Siri Adnan Sempit sehebat filem?

Thursday, March 18, 2010

KEJAYAAN gemilang filem Adnan Sempit di layar perak akhirnya membuka jalan kepada Produser MIG Production Sdn Bhd, David Teo, memindahkan karya itu ke versi drama bersiri 26 episod bagi siaran April ini di saluran Astro Warna.

Pun begitu, ia memang memberi tekanan kepada pelakon utama filem itu, Shaheizy Sam untuk mengekalkan wataknya dalam drama itu sebagai Adnan Sempit. "Mereka yang sudah menonton filem Adnan Sempit, pasti mengharapkan persembahan lebih baik daripada saya. Bagaimanapun kejayaan filem itu bukan terletak pada saya semata-mata, tapi hasil kerjasama orang lain.

"Memang rezeki saya apabila dapat bekerja dengan pengarah Ahmad Idham. Saya bukanlah seorang kelakar namun perwatakan Adnan dibentuk khas sehingga jadi kelakar. Saya tak suka buat lawak bodoh dan kesannya saya pun nampak macam bodoh. "Sejak berlakon dengan MIG, saya cuba pelbagaikan watak lakonan, cuma filem saya bersama Ahmad Idham lebih kepada komedi. Yang penting, kalau peminat suka, saya pun tak kisah," katanya.

Sejak lakonannya mendapat pujian ramai, pelbagai tawaran berlakon tiba ke tangannya, tetapi sebagai seorang yang profesional dan komited kepada tugas, Shaheizy hanya menumpukan kepada satu kerja pada satu-satu masa.



Filem lakonannya yang lain termasuk Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, Niyang Rapik serta Ngangkong (bakal ditayangkan).

"Saya tidak banyak berlakon drama, tapi syukur orang perasan kehadiran saya di TV kerana mula diberi watak utama. Misalnya dalam drama bersiri Legasi 43 Karat, Jangan Pandang Belakang dan sekarang, Adnan Sempit The Series," katanya.

Norliana Samsudin atau Yana turut berlakon dan dikekalkan dalam Adnan Sempit The Series. Dalam drama itu wataknya sebagai Wawa dikembangkan lagi. "Wawa gadis kurus kering tapi sangat bergaya. Dia suka bercakap lepas, kasar dan wataknya lebih kepada semi komedi. Wawa pembantu peribadi kepada Nadia (Intan Ladyana). Pada mulanya Wawa sukakan Adnan, tetapi akhirnya menerima kawan baik Adnan iaitu Bobby sebagai kekasihnya. "Sekarang saya lebih banyak berlakon. Walaupun kerjaya saya diuruskan MIG tetapi saya bebas bekerja dengan mana-mana syarikat produksi dan pengarah. Saya turut muncul dalam Awan Dania dan Cinta Balkish. "Kalau ditanya kualiti lakonan saya dalam filem Adnan Sempit, saya tidak puas hati kerana ketika itu saya turut terbabit dalam projek lain. Letih sangat pada masa itu malah saya pernah tak tidur selama tiga hari. "Untuk drama ini saya akan membawa watak Wawa dengan lebih baik untuk menebus kekurangan ketika berlakon filem itu," katanya.


Pengarah Ismail Hashim, berkata penggambaran drama itu mengambil masa 80 hari. "Kerja mesti dibuat mengikut jadual kerana tarikh mula tanya pada 9 April ini. Ia akan bersiaran selama sejam, seminggu sekali. "Cabaran untuk membuat drama ini kerana versi filem berjaya mengutip hampir RM8 juta. Kesukaran lain, babak perlumbaan tidak boleh dilakukan di jalan raya dan hanya aksi setempat. Modenas sudi menaja 14 motosikal dan enam daripadanya akan dimusnahkan sama sekali. Ada tujuh hingga lapan babak kemalangan. "Adnan Sempit The Series bukan sekuel daripada filem tapi secara keseluruhannya berdiri dengan sendirinya dengan tambahan banyak pelakon baru. Dengan penambahan watak bermakna perlu ada lebih banyak plot. "Bagaimanapun kami tiada masalah untuk mengembangkan jalan ceritanya kerana menggunakan khidmat penulis skrip sama seperti mana filem. Semua watak asal dikekalkan cuma watak Bobby yang dulunya dimainkan Along Raja Lawak digantikan Azad Jazmin," katanya.

Oleh Nor Akmar Samudin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI