailor, Bangsar Shopping Centre untuk mencuba dua baju untuk muka depan buku majlis perkahwinannya dan bagi acara memotong kek.

Mawi turut mengesahkan mereka akan menggunakan helikopter dari Johor Bahru ke dewan tempat majlis persandingan di Felda Taib Andak.

“Kami akan menaiki helikopter itu dari rumah Ekin di Johor Bahru ke Felda Taib Andak pada 28 Disember nanti.

Sebenarnya, ia bukan impian kami sebaliknya tajaan kawan baik sebagai hadiah perkahwinan kami. Bagaimanapun, dia meminta identitinya dirahsiakan,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI