Debaran peserta My Starz LG bermula

Friday, November 21, 2008


Kini setiap hari yang dilalui selepas terpilih menyertai program realiti My Starz LG bagi musim kedua adalah berhadapan dengan debaran demi debaran. Mana tidaknya, kesemua 12 peserta yang terpilih menyertai program ini tidak akan terlepas daripada cabaran setiap minggu pada konsert yang akan berlangsung.

Suka atau tidak mereka terpaksa melalui kesemua program yang dirancang sehingga salah seorang daripada 12 peserta ini akan disingkirkan episod demi episod sehinggalah konsert terakhir nanti sebelum menentukan juara musim kedua.

Bagi lima peserta yang lahirnya dari latar belakang yang berbeza dan saling tidak mengenali antara satu sama lain, fokus mereka adalah sama iaitu persediaan yang terperinci harus dilakukan setiap masa agar tidak gugup apabila berada di atas pentas.

Mereka akui perancangan dan persediaan yang teratur diambil sebelum melakukan sesuatu bakal membuahkan hasil.

Gadis Cina dari Johor Bahru, Jassica berkata, sebelum menghadiri sesi uji bakat lagi dia sudah melakukan persiapan rapi terlebih awal untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan sekiranya saya berjaya memasuki program ini.

“Saya banyak mempelajari teknik nyanyian daripada Ibu. Apa saja yang tidak betul akan ditegur dan kadang kala kami sering berbincang mengenai lagu bersesuaian dengan tone suara saya.

“Keluarga banyak memberi semangat dan dorongan untuk melihat saya berjaya dengan apa saja bidang yang saya minati,” katanya yang berharap berjaya sehingga ke peringkat akhir program ini.

Bagi gadis kecil molek ini, Mimie berkata, persediaan baginya adalah menerusi beberapa pertandingan nyanyian yang pernah diikuti sebelum ini membuatkan dia lebih bersedia dengan kritikan juri.

“Sebelum ini saya pernah mengikuti beberapa pertandingan nyanyian dan sering mendapat kritikan, melalui kritikan itulah saya memperbetulkan kembali kesilapan yang kerap saya lakukan.

“Saya juga mula menceburi bidang nyanyian ini sejak berusia tujuh tahun dan pernah mengikuti pancaragam pertubuhan Rela. Dari situ jugalah saya banyak mempelajari pelbagai genre muzik dan saya boleh membawakan kesemua genre muzik.

“Namun genre muzik heavy metal yang agak sukar untuk saya membawakan, mungkin juga saya kurang meminati genre itu menyebabkan saya tidak pernah ingin mencuba. Tetapi sekiranya menerusi program My Starz LG ini saya diarahkan untuk menyanyi genre itu inilah masanya saya akan buktikannya,” katanya yang amat meminati genre R&B dan pop.

Azri atau nama sebenarnya Mohd Azri Abdullah, 21 pelajar jurusan diploma teater di Aswara berkata, menerusi pembelajaran teater yang diikuti sebelum ini, beberapa elemen asas itu banyak boleh dimanfaatkan ke dalam bidang nyanyian ini.

“Segala teknik teater yang saya pelajari banyak persamaan yang boleh saya aplikasikan ke dalam nyanyian. Lontaran suara, bloking, pergerakan di pentas, penghayatan dan beberapa lagi saling berhubungan.

“Saya amat meminati genre rock kerana melalui penyampaiannya kita boleh meluahkan segala yang kita pendamkan menerusi lagu.

“Harapan saya dalam program ini biarlah saya berjaya ke peringkat akhir kerana itu sudah cukup tinggi kejayaan yang saya capai,” katanya yang reda sekiranya ditakdirkan terkeluar awal, namun ingin terus kekal di dalam industri seni ini.

Melalui pengalaman lebih empat tahun dalam bidang nyanyian membuatkan Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin, 22 lebih berkeyakinan untuk meneruskan persaingan dalam program ini.

“Setiap hari bagi saya adalah pembelajaran, biarpun sudah empat tahun menyanyi namun masih banyak lagi perlu saya pelajari. Inilah peluang terbaik bagi saya untuk belajar dengan mereka yang betul-betul pakar dalam bidang nyanyian.

“Semua orang mempunyai harapan sekurang-kurangnya lepas ke peringkat akhir, begitu juga dengan saya. Apa yang pasti saya tidak akan mempersiakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin.

“Namun sekiranya takdir tidak menyebelahi saya dan menjadi antara peserta terawal terkeluar, saya reda dan saya juga rasa masih jauh perjalanan yang harus saya lalui pula selepas ini,” kata gadis dari Skudai, Johor yang meminati genre pop rock, balada dan keroncong.

Penjagaan vokal amat penting bagi jejaka dari Kota Kinabalu, Sabah ini, Hairi atau nama sebenarnya Mohd Hairi Kenneith, 19, namun tidak mempercayai akan pantang larang.

“Persediaan utama saya adalah menjaga vokal, namun bagi saya tiada pantang yang perlu saya ikut kerana saya makan apa saja, yang penting bagi saya adalah stamina harus kuat agar kelantangan vokal itu dapat dikeluarkan.

“Selain itu juga saya banyak mengikuti program realiti yang ada sebelum ini baik yang dalam negara mahupun luar negara kerana ingin melihat bagaimana mereka beraksi apabila berada di atas pentas.

“Ini adalah sebahagian idea yang boleh kita kumpulkan dan melahirkan suatu idea yang baru untuk persembahan saya nanti. Saya suka membuat perkara yang tidak pernah dibuat orang lain tetapi mengikut batasan yang betul, kerana itu adalah identiti diri sendiri,” katanya yang meminati genre rock dan slow rock.

Selain mereka berlima, peserta lain yang turut berjuang bersama dalam program ini termasuklah Wan Nashrinie Zafri, 19, (Pulau Pinang); Lee Elaine, 18, (Subang); Mohd Farouk Jayfiena Ermand, 19, (Petaling Jaya); Awang Sri Iskandar Bahrin, 21, (Sabah); Julylen Liew, 18, (Sabah); Fiona Anak John Nolly, 21, (Sarawak) dan Cassandra Daniel Manja, 22 (Sarawak).

Program My Starz LG musim kedua ini akan disiarkan sebanyak 15 episod setiap Ahad jam 10 malam menerusi TV3 dan akan mula menyaksikan episod penyingkiran selepas konsert kedua. Ia juga dihoskan oleh Nazaruddin Habibur Rahman atau Naz dan pasangannya Puteri Andreanna Syigim atau Anne.

PROFIL:

# Jassica

* Nama Sebenarnya: Leow Lyye
* Umur: 19 tahun
* Tarikh Lahir: 21 September 1989
* Asal: Johor Bharu
* Bangsa: Cina

# Mimie

* Nama Sebenar: Norshamimi Ahmad Haris
* Umur: 18 tahun
* Tarikh Lahir: 3 Jun 1990
* Asal: Alor Star, Kedah
* Bangsa: Melayu
* Pengalaman: Digi Celebriteen 2007, Mentor 2006 (top 20)

# Wana

* Nama Sebenar: Noriezuana Syed Shafudin
* Umur: 22 tahun
* Tarikh Lahir: 23 May 1986
* Asal: Skudai, Johor
* Bangsa: Melayu
* Pengalaman: Penyanyi di Alpha Starz Entertainment, Akademi
* Fantasia musim ke-6 (top 25)

# Azri

* Nama Sebenar: Mohd Azri Abdullah
* Umur: 21 tahun
* Tarikh Lahir: 13 April 1987
* Asal: Klang, Selangor
* Bangsa: Melayu

# Hairi

* Nama Sebenar: Mohd Hairi Kenneith
* Umur: 19 tahun
* Tarikh Lahir: 4 Jun 1989
* Asal: Kota Kinabalu, Sabah
* Bangsa: Melayu

Oleh Rozdan Mazalan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI